Pages

Tuesday, July 7, 2009

APA KATA ANDA ?

Festival Muzik Diteruskan Walaupun Kes H1N1 Dilapor Meningkat

KUCHING, 7 Julai (Bernama) -- Edisi ke-12 Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) pada Jumaat hingga Ahad ini akan tetap diteruskan walaupun timbul kebimbangan di kalangan masyarakat tempatan berikutan peningkatan kes jangkitan import dan tempatan Influenza A (H1N1) di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata Sarawak mengesahkan lapan kes baru jangkitan H1N1, termasuk lima jangkitan tempatan semalam, catatan tertinggi dalam masa sehari kes H1N1 yang pertama kali dikesan di negeri ini pada 22 Jun.

"Kami telah mengadakan persiapan (untuk menganjurkan festival muzik tahunan ini). Negeri ini memutuskan untuk terus mengadakannya, dan kami akan mengambil langkah-langkah pencegahan khusus," katanya kepada pemberita di sini.

Dr Chan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana negeri, berkata kes terbaru H1N1 menjadikan jumlah kes positif wabak itu di Sarawak kepada 16, termasuk lapan kes di Kuching, lima (Miri), dua (Bintulu) dan satu kes di Sibu manakala 24 kes sedang menunggu keputusan ujian.

"Amat malang, kami menjangkakan sejumlah kes (yang diuji) positif," katanya.

Dr Chan berkata lima kes jangkitan tempatan yang dicatatkan semalam termasuklah seorang wanita dan tiga anaknya yang berusia antara tiga dan tujuh tahun) yang mendapat jangkitan daripada suami/bapa mereka yang baru kembali dari Brunei.

"Mereka dirawat di wad isolasi Hospital Miri dan berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata tiada sekolah di Sarawak yang ditutup akibat jangkitan H1N1 kerana mereka yang positif dikuarantin di rumah.

Orang ramai bimbang, RWMF tahun ini yang akan mempersembahkan 13 kumpulan muzik antarabangsa dan empat kumpulan Malaysia di Kampung Budaya Sarawak, di Santubong dekat sini akan mengakibatkan penularan H1N1.

Penganjur festival itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menjangkakan kira-kira 20,000 peminat muzik menyaksikan festival tiga hari yang menjadi tarikan ramai itu.

Ditanya jika RWMF menjadi "bom jangka" berikutan ramai peminat muzik datang dari seluruh pelosok dunia, termasuk dari negara terjejas wabak H1N1, Dr Chan berkata Sarawak mengambil langkah pencegahan ketat bagi mengelakkan penularan selesema itu.

"Diharapkan, ia tidak mengorbankan sesiapa di sini," kata beliau, dan menambah kata bahawa Jabatan Kesihatan akan menggerakkan petugas kesihatan dari bahagian lain untuk festival itu.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan hotel di bandar raya ini hari ini bagi menerangkan mengenai langkah-langkah pencegahan dan saringan mengesan H1N1 semasa penganjuran RWMF.

"Kami ingin meminimumkan risiko," kata beliau. Sejumlah 20,000 topeng perlindungan muka akan diedarkan kepada pengunjung festival berkenaan.

Minggu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif STB Gracie Geikie berkata satu pasukan perubatan akan ditempatkan di Kampung Budaya Sarawak bagi tetamu STB, artis dan lebih 200 wartawan asing dari media cetak dan elektronik untuk melakukan saringan mengesan selesema setiap hari.



-- BERNAMA
Ustaz Khir : Apa kata anda ?. Menarik kan ?. Manusia memang sukar untuk menngambil iktibar. Selamat berkonsert...

0 comments:

Post a Comment