Pages

Monday, October 19, 2009

MINDA BERTERAS TAUHID

Dalam kehidupan, seringkali kita berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran dan situasi.Apa yang membezakan kita semua ialah tentang cara kita menghadapi situasi-situasi tersebut. Begitu banyak pilihan yang harus dibuat sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya.Jika kita hanya menuruti emosi, maka tindakan kita selalunya terburu-buru dan tidak memikirkan kesannya dengan teliti. Banyak keterlanjuran dan kesalahan berlaku kerana terlalu menurut perasaan.
.
Jika kita bertenang, mengambil masa untuk berfikir sejenak lalu bertindak menggunakan strategi yang dapat difikirkan akal, maka tindakan sebegini lebih efektif berbanding menuruti emosi semata-mata. Gunakanlah akal sebaiknya. Bukankah Allah ta'ala telah mengurniakan akal kita dengan kemampuan membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?

FirmanNya:"Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (As-Syams: 8-10)
.
Namun, akal manusia pun boleh dikelirukan. Hari ini, masalah akal yang terpesong ini makin teruk. Banyak hal yang disangkakan baik, sebenarnya buruk di sisi agama. Anda dapat lihat budaya homoseksual sudah dianggap sebagai biasa, sedangkan ini jelas-jelas dilaknat di sisi Allah. Demikian juga budaya hedonism, ini pun dilarang agama. Ini belum masuk golongan yang menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal.Kekeliruan sebegini berlaku kerana ada sesetengah manusia yang menyangka sebaik-baik keputusan adalah menurut akal semata-mata. Hakikatnya kita semua pun telah tahu akal manusia itu tidak sempurna, ia tidak dapat lari daripada kesilapan.
.
Penyelesaian bagi kekeliruan ini mudah sahaja, rujuklah kepada Al-Quran dan Sunnah RasulNya sebagai hakim dalam kehidupan. Kedua-dua sumber agama ini adalah sempurna dan terpelihara daripada kesilapan, sebagai manual kehidupan kita untuk meraih kejayaan di dunia dan di akhirat. Ramai orang memang sedia maklum hal ini, tapi hal ini perlu diingatkan selalu kerana ramainya orang yang sudah berani untuk meremehkan petunjuk agama.Pokoknya, untuk membuat pilihan dalam bertindak, tidak cukup dengan hanya menggunakan akal sahaja, tapi perlu pastikan justifikasi anda itu disuluhi dengan ilmu Islami yang sahih serta berpaksikan keimanan kepada Allah ta'ala.
.
Maksud saya, apabila anda berhadapan dengan sesuatu urusan atau masalah, tanyalah kepada diri, "apakah yang diperintahkan oleh Allah ta'ala apabila hambaNya berada dalam situasi sebegini? Jika saya bertindak begini atau begitu, apa kesannya untuk saya di akhirat nanti? Apakah Allah ta'ala redha atau murka jika saya berbuat begini?" dan lain-lain soalan sepertinya.Untuk justifikasi yang efektif, kita memang memerlukan ilmu. Lebih banyak yang kita belajar tentang Al-Quran dan As-Sunnah, maka semakin cemerlanglah pilihan tindakan yang kita ambil dalam kehidupan harian. Jadi, kita harus belajar, belajar dan belajar tanpa jemu.Apabila segala amalan kita berpaksikan untuk meraih keredhaan Allah ta'ala, segala amalan pasti dirasakan seronok. Kita lebih mementingkan kualiti kerja daripada hasilnya.
.
Mentaliti sebegini membolehkan kita merasakan kenikmatan melakukan sesuatu amal soleh. Sebab, kita sudah tahu Allah menilai usaha kita bukan hasilnya, sebab hasil usaha adalah menurut ketetapanNya. Sedangkan manusia pula menilai hasil, bukan usaha. Anda pilihlah, hendak redha manusia atau redha Allah?Bukan saya kata jangan melihat kepada hasil, cumanya, apabila kita lebih mementingkan hasil daripada kenikmatan proses bekerja kerana Allah, kemanisan bekerja itu tidak dapat dirasai. Ini resepi tepat untuk stress. Malah, pahala beramal pun mungkin tidak dapat. Oleh itu, bekerjalah habis-habisan kerana Allah, dan berdoalah untuk hasil yang terbaik.Apabila kita niatkan segala amalan kerana Allah, kenikmatan beramal akan terasa, insyaAllah.
.
Mengapa tidak mahu membaca buku kerana mencari redha Allah? Mengapa tidak mahu menyapu sampah kerana mengharapkan redha Allah? Mengapa tidak mahu senyum kepada seorang sahabat kerana inginkan redha Allah? Segala perbuatan yang halal dan bermanfaat, jika diniatkan kerana Allah, maka itu adalah ibadah. Bak kata Rasulullah s.a.w:"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niatnya" (Bukhari dan Muslim) Saya ingin bertanya lagi, adakah anda sentiasa merasakan Allah mengawasi segala isi hati dan tindak-tanduk anda?Jika tidak, itu satu masalah. Sebab, berasa aman daripada pengawasan Allah adalah salah satu muqaddimah untuk keinginan melakukan dosa. Jika anda tidak biasa mempunyai perasaan ini, paksalah dan ingatkan diri selalu tentang pengawasan Allah, sehingga perasaan ini menjadi automatik dan sebati dalam minda kita.
.
Minda yang berteraskan tauhid ialah minda yang sentiasa sedar akan pengawasan Allah.Kita semua tidak dapat terlepas daripada perhatian Allah ta'ala walau sesaat pun. Sebab itu kita perlu menjaga diri kita menurut pandangan Allah. Bukan pada pandangan manusia. Biarlah apa manusia hendak kata, baik mereka suka atau tidak, yang penting Allah redha kepada kita. Jika anda sentiasa patuh kepada perintah Allah dalam urusan keduniaan dan akhirat, jangan risau dengan kehidupan dan cabaran kehidupan duniawi, sebab Allah pasti akan memelihara anda. Bukankah Rasulullah s.a.w telah bersabda:"Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu" (Tirmidzi: Hadith ini hasan sahih) Sentiasalah ingatkan diri untuk bertaqwa kepada Allah ta'ala setiap masa. Semaikan kemurnian tauhid ke dalam corak pemikiran. Berfikirlah mengikut orientasi keimanan. Saya rasa anda sudah faham maksud saya.Mudah-mudahan, dengan menggunakan minda sambil berteraskan tauhid, urusan kehidupan akan dipermudahkan, jiwa menjadi tenang selalu, kemudian di akhirat kelak kita termasuk dalam kelompok orang-orang yang beroleh kemenangan. Itulah kepuasan dan keseronokan yang terunggul, tiada tolok bandingnya dengan segala kenikmatan yang pernah ada di dunia.Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment