Pages

Thursday, May 7, 2009

DARI MIMBAR PUSAT ISLAM PSIS

الحمد لله ثم الحمد لله، الحمد لله حمداً يوافي نعمه ويكافئ مزيده، يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجهك ولعظيم سلطانك، سبحانك اللهم لا أحصي ثناء عليك أنت كما أثنيت على نفسك، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله وصفيه وخليله، خَيرُ نبيٍ أرسله، أرسله الله إلى العالم كلِّهِ بشيراً ونذيراً، اللهم صل على سيدنا محمد و على آل سيدنا محمد صلاةً وسلاماً دائمين متلازمين إلى يوم الدين أَمَّا بَعْدُ ، وأوصيكم أيها المسلمون ونفسي المذنبة بتقوى الله تعالى


Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah…

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah kita sama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa setiap individu Muslim itu sendiri.

Dunia seringkali dikejutkan dengan pelbagai ancaman wabak penyakit. Kita pernah digemparkan dengan selsema Burung, JE, Denggi, Chikungunya, dan HIV. Kini sekali lagi dunia berdepan dengan wabak yang menakutkan iaitu Wabak Selsema Babi. Sehingga semalam seramai 159 orang disahkan meninggal dunia dan lebih 1,300 orang sebagai pengidap. Jika dilihat dari sudut sejarah kita akan melihatkan pandemik selsema ini telah bermula seawal 1918 . Ia merupakan pandemik influenza kategori 5 yang bermula di Amerika Syarikat, muncul di Afrika Barat dan Perancis, lalu tersebar hampir ke seluruh dunia. Ketika itu ia hanya dikenali sebagai selsema spanyol. Selsema yang mula dikesan pada Mac 1918 hingga Jun 1920 itu telah membunuh jutaan manusia dan dianggarkan 50 hingga 100 juta orang di seluruh dunia terkorban. Ia muncul kembali Pada tahun 1968, yang kemudiannya dikenali sebagai virus "Hong Kong” yang turut membunuh lebih sejuta manusia di seluruh dunia. Kita ia muncul lagi. Berapa juta korban pula dituntut untuk episod ini ... hanya Allah yang maha mengetahuinya .

Sebagai umat Islam kita meyakini dan menginsafi ia merupakan ancaman dari Allah. Allah sedang berbicara dengan kita. Khutbah saya 2 minggu yang lalu sebelum dunia digemparkan dengan selsema babi ini, saya telah mengingatkan dengan jelas apabila Riba berleluasa. Rasuah menjadi amalan dimana-mana, anak-anak menderhaka dan mencampakkan i/bapa yang telah tua kerumah-rumah kebajikan. Banyak kemungkaran dan maksiat yang tidak dihalang dan dicegah bahkan digalakkan dan disuburkan lagi. Pergaulan bebas di kalangan remaja sama ada di bawah-bawah pokok, di kafeteria-kafeteria, di kelas-kelas atau dimana sahaja, pertandingan nyanyian yang diadakan baik apa pun namanya samada juara nyanyian, karaoke atau pun batlle of the band baik sempena apa pun majlis tadi diadakan , ulamak dihina, al-quran dilupa, sunnah dicela, syariat tidak dipelihara, agama tidak dijaga. Kesemuanya ini mengundang kemurkaan Allah.

Saudara-saudaraku....

Marilah kita dengan penuh iman dan taqwa memuhasabah diri kita, apakah kita selama ini kita telah mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari Al-Qur’an… justru telah mengabaikan sebahagian besar lagi dari Al-Qur’an. Biasa kita melihat di mana-mana Al-Quran dijadikan sebagai penghias di dinding-dinding rumah atau menjadi tangkal di premis-premis perniagaan atau hanya sekadar menjadi penghias di atas-atas dulang hantaran perkahwinan atau sekadar meletakkan sebagai penghias di pusat Islam ini tanpa ada sesiapa menyentuhnya. Saudara... hanya sekadar inikah peranan Al-Quran diturunkan ?. Bagaimana pula peranan Al-Qur’an sumber petunjuk, sumber hukum, pembimbing, garis sempadan , momentum perubahan dan tranformasi sekaligus sebagai penyelesai segala masalah kehidupan kita?

Allah s.w.t berfirman :


Kalau sekiranya kami turunkan Al-Quran Ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. dan perumpamaan-perumpamaan itu kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.

Kebanyakan kita hanya berusaha menjaga fizikal Al-Qur’an. Kita tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai, di kerusi atau di tempat-tempat lain yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak ‘menjaga’ Al-Qur’an. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak, atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa jua bentuk sekalipun. Kita akan pastikan kemurnian Al-Qur’an terpelihara dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Seluruh umat Islam di Sabak bernam akan bangkit mempertahankan Al-Quran seandainya ia diperlakukan sedemikian. Segala usaha ini sangat baik dan memang menjadi tugas dan kewajiban yang harus kita tunaikan untuk memastikan keagungannya. Namun, kita sering hanya berhenti setakat ini sahaja.

Saudara-saudaraku sekalian…

Kita jarang berusaha untuk memahami isi kandungan Al-Quran, jauh sekali untuk mengaplikasikan di dalam kehidupan seharian . Suatu persoalan untuk kita renungkan bersama. Di antara kita siapa yang memiliki terjemahan Al-Quran dirumahnya ?. Menjadi keaiban yang sangat besar bila mana kita tidak memahami Al-Quran tetapi tidak memiliki terjemahannya ?. Siapa pula di antara kita yang memiliki terjemahannya di dalam bahasa Melayu pernah membaca terjamahan yang dibeli keseluruhannya, walaupun ia hanya berberapa helaian jika dibandingkan dengan timbunan majalah dan surat khabar yang kita beli saban hari . Amat dikesali dan mengguriskan hati dan kadang-kadang mampu menitiskan air mata saya, ketika menjalankan penilaian berterusan ada di antara pelajar yang berada di Semester 4 pun masih tidak mampu membaca Al-Quran, ditambah lagi dengan ratusan yang membaca tanpa tatacara, adab dan tajwid yang betul. Ada juga yang menyalin bacaan Al-Quran dengan tulisan rumi untuk menghafal surah Ad-Dhuha dan Al-Insyirah yang sepatutnya telah dihafal seawal usia 5 tahun, walaupun jelas perbuatan tersebut adalah salah dan telah diputuskan sebagai haram. Mereka hanya tersenyum keranan gagal membaca apatah lagi memang tidak boleh membaca. Sedih, hiba, kecewa..Inilah tenaga kerja yang bakal mengisi sector pekerjaan samaada kerajaan mahupun swasta..

Saudara-saudara….

Kita akan marah apabila Al-Qur’an dihina, tetapi kita sendiri ‘menghina’ Al-Qur’an dengan tidak memperdulikanya . Kita sangat sakit hati apabila Al-Qur’an dikatakan telah ketinggalan zaman, tetapi kita sendiri telah berzaman meninggalkan Al-Qur’an, sehingga berhabuk dan sangat sepi dari disentuh.


Dengan kata lain, kita merelakan al-quran membatu sepi di almari kita, sepi tanpa pembacaan, gersang dari pengkajian. Kita sebenarnya sangat gagal untuk mengambil Al-Qur’an sebagai petunjuk. Sekali gus bermakna merelakan diri duduk dan tinggal di dalam kesesatan yang nyata . Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita,



تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

“Aku telah meninggalkan pada kamu dua perkara; jika kamu berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya” [HR Muslim].

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Kesimpulannya, hari ini kita sebagai umat Islam yang mendukung wawasan Al-Quran, kita seharusnya menyedari bahawa penurunan Al-Quran bukan sekadar untuk perhiasan, dipertandingkan, atau sekadar bacaan di majlis-majlis kematian sebenar ia turun membawa dimensi baru dalam melahirkan ummah yang cemerlang. Kecemerlangan itu telah terbukti dan dibuktikan oleh generasi lalu dan ianya bukan suatu yang mustahil untuk direalisasikan pada hari ini. Marilah kita memulakan langkah untuk:

Mempelajari Al-Quran

Membaca Al-Quran

Memahami Al-Quran

Mengamalkan isi kandungan di dalam Al-Quran .

Justeru, mari bersama kita semarakan budaya Al-Quran di politeknik kita, di sekolah kita, di pejabat kita, di taman kita dan dimana sahaja kita berada. mengapa perlu malu untuk mempelajarinya walaupun bermula dari alif ba ta. Malulah dengan Allah yang menyayangi kita tetapi kita gagal membalas cintanya. Mari bersama kita pastikan cahaya, nur, hidayah dan pancaran Al-Quran menerangi seluruh Politeknik Sultan Idris Shah dan kawasan sekitarnya . ayuh bagunlah generasi muda untuk kita mempertahankan Al-quran. Mari bersama kita mengambilnya sebagai petunjuk dan bukan untuk ditunjuk-tunjuk.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

0 comments:

Post a Comment