Pages

Saturday, December 4, 2010

Mutiara Hijrah


Sekali lagi bulan Muharam datang menemui kita. Sekali lagi juga kisah-kisah berkaitan hijrah diulang-ulang dan disebut-sebut. Dari permulaan sehinggalah ke akhirnya. Di kalangan sesetengah masyarakat kedatangan Muharam tetap disambut sepi. Yang mengejutkan mereka hanyalah cuti umum. Si lalai tetap lalai dan si leka tetap leka. Tidak kurang juga ada yang hanya mengumpul koleksi cerita-cerita lucu dan kisah-kisah dengengan yang dihidangkan sebahagian penceramah. Sehinggakan tiada beza di antara yang sedar dan yang lalai. Kisah hijrah tetap menjadi sejarah dan tidak mampu menjana apa-apa.

Perjalanan hijrah Nabi S.A.W meninggalkan Mekah bukanlah beerti bumi Mekah kurang keberkatan dan kelebihan jika dibandingkan dengan Madinah. Bahkan perjalanan meninggalkan yang utama menuju yang ke suatu arah yang belum ada kepastian. Jadi apakah pendorong yang menyebabkan baginda dan para sahabat meninggalkan bumi penuh keberkatan ?. Sebabnya adalah kerana meninggalkan kemungkaran, meninggalkan kezaliman, yang tidak mampu mereka membendungnya. Mereka juga meninggalkan bumi yang Islam dihina di dalamnya dan tiada ruang bagi mempertahankan islam apatah lagi bagi menegakkan Islam dan melaksankan hukum-hukumnya.

Maka hijrah dalam maksud ini kekal sehinggalah ke akhir zaman. Keadaan umat Islam yang kita ada sekarang menuntut kepada hijrah. Dalam keadaan Islam dipandang hina dimana-mana, Islam dipersendakan, Islam dipandang lekeh dan dalam keadaan ketidak upayaan umat Islam untuk mempertahankannya, kita dituntut untuk berubah. Bukankah Allah S.W.T menyatakan :

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلآئِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمْ قَالُواْ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الأَرْضِ قَالْوَاْ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُواْ فِيهَا فَأُوْلَـئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَسَاءتْ مَصِيراً {97} إِلاَّ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاء وَالْوِلْدَانِ لاَ يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلاَ يَهْتَدُونَ سَبِيلاً


Sesungguhnya orang-orang Yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat Dengan berkata: "Apakah Yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang Yang tertindas di bumi". malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, Yang membolehkan kamu berhijrah Dengan bebas padanya?" maka orang-orang Yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.( ) Kecuali orang-orang Yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, Yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah) .

Bahkan ramai di antara kita memejamkan mata tatkala agama Allah dihina dengan alasan darurat. Apakah darurat yang dipertahankan. Tidak lain hanyalah mempertahankan darurat untuk hidup mewah, untuk hidup bermegah-megah, selesa dengan rumah dan kereta besar. Inilah darurat yang kita pertahankan.

Peristiwa hijrah juga mengajar kita untuk lari dari segala pergantungan melainkan Allah. Allah S.W.T pasti menguji manusia dengan pertembungan di antara dunia dan akhirat. Memilih di antara satu di antara dua. Memilih untuk memilih Mekah atau Madinah. Memilih di antara kemewahan duduk di Mekah atau sesutau yang belum pasti di Madinah. Memilih terus-terusan dizalimi atau memilih menuju kemengan Islam. Seperti Firman Allah :

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُواْ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik Yang menggagalkan tipu daya.

Perjalanan hijrah juga adalah perjalanan keyakinan kepada Allah. Perbezaan para sahabat dengan kita hari ini, mereka tidak melihat kemenangan itu seperti mana kita melihatnya. Mereka adalah generasi awal yang berjalan hanya di atas kepercayaan dan keyakinan. Keyakianan itulah yang mewarisi kejayaan yang dapat kita lihat hari ini. Malangnya kita hari ini hanya mempertahankan hasil perjuangan dari teras perjuangaan. Kita mempertahankan Monumen-monumen, arkib-arkib, kertas-kertas sejarah dan bangunan-bangunan tetapi melalaikan teras kepada perjuangan yang mendatangkan hasil. Kita mewajibkan manusia mempelajari sejarah tetapi melupakan kepada asa sejarah itu terbentuk. Kita leka meneliti tamadun tetapi melalaikan asas pembentukan tamadun.

0 comments:

Post a Comment