Pages

Monday, May 18, 2009

DOA MOHON KESELAMATAN DARIPADA WABAK

Ybhg Dato’ Hj Mohd Murtadza bin Hj Ahmad memesan agar doa ini dibaca 3 kali pagi dan 3 kali di waktu petang. Mudah-mudahan dapat melindung diri dari wabak, fitnah dan penyakit yang sedanng melanda negara.

تَحَصَّنَّا بِذِي الْعِزَّتِيْ وَ الْجَبَرُوْ تِ


وَ اعْتَصَمْنَا بِرَبِّ الْمَلَكُوْتِ


وَتَوَكَّلْنَا عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوْتُ


اللَّهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذَا الْوَبَاء


وَقِنَا شَرَّ الرَّدَى


وَنَجِّنَا مِنَ الطَّعْنِ وَ الطَّاعُوْنَ وَ الْبَلَاء


بِلُطْفِكَ يَاْ لَطِيْفُ


يَا خَبِيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٍ


وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ و سَلَّمَ .


وَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعلمين

"Kami berlindung dengan-Mu ya Allah, Tuhan yang memiliki keagungan dan kekuasaan, kami berpaut pada-Mu ya Allah, Tuhan pemilik sekelian alam yang ghaib dan kami bertawakal kepada-Mu ya Allah, Tuhan yang Hidup lagi tidak Mati. Wahai Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada wabak ini, lindungilah kami dari kebinasaan yang dahsyat dan peliharalah kami dari segala penyakit berjangkit, taun dan bala bencana, dengan Ihsan-Mu wahai Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya Engkau ya Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan penghulu kami nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Segala

pujian bagi-Mu ya Allah Tuhan Pemilik sekalian alam”.


Thursday, May 14, 2009

PETIKAN DARI BUKU NILAI MASA DISISI ULAMAK

Tha’lab An-nahwi menerima jemputan dengan syarat disediakan baginya ruang untuk dia mentelaah .

Menerusi kitab : Galakan menunutut ilmu dan kesungguhan di dalam menghimpunkannya, diceritakan bahawa Tha’lab : Nama beliau adalah Ahmad bin Yahya As-shaibani, salah seorang ternama di bidang nahu, lughah, sastera , hadith dan ilmu qiraat. Lahir pada tahun 200 h dan wafat pada 291 h, bahawa beliau tidak pernah berpisah dengan kitab yang dipelajarinya . Apabila beliau dijemput untuk menghadari sesuatu majlis ia hanya menerima jemputan tersebut dengan syarat disediakan baginya ruang seluas tempat bersandar bagi meletakkan kitab dan mentelaah .

Disondol binatang ketika bermutalaah lalu mati .

Sebab kewafatan beliau adalah pada hari jumaat selepas solat asar beliau keluar dari masjid, ditangannya ada kitab yang dibacanya semasa sedang berjalan, tiba-tiba datang seekor kuda menyondolnya menyebabkan beliau jatuh ke dalam longkang besar, setelah beliau diselamatkan didapati keadaannya seperti orang separa gila , lalu dibawa ke rumahnya di dalam keadaan dia mengeluh kesakitan terhadap kesakitan di kepalanya. Pada keesokan harinya beliau kembali menemui Allah .

Ibnu Jarir menjaga masanya dan keazamannya mentafsir quran sejumlah 30 ribu helai .

“ Beliau adalah syeikh bagi seluruh Ulama’ tafsir, juga pakar di bidang sejarah dan hadith, salah seorang ikon kehebatan di dalam mengisi ruang masanya dengan menuntut ilmu, menyampaikannya, menulis dan mengarang . Jumlah karangan Ibnu Jarir menjangkau satu bilangan yang amat dikagumi oleh pencinta ilmu” menurut Imam Al-Allamah Yaqut Al-hamawi menerusi tulisan beliau ( Mu’jam Al-Udaba’ ). Di dalam menyebutkan biografi Imam Ibnu Jarir, Al-hafiz Al-khatib Al-baghdadi juga tidak ketiggalan mencoretkan kehebatan Imam Ibnu Jarir di dalam kitab beliau ( Tarikh Baghdad ). Maka di sini saya mencatatkan beberapa fakta peting mengenai Imam yang hebat ini .

Diceritakan oleh Ali bin Abdullah Assimsi daripada Qadhi Abi Umar dan Abi Qasim Warraq : “sesunguhnya Imam Abu Ja’far pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya : “Apakah kalian mempu untuk mentafsir al-quran ?”. Mereka bertanya : “Berapa jumlahnya ?”

“30 ribu helai Jawab beliau” . Sahabat-sahabatnya lantas berkata perkara ini : “mentafsirkan quran dengan kadar yang sebigini banyak akan mengahabiskan umur sebelum sempat kita menyempurnakannya !” lantas imam Tobari meringkaskan tafsir tersebut kepada 3000 helai sahaja dalam tempoh 7 tahun bermula tahun 283 sehingga 290 h” .

Keazamannya menulis kitab tarikh sejumlah 30 ribu helai.

Kemudian Imam Ibnu Jarir bertanya lagi kepada mereka : “Apakah kalian mampu untuk mencatat buku sejarah sejak zaman Nabi Adam hingga ke zaman kita ?” Mereka bertanya : “Berapa jumlahnya ?”

“30 ribu helai Jawap beliau” . Sahabat-sahabatnya lantas berkata : “Perkara ini ( mencatat sejarah sejak zaman Nabi Adam hingga ke zaman kita dengan kadar yang sebigini banyak ) akan menghabiskan umur sebelum sempat kita menyempurnakannya !” Lantas beliau berkata : “إنا لله ، sebenarnya keazaman yang tinggi telah hilang daripada kita”. Lantas imam Tobari meringkaskan tarikh tersebut kepada 3000 helai sahaja dan selesai mengulangkajinya pada hari rabu 27 rabiul akhir tahun 302 h .

Beliau mengarang sebanyak 40 muka surat dalam sehari .

Kata Khatib Al-Baghdadi : “Saya mendengar As-simsi menceritakan bahawa sesungguhnya Ibnu Jarir mengarang sebanyak 40 muka surat dalam sehari. Usaha ini berterusan sehingga 40 tahun” . Diriwayatkan oleh muridnya yang bernama Ibnu Ja’far Al-farghani di dalam kitabnya yang mesyhur ( Assilah ) , bahawa sekumpulan murid-murid beliau menghitung umur gurunya Ibnu Jarir sejak ia baligh sehingga kewafatannya ( 86 tahun ) , iaitu kira-kira 70 tahun , kemudian mereka mengagihkan umur tersebut kepada helaian-helaian tulisan berliau, maka keputusan yang dapat dilakukan melalui perhitungan itu adalah tuan gurunya menulis sebanyak 14 helain di dalam satu hari”. Perkara ini tidak mampu dilakukan oleh mana-mana manusia melainkan dengan Inayah dan bimbingan daripada Allah Taala.

Jumlah karangan beliau adalah 358 ribu helai .

Imam Ibnu Jarir diputerakan pada 224 h dan meninggal dunia pada tahun 310 h . Apabila dikira umur beliau sejak baligh hingga kewafatannya , ini beerti beliau telah hidup selama 72 tahun ( setelah ditolak 14 tahun umur sebelum baligh ) . Didarabkan dengan 14 helaian setiap hari, ini bermaksud himpunan karangan beliau adalah sebanyak 358 ribu helaian .

Murid-murid belaiu mencatat bahawa jumlah kitab tafsir dan tarikhnya adalah sebanyak 7 hingga ke 8 ribu helaian . Kini, kitab tarikh At-tobari telah tercetak dengan bilangan 11 jilid yang besar, manakala kitab tafsir beliau pula telah dibukukan menjadi sebanyak 30 jilid besar . Cubalah pula kamu hitung kitab-kitab karangan beliau yang berbaki iaitu berjumlah 351 ribu helaian lagi. Maka ianya bolehlah dijadikan satu perpustakaan lengkap dengan kepelbagain ilmu . Semuanya ditulis dengan tangannya sendiri, maka kejernihan ideanya serta kehebatan ilmunya umpama madu lebah asli dan keju yang menyelerakan. Semua perkara ini tidak akan berlaku kalau tidak kerana kebijaksanaan beliau di dalam mengatur dan menyusun masanya, dan kehandalan beliau bagaimanakah cara terbaik mengisinya dengan menuntut ilmu dan mencatatkannya demi generasi yang akan datang .

Penyusunan masa dan kerjanya .

Qodhi Abu bakar bin Kamal yang merupaan anak murid dan sahabat kepada Imam Ibnu jarir pernah menyebutkan kaedah penyusunan masa dan perkerjaannya, kata beliau :

“Adalah Imam Ibnu Jarir setelah makan akan tidur di atas pakaian daripada jenis kain yang lembut dan benangnya pula adalah tebal dan kasar, yang diperbuat daripada benang kattan pilihan, dipakai ketika cuaca panas bagi menyejukkan badan, lengan bajunya pendek dan dicelup dengan minyak wangi jenis sandal dan mawar. Kemudian beliau bangun dan bersembanyang zuhor di rumahnya, lantas menulis sehinggalah masuk waktu asar, kemudian beliau akan duduk mengajar sehingga masuk waktu maghrib , pengajian fekah pula disambung selepas solat isyak . Setelah itu beliau masuk ke rumahnya . Beliau telah membahagi-bahagikan masanya untuk kepentingan diri, agama dan masyarakat sebagaimana beliau mewakafkan waktunya kepada Allah .

Masih menulis walaupun ketika saat kewafatannya .

Al-ustaz Kurdali di dalam tulisannya yang berjodol ( Kunuz Al-ajdaad ) ada mencatatkan biografi Ibnu Jarir dengan katanya : “Tidak pernah tercatat bahawa Imam Ibnu Jarir membazirkan walaupun satu detik daripada umurnya melainkan untuk menimba ilmu dan menyampaikannya” . Al-Mua’fi meriwayatkan daripada sebahagian orang yang boleh dipercayai , bahawasanya ia berada di sisi Imam Abi Ja’far sebelum kewafatannya . Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir sejam atau kurang dari waktu kedatangannya. Dinyatakan padanya bahawa doa ini datangnya daripada Ja’far bin Muhammad, lantas ia minta agar diambi l pen dan kertas agar ia dapat mencatat doa tersebut. Ditanya kepada beliau : “Apakah disaat ini ?”. Lantas beliau menjawab : “Sepatutnya bagi manusia itu tidak sekali-kali membiarkan ruang masanya berlalu begitu sahaja tanpa mnuntut ilmu sehingga disaat kematiannya” . Moga Allah merahmati beliau terhadap pengorbaanan yang dilakukan untuk agama dan ilmu dengan sebaik-baik ganjaran .


P/S : Sesuai untuk bahan bacaan sampingan ketika menyampaikan kuliyah / ceramah dan usrah.

Harga : RM 20

Untuk tempahan : 0193231429

TIPS REFRESH IMAN 3

KERTAS KERJA IDEA: KE ARAH MEMARTABATKAN USRAH


USRAH

Usrah merupakan satu daripada enam elemen yang diperkenalkan oleh Ikhwan al-Muslimun dalam meningkatkan mutu pertarbiahan ahli gerakan Islam. Ia bermatlamatkan membina ukhuwah atas sendi aqidah, fikrah, kesedaran, dan cita-cita. Matlamat ukhuwah diletakkan sebagai matlamat tertinggi di samping proses menerapkan kefahaman dan membina kaderisasi yang bernilai.

Ukhuwah dianggap sebagai asas kejayaan bagi sesebuah gerakan sebagaimana termaktub dalam nas-nas yang sorih. Ia dijadikan sebagai imad dan autad yang menjadi pemangkin, seolah-olah akar yang mencengkam bumi, jauh ke dalam. Proses membina ukhuwah mestilah kreatif dan biasanya ia terbina setelah melalui halangan-halangan kepayahan.

Puzzle adalah gambarannya, ada yang besar dan ada yang kecil, saling melengkapi antara satu sama lain. Konsep ithar melangkaui walaw kaana bihim khasasah adalah tahap tertinggi dalam konsep ini, sekurang-kurangnya berlapang dada dan meletakkan segala keburukan pada diri sendiri dan menyahkan perasaan prasangka tidak menentu terhadap orang lain.

Konsepnya sebegini: Lupa kebaikan diri, tetapi ingat kebaikan orang. Ingat keburukan diri, tetapi lupa keburukan orang. Dalam usrah, soal ini yang dibina. Seolah-olah, tayar sahaja tidak dianggap kereta. Stereng juga tidak boleh dikatakan kereta. Tetapi gabungan kesemua termasuk pintu, baru membentuk sebuah kereta. Kepala tidak indah tanpa rambut sebagaimana tangan tidak berguna tanpa oto-otot yang menggerakkannya. Tubuh pula tidak bernyawa tanpa jantung yang berfungsi.


ELEMEN-ELEMEN PENGUAT USRAH

Elemen terpenting dalam pembentukan adalah murabbi. Murabbi adalah penternak yang berjiwa dan mempunyai selera yang tinggi untuk memenangkan Islam dengan apa cara sekalipun. Ini digambarkan oleh Sa’id Hawwa berkenaan gurunya, betapa gurunya bekerja mempertahankan Islam seolah-olah Islam seekor kambing yang disembelih.

Murabbi tidak boleh hanya seorang yang soleh tanpa menafikan kesolehan sebagai faktor terpenting. Murabbi perlu melengkapi dua faktor utama mencakupi kesolehan dan kebijaksanaan. Ia boleh kita sebutkan juga sebagai kuasa Al-Quwwah wa al-Amanah. ‘Umar menyatakan kebimbangan terhadap maksiat-maksiat yang dilakukan kerana dibimbangi akan menghilangkan keberkatan, dan dalam masa yang lain beliau menyatakan kegusaran terhadap orang yang tinggi taqwa tetapi tidak strategis.

Murabbi menghayati makna mas’ul dan melengkapi raa’in. Mereka mendidik ahli mengikut kesesuaian zaman mereka, bukan mengikut zaman mereka ditarbiah. Mereka memahami kalam Albert Enstein: Permasalahan masa dahulu akan dapat diselesaiakn dengan pemikiran masa sekarang.

Idealisme mereka memuncak dan mereka mencintai pembaharuan. Seorang sarjana menyebut, perkara yang sentiasa berganjak dan tidak static adalah perubahan. Mereka sentiasa mencari strategi untuk membentuk ahli mereka.

Elemen seterusnya adalah manhaj tarbiah. Namun manhaj tarbiah dan elemen seterusnya bukanlah satu perkara yang terpenting jika dibandingkan dnegan murabbi, kerana dalam membentuk fard muslim yang bernyawa, seorang murabbi tidak akan mengira siapa sahaja yang menjadi anak didik mereka. Tidak perlu kita katakan nilai kesetiaan dan kepatuhan itu penting, cukuplah dikatakan sebagai supplement dan perencah menambah rasa.

Namun janganlah sampai kita mengabaikan manhaj ini kerana sesuatu yang bermanhaj akan melicinkan lagi perjalanan. Ia ibarat minyak pelincir yang banyak memberikan manfaat kepada gerakan Islam. Struktur manhaj boleh diperhalusi berdasarkan sirah-sirah nabi SAW dan apa yang telah disusun para ulama haraki yang faqih, bukan hanya alim.

Pembentukan ahli jangan hanya dilihat dari kaca mata nilai budi dan ilmu semata-mata, kerana sejarah membuktikan Islam pernah bangkit di tangan orang yang kurang nilai budi dan kurang berilmu. Khalid al-Walid telah melanggar beberapa arahan nabi dan bertindak semberono tetapi beliau merupakan enjin utama kepada gerakan. Ikramah belum sempat mendalami ilmu sedalam mungkin tetapi mati sebagai syuhada’ dalam membela Islam.

Senangnya disebut, kita jangan menyangka hanya orang yang ‘baik’ menjadi pemenang kepada Islam. Justeru, pemilihan ahli mestilah meluas. Kita mungkin boleh menyandarkan kekuatan kita kepada kata-kata Umar al-Khattab: Sesungguhnya nilai Islam ini berkurangan sedikit demi sedikit apabila tiada lagi orang yang mengenal jahiliyah dalam Islam.


MEKANISME USRAH

Apabila dikatakan pemilihan ahli ini luas dan tidak terbatas dalam satu-satu sempadan, maka nilai kekreatifan dan kritis sangat mustahak. Mungkin usrah akan berbentuk ilmu jika ahlinya terdiri daripada pencinta ilmu, atau boleh jadi juga sebaliknya. Usrah mungkin boleh jadi praktikal dan bersifat amali jika ahlinya terdiri daripada orang yang banyak bergerak daripada bercakap, namun boleh juga jadi sebaliknya sebagaimana di atas.

Usrah boleh dibuat dalam bentuk daurah yang leboh menitik-beratkan soal perbincangan. Alangkah baik sekiranya apa yang dibincangkan dimuatkan dalam satu kertas kerja idea lalu dibentangkan di peringkat yang lebih tinggi, atau sekurang-kurangnya dijadikan sahaja bahan rujukan.

Usrah boleh dibuat dalam bentuk yang agak ‘memaksa’ dalam melatih ketekunan dan kekuatan ahli sekaligus menjadikan ahli sebagai nadi utama gerakan. Malah ia boleh juga dibuat dalam riadah, ziarah, dan sebagainya. Kita tidak boleh terlalu rigid dengan usrah sehingga kita menganggap usrah sebagai medan yang agak ‘ortodoks’ dan beku, sebaliknya usrah mesti digerakkan dalam bentuk fluidity yang mencair dan menyerap, bagaikan aliran air yang tidak mampu disekat oleh mana-mana batu.

Justeru, kemungkinan naqib akan membuat tayangan video, atau belanja makan malah ‘dibelanja’, bermain teka-teki, belajar bersama-sama, membuat operasi khusus Malam Merdeka atau Malam Tahun Baru, bermain carrom atau chess, belajar skill computer, berniaga kecil-kecilan dan sebagainya. Semua ini anjal dilaksanakan dengan syarat unsur kefahaman dan kesedaran mesti diberikan secara implisit dan eksplisit.


TADRIJ

Unsur tadrij sangat penting dalam mana-mana tarbiah. Kita tidak boleh memetik buah sebelum masaknya, atau menggerakkan kereta di waktu pagi tanpa memanaskan enjin terlebih dahulu. Malah nabi SAW mengajar kita, untuk bertahajud sekalipun memerlukan kepada solat sunat dua rakaat yang ringkas.

Tadrij bermaksud beransur-ansur. Bermakna, dalam tarbiah memerlukan kepada pemeringkatan dalam memastikan ahli usrah akan melalui kesmeua pengalaman tarbiah dalam bentuk yang lebih membumi. Seseorang yang tidak melalui unsur tadrij akan mudah tenggelam dan lemas sekalipun pada awalnya mereka merupakan seorang yang sangat bersemangat.

Dalam tadrij, satu perkara yang boleh dikadikan peringatan ialah, jangan kita ingin melihat hasil sesuatu perkara dalam jangka terdekat kerana perjuangan memerlukan kepada jangka hayat yang panjang dan memerlukan nafas yang tidak semput.

PENUTUP

Terlalu banyak perkara yang ingin disentuh berkaitan dengan usrah. Perbincangannya terlalu panjang dan ia memelukan kepada syarahan lisan dan pembacaan yang meluas. Kita tidak boleh lagi terikat dengan pendekataan Al-Banna secara rigid tetapi mengadaptasikannya mengikut kesesuaian.

Wednesday, May 13, 2009

Khutbah Jumaat 15 Mei 2009



الحمد لله ثم الحمد لله، الحمد لله حمداً يوافي نعمه ويكافئ مزيده، يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجهك ولعظيم سلطانك، سبحانك اللهم لا أحصي ثناء عليك أنت كما أثنيت على نفسك، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله وصفيه وخليله، خَيرُ نبيٍ أرسله، أرسله الله إلى العالم كلِّهِ بشيراً ونذيراً، اللهم صل على سيدنا محمد و على آل سيدنا محمد صلاةً وسلاماً دائمين متلازمين إلى يوم الدين أَمَّا بَعْدُ ، وأوصيكم أيها المسلمون ونفسي المذنبة بتقوى الله تعالى…
Sidang Jumaat Yang Di Rahmati Allah…

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, marilah kita sama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa setiap individu Muslim itu sendiri.

Kebelakangan ini kita menyaksikan peningkatan kadar jenayah yang berlaku di kalangan remaja .Statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan golongan itu.
Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan. Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Ketua Polis Negara, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh. Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

Saudara-saudaraku sekalian…

Ada dikalangan kita Cuma memandang statistik ini sebelah mata. Mereka dengan angkuh mangatakan : ”jika dibandingkan dengan jumlah 5.4 juta pelajar di seluruh negara Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah hanyalah 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhannya. Ya... saya mengakui kebenaran statistik tersebut jika dipandang dari suatu sudut. Bagaimana pula statistik mereka yang terlibat di dalam aktiviti maksiat dan kemungkaran.. Berapa tangkapan dibuat, berapa tahun penjara dikenakan.. Seandainya kita khuatir dan bimbang dengan kadar jenayah yang meningkat seharusnya kita perlu lagi bimbang dengan merebaknya maksiat dan kemungkaran yang berlaku terhadap golongan tersebut walaupun tidak dikategorikan sebagai suatu jenayah. Adakalanya sesuatu yang dipandang jelek di dalam Islam belum tentu dipandang salah di dalam undang-undang. Sebagai contoh apabila ada artis yang berpelukan di majlis-majlis tertentu dengan lantang mereka mengatakan “kenapa perlu dihebohkan masalah itu, kami Cuma berpeluk bukan berzina, ada juga yang mengatakan kami hanya minum-minum dan duduk-dudk di kafeteria bukan berzina, dan yang paling biadap ada yang berani mengatakan kami hanya bercumbu dan bukan berzina” Kenyataan-kenyataan dan perbuatan biadap sebegini tidak termasuk di dalam kategori jenayah yang kita sebutkan tadi. Nah ! nyatanya apa yang kita lihat boleh diibarat seperti ketulan aisberg yang terapung dipermukaan lautan tanpa kita sedari di dalamnya ketulan yang berganda dari apa yang dipaparkan. Kita rasa lega bilamana statistik jenayah Cuma membabitkan 0.03 pertaus dari keseluruhan pelajar, dengan segaja kita melupakan kemungkaran yang lain yang lebih berleluasa.

Saudara-saudaraku sekalian…

Baginda s.a.w bersabda :

مَن رَأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان
Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran berlaku dihadapan matanya, cegahlah dengan tangannya ( iaitu kekuasaan, jawatan dan pangkat yang ada padanya ), seandainya ia tidak mampu cegahlah ia dengan lidahnya, dan seandainya ia tidak mampu tanamkan kebencian di dalam hati. Maka itu adalah selemah-lemah iman. Persoalannya, Adakah kita semua benar-benar serius untuk membenteras kemungkaran yang berlaku ?. Adakah kita benar-benar bersedia untuk membangkitkan gelombang kebangkitan Islam di tempat kita atau selama ini kita hanya melepaskan batuk ditangga. Menjalankan kewajipan hanya kerana habuan dunia yang tidak seberapa. Saya datangkan dengan analogi mudah untuk kita fahami.. Negara kita sedang diancam dengan virus rempit yang membimbangkan. Benarkah kita benar-benar serius memeranginya ?... Jika benar kenapa filem-filem seperti Remp-it, impak maksima, Bohsia : jangan pilih jalan hitam dan pelbagai lagi filem-filem dan drama2 yang menlonjakkan keghairahan remaja…dibenar tayang dinegara kita ?. Adakah kita benar-benar serius ? . Tidak kurang juga ada yang mencadangkan mereka-mereka yang terlibat dengan jenayah ini dihantar mengikuti kursus-kursus motivasi atau anjakan personaliti. Mereka juga di dedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang kononnya dapat membangkitkan semangat motivasi dan harga diri mereka, dalam masa yang sama program yang dihidangkan mencampurkan lelaki dan perempuan, saling bertepuk tampar, saling tolak-menbolak, angkat mengangkat, bersuka ria, mereka juga ditutup matanya sambil berbaris mengelilingi bangunan dicampurkan lelaki dan perempuan yang saling berpautan antara mereka. Adakah kita ingin membangunkan manusia dengan mengundang murka Allah. Adakah kita benar-benar serius di dalam membangunkan bangsa ? . Mampukah manusia dibina dengan mengundang murka Allah. Mampukah semangat motivasi dibangkitkan dengan menghalalkan percampuran di antara lelaki dan perempuan yang nyata ada kemurkaan Allah, mampukah mat rempit diselesaikan dengan mengenepikan pandangan Allah ?. Mari bersama kita menghayati firman Allah :
6. (Kami tetap akan membinasakan orang-orang Yang menentangmu Wahai Muhammad), tidakkah Engkau perhatikan, Bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)
7. Iaitu penduduk "Iram" Yang mempunyai bangunan-bangunan Yang tinggi tiangnya,
8. Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di Segala negeri (pada zamannya)?
9. Dan kaum Thamud Yang memahat batu-batu besar di lembah menjadi rumah kediaman mereka?
10. Dan Firaun Yang Menguasai bangunan-bangunan Yang handal kukuh?
11. (semuanya itu ialah) orang-orang Yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).
12. Lalu mereka melakukan Dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.
13. Dengan Yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;

Allah menyatakan dengan tegas, pembangunan manusia bukan diukur dengan kehebatan jasmani, ketinggian bangunan pencakar langit, bukan juga kerana kecanggihan inovasinya tetapi ketamadunan dan Negara bangasa hanya mampu dibangkitkan dengan mengenalkan manusia kepada Tuhannya. Justeru...mari bersama kita berganding bahu bagi membangun dunia ini. Pastinya di dalam perjalanan yang jauh itu terdapat pelbagai halangan dan ranjau berduri. Maka mereka yang benar-benar bersedia untuk membangankan manusia sahaja yanag pasti akan berjaya.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.




Khatib Minggu Ini : Ustaz Nahrawi bin Kasim
Salinan khutbah akan diedarkan semasa solat Jumaat.

TIPS REFRESH IMAN 2

Bersihlah kamu sebelum kamu dibersihkan,
Berwudu' lah kamu sebelum kamu diwudu'kan
Dan bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tak guna lagi berseri

Walau orang hadir itu merintih
Selepas itu kau akan diletakkan ke lantai
Lalu dilaksanakan solat jenazah
Dengan 4 kali takbir dan satu salam
Beserta fatihah, salawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah
Tapi apakah dengan 4 kali takbir itu
Dapat menebus dosa solat yang ditinggalkan
Seumur hidup
Apakah dengan solat tanpa ruku' dan sujud itu
Dapat membayar hutang ruku' dan sujud
Yang telah luput
Sungguh tertipulah dirimu jika berfikir begitu
Justeru ku menyeru sekalian muslimin muslimat

Usunglah dirimu untuk solat
Sebelum engkau diusung ke liang lahat
Menjadi makanan cacing dan ulat
Dirimu ke masjid
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam bar z a h

Sucilah kamu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu dengan panggilan Izrail
Yang menakutkan
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ia berguna untuk yang tinggal
Dan bukan yang mati
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan

Namun ketika itu istighfar tak dapat menyelamatkan
Ingatlah di mana jua kau berada
Kau tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi langit Tuhan
Serta menikmati rezki Tuhan
Justeru bila Dia menyeru sambutlah seruannya

Sebelum Dia memanggil buat kali yang terakhir
Ingatlah kamu dijadikan dari setitis air
Yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membentuk tulang-tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat
Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi mulakanlah untuk melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan haiya `alalsolah
Dengan penuh rela dan bersedia
Sahutlah seruan haiya `alalfalah
Jalan kemenangan akhirat dan dunia
Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Untuk kembali kepangkuan Tuhan

Pada hari itu
Tiada berguna harta, tahta, dan putra
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tidak mencecah sejadah di dunia

Wednesday, May 6, 2009

TIPS REFRESH IMAN 1

Dunia tiba - tiba dengan wabak yang sebelum ini dipanggil selesema babi dan kini disebut Influenza A .

Wabak ini sepertimana antrak seketika dulu begitu cepat merebak ke seluruh negara sehingga memeningkan kepala WHO untuk menanganinya .

laporan awal menunjukkan wabak ini bermula dari Mexico dan kemudiannya di Amerka Syarikat .

Kini dunia diletakkan dalam keadaan berjaga - jaga bagi menghadapi wabak yang membawa maut itu .

Perhatian Amerika yang selama ini difokuskan kepada Osama ben Laden atau Gerakan Al Qaeda kini terpaksa beralih kepada wabak selesema babi yang telah merebak tanpa melalui sempadan imigresen yang dikawal rapi . Setelah ratusan jiwa mati kerana mengidap wabak ini telah mencetus rasa takut yang begitu dahsyat kepada dunia .

Industri pelancungan dunia tiba - tiba merudum angkara wabak bahaya ini dan menyumbang kerugian besar kepada negara - negara tumpuan pelancung termasuk negara maju seperti Amerika . Nyata mereka gagal untuk menyembunyikan keadaan "tertekan" yang dialami oleh mereka ekoran wabak ini setelah masaalah kelembapan ekonomi yang sedia mereka alami sebelumnya masih tidak dapat diatasi sepenuhnya .

Saya kira ini antara bala Allah swt . yang sedang melanda dunia angkara perbuatan tangan - tangan manusia yang rakus dan zalim . Mereka melanggar ketetapan dan syariat Allah swt sebagai empunya alam ini bahkan kekejaman manusia kini sampai ke peringkat yang sangat keterlaluan . Membunuh , mencabul hak kemanusiaan , menghina agama dan mencabar hukum Allah swt .

Sekarang Malaysia pula diletakkan dalam keadaan berjaga - jaga . Kedudukan Mexico yang begitu jauh dari Malaysia tidak cukup untuk menjamin keselamatan negara dan rakyat dari jangkitan wabak ini .

Semalam tv memaparkan bagaimana rakyat Mexico berbondong - bondong mengunjungi gereja dan berpaut di palang salib bagi berdoa agar selamat dari wabak merbahaya ini . Apakah selepas ini kita akan melihat rakyat di negara kita juga akan segera mengunjungi masjid dan membanjiri surau untuk berdoa kepada Allah swt agar selamat dan dilindungi penyakit ini .

Sebelum ini fenomena hampir serupa pernah melanda negara apabila negara dilanggar tsunami yang dahsyat . Sepanjang bulan pertama , masjid dan surau serta kelas pengajian penuh dihadhiri orang ramai yang rata - rata menunjukkan wajah insaf mereka .

Malang , apabila memasuki bulan kedua keadaan kembali kepada asal . Hari ini anak - anak muda sedang berpusu - pusu menempah tiket wayang berjudul Bohsia dan lainnya termasuklah gembira dan riang mengunjungi tapak ekspo dan Sure heboh tanpa peduli waktu solat dan kelas pengajian .

Apakah Influenza A adalah amaran dari Allah swt ? begitulah Rahmat dan Rahimnya Allah swt , biarpun hambaNya sering derhaka dan lupa kepadaNya , Ia masih menghantar isyarat agar hambaNya kembali insaf dan mengabdikan diri kepada Allah swt .

- http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/05/wabak-influenza-h1n1.html

Tuesday, May 5, 2009

SELSEMA BABI - BICARA ALLAH BUAT KITA

Pasted from : http://hairulnizammathusain.blogspot.com/
Oleh : Ustaz Hairul Nizam bin Husin

Saya memang dah lama ingin paparkan kepada para pembaca isi khutbah Jumaat lepas (1.5.2009) yang disampaikan oleh Dr. Yusri al-Hasani di masjid beliau. Isinya sangat menarik. Cuma kerana masalah internet yang tak dapat berfungsi dan saya tidak berada di rumah menyebabkan hasrat ini tergendalah. Alhamdulillah saya berkesempatan hari ini setelah internet di rumah saya dapat diperbaiki. Sungguh. Pelajar hari ini memerlukan dua perkara; internet dan laptop agar pelajar miskin seperti saya dapat meneliti dan membelek buku-buku serta manuskrip ulama silam yang sekiranya ingin dibeli, entah bila saya akan mampu untuk beli.

Berikut adalah beberapa isi khutbah Fadhilat al-Syaikh Dr. Yusri al-Hasani Jumaat lepas:

Pertama: Allah Taala Sedang Berbicara Dengan Kita.

Semasa zaman para nabi dan para rasul, Allah berbicara dengan mereka yang mulia ini melalui perantaraan wahyu. Namun apabila Nabi dan Rasul terakhir, Sayyidina Muhammad kembali ke hadrat Allah Taala, maka wahyu sudah tidak lagi menjengah bumi. Namun Allah tetap terus berbicara dengan manusia melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kita perlu memandang setiap musibah dan ujian yang berlaku sebagai satu bentuk ucapan dari Allah yang ingin menyampaikan sesuatu kepada kita.

Kedua: Penyakit Yang Belum Pernah Berlaku Sebelum Ini Apabila Muncul Pada Zaman Ini...

Rasululllah pernah menyatakan bahawa apabila manusia semakin menjauhi Allah Taala, maka Allah akan menimpa mereka dengan pelbagai wabak dan penyakit yang belum pernah ditimpa kepada orang-orang terdahulu. (Saya akan paparkan kepada saudara hadith-hadith tersebut sedikit masa lagi). Ini adalah bukti kebenaran Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wasallam.

Ketiga: Bala Yang Berlaku Adalah Natijah Jauhnya Manusia Daripada Mengikut Perintah Allah.

Apabila kemusnahan dan musibah itu berlaku kepada tanaman, maka Allah ingin berbicara dan menyatakan kepada kita bahawa manusia tidak menunaikan hak Allah yang ada pada tanam-tanaman. Lalu Allah membinasakan tanaman agar manusia kembali sedar bahawa mereka tidak menunaikan hak mereka terhadap golongan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan.

Apabila kemusnahan itu berlaku pada binatang ternakan, maka itu adalah tanda bahawa kewajipan yang berkaitan dengan binatang ternak tidak dilunaskan oleh manusia. Berapa ramai pengusaha jualan daging ayam tidak menunaikan zakat perniagaan. Akhirnya Allah ingin menarik kembali orang Islam daripada terus lalai dengan cara menurunkan selsema burung yang menyerang binatang-binatang ternakan agar orang yang berfikir dapat memahami bicara Allah.

Hari ini kita diserang dengan satu wabak baru iaitu selsema babi. Babi adalah binatang yang Allah haramkan orang-orang Islam memakannya. Bagaimana binatang yang diharamkan ini boleh diternak dan dibiakkan di dalam negara-negara umat Islam?!! Ketua Paderi Mesir; Baba Syanoda sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa agama Kristian turut mengharamkan penganutnya memakan babi sebagaimana yang termaktub di dalam Old Testament.

Akhirnya bagi menyedarkan orang-orang Islam bahawa mereka wajib melunaskan suruhan Allah yang berkenaan dengan babi, Allah menurunkan selsema babi sebagai amaran dari Allah.

Keempat: Apabila Seseorang Muslim Itu Menjauhi Allah, Dia Akan Diuji Oleh Allah.

Ujian yang Allah timpakan kepadanya hanyalah agar dia kembali berfikir dan bertafakkur dalam menginsafi diri atas maksiat yang dilakukannya. Maka dia akan menyatakan dari jauh hati kecilnya bahawa Allah menimpanya dengan pelbagai masalah dan musibah hanya semata-mata kerana ingin dia kembali pada Khaliqnya.

Suasana ini sangat berbeza dengan orang yang bukan Islam. Semakin mereka menjauhi Allah, mereka akan diluaskan dengan pintu nikmat dan kemewahan kerana kemewahan yang mereka kecapi hanyalah di dunia ini semata-mata. Selepas mereka menemui Allah, mereka akan menanggung kemurkaan Allah selama-lamanya. Azab dan siksa yang tidak akan berlalu akan terus dirasai oleh mereka disebabkan kekufuran mereka kepada Allah Rabbul Jalil.

Kelima: Penyakit Taun Yang Dahsyat

Berlaku pada zaman Mamalik di Mesir satu musibah yang cukup mengerikan yang menyerang Mesir ratusan tahun yang lampau. Mesir pernah dilanda dengan wabak taun yang telah membunuh 20% penduduk Mesir ketika itu. Sejarawan menyatakan bahawa wabak yang dahsyat ini telah menyebabkan berlakunya satu fenomena iaitu: harta seseorang yang baru meninggal dunia kerana diserang taun ini akan berpindah milik pada hari kematian tersebut kepada golongan yang ketujuh yang berhak menerima harta pusaka. Ini kerana seusai matinya seseorang itu, anak-anaknya akan turut mati dan seterusnya dan seterusnya sehingga harta pusaka akan terus beralih kepada pihak yang ketujuh disebabkan pihak yang pertama hingga pihak yang keenam turut meninggal dunia pada hari yang sama.

Sekiranya diteliti kepada suasana yang berlaku sebelum taun yang menggila ini menyerang Mesir, kita akan mendapati bahawa jenayah LIWAT adalah tersebar luas di kalangan pemerintah Mesir ketika itu (golongan Mamalik) sehingga setiap seorang di kalangan mereka memiliki seorang kekasih lelaki yang akan diliwatnya.

Allah yang Maha Adil dan Maha Penyanyang akhirnya membersihkan Mesir daripada kekotoran ini dengan mengutuskan wabak Taun untuk dijadikan pengajaran kepada umat-umat yang mendatang.

Keenam: Teruskan Amalan Baik Anda.

Menjadi satu fitrah dan Sunnatullah bahawa seseorang yang sudah biasa dan melazimi satu perbuatan baik tertentu apabila dia meninggalkan kelaziman tersebut, Allah akan memberikan kepada dia ujian dan musibah agar dia kembali memikirkan kesilapannya. Ujian yang diberikan ini hanyalah kerana Allah inginkan perbuatan baik dan soleh itu diteruskan.

Berlaku pada diri Dr. Yusri sendiri apabila seorang wanita Mesir dalam lingkungan umur 60 tahun datang menemui Dr. Yusri yang turut merupakan seorang pakar bedah. Wanita tersebut mengadu bahawa dia mengalami kesakitan yang amat sangat di bahagian perutnya. Dr. Yusri dan para doktor yang lain kebingungan apabila segala penelitian dan ujikaji kedoktoran yang telah dibuat tidak menatijahkan sebab penyakit tersebut. Punca kesakitan itu tidak berjaya ditemui namun si sakit tetap merasai kesakitan yang amat sangat.

Wanita itu akhirnya menceritakan kepada Dr. Yusri al-Hasani bahawa beliau mempunyai satu sikap yang baik iaitu menyembelih kambing setiap tahun dan menyedekahkan daging kambing tersebut kepada fakir miskin di kampungnya. Namun sudah dua tahun dia tidak menyembelih kambing untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

Sebaik sahaja Dr. Yusri mendengar kisah wanita tua ini, beliau terus menyatakan di dalam hatinya bahawa inilah punca wanita ini diuji Allah.

Beliau terus meminta wanita ini menelefon keluarganya agar membeli seekor kambing, menyembelihnya dan menghadiahkan daging tersebut kepada fakir miskin sebagaimana kebiasaan wanita ini sebelum ini.

Subhanallah. Selepas dua hati daging kambing disedekahkan kepada fakir miskin, penyakit wanita ini hilang serta merta. Maha Suci Allah yang menurunkan penyakit dan Maha Suci Allah yang menyembuhkan penyakit.


***********************

Begitulah beberapa fakta yang sempat saya kutip daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh guru kami, Fadhilat al-Syeikh Dr. Yusri al-Hasani. Semoga Allah memberkati beliau di dunia dan di akhirat dengan barakah datuk beliau yang teragung, Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam.

Monday, May 4, 2009

BE WISE, AVOID ZINA!!!!

Nak 'Couple' Boleh Tak??
pasted from : www.iLuvislam.com

Tentu ramai yang tertanya-tanya. Tidak kurang juga yang tidak berpuas hati dengan pernyataaan di atas. Ada yang kata hukumnya harus. Mungkin ada yang kata makruh. Sememangnya kenyataan ini menimbulkan banyak kontroversi, lebih-lebih lagi di kalangan muda-mudi sekarang.

Apa Itu Ber ‘couple’?

Ber ‘couple’ merupakan suatu tradisi atau budaya yang telah dibudayakan oleh masyarakat remaja kini. Bermula dengan saling berpandangan mata, kemudian turun ke hati. Kemudian mereka akan saling mengutus senyuman dan cinta mula berputik. Bila rasa dah cukup sedia, masing-masing mula ‘masuk line’. Ade yang berbalas-balas nota, bagi yang lebih ‘advance’, teknologi SMS digunakan. Akhirnya apabila dua insan berlawanan jantina ini sudah saling suka-menyukai, mereka akan mengisytiharkan ikatan percintaan mereka dan kemudian ber‘couple’.

Pasangan kekasih ini akan merapatkan hubungan mereka serapat-rapatnya. Kalau di kelas, buat study group ataupun group discussion. Bagi yang kreatif, kad-kad ucapan ‘hand made’ yang pelbagai warna dan rupa akan dikirimkan. Bagi yang mengikuti peredaran semasa, teknologi SMS akan dimanfaatkan sepenuhnya. Kata ganti diri pada asalnya aku-kau ditukar kepada saya-awak, atau bagi mereka yang lebih intim, abang-sayang dan sebagainya.

Kalau diperhatikan pasangan-pasangan yang sedang asyik dilamun cinta ini,hidup mereka tidak menentu, diibaratkan ‘makan tak kenyang,tidur tak lena, mandi tak basah’. Ungkapan-ungkapan cinta seperti ‘sayang awak’, ‘love you’, ‘miss you’ dan sebagainya akan menjadi sebahagian ucapan harian mereka. Sentiasa ceria dan tersenyum gembira, mengenangkan Si Dia yang datang bertandang ke hati. Ada pasangan yang serius, sampaikan sanggup berjanji nak sehidup-semati. Sanggup bersumpah, setia hingga ke akhir hayat. Ada juga yang hanya sekadar bermain-main, untuk suka-suka, dan sebagainya. Ringkasnya, pelbagai ragam yang boleh dilihat daripada pasangan yang ber‘couple’ ini. Ada yang boleh meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin dan ada juga yang kecundang di pertengahan perlayaran di lautan percintaan masing-masing.

Mengapa Ber’couple’ Haram?

Ya,mengapa? Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok. Di sinilah timbulnya kontroversi di antara kita. Bagi yang ber ‘couple’, sudah tentu perasaan ingin tahu mereka sangat tinggi dan pelbagai hujah ingin dikeluarkan bagi mempertahankan kesucian cinta mereka itu.

Sebagai seorang muslim, untuk menjawab persoalan ini, kita perlulah merujuk kembali kepada manual kita yang telah digarisi oleh Allah S.W.T. iaitu Al-Quran dan panduan iaitu As-Sunnah yang telah diwasiatkan kepada kita oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.

Banyak larangan Allah dalam Al-Quran yang melarang hubungan-hubungan ini. Percintaan bermula dari mata. Firman Allah dalam Surah An-Nur(24) ayat 30:

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.".

Dalam ayat ini, jelas Allah telah memerintahkan kita supaya kita menjaga pandangan kita daripada memandang perkara-perkara yang dilarang, termasuklah memandang wanita bukan mahram serta wajib bagi kita menjaga nafsu. Perintah ini bukan ditujukan kepada kaum Adam sahaja. Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman dalam Surah An-Nur(24) ayat 31: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya,...”.

Dua ayat dari Surah An-Nur ini sebenarnya terdapat dalam sukatan matapelajaran Pendidikan Al-Quran & Sunnah tingkatan 5. Para pelajar tingkatan 5 sepatutnya lebih jelas akan perkara ini. Daripada ayat ini jelas Allah melarang lelaki dan perempuan bukan mahram daripada saling berpandang-pandangan dengan niat untuk suka-suka, apatah lagi untuk memuaskan hawa nafsu.

Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan ini terdapat dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32:

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab, “Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je” , “Kami keluar makan je” dan “Kami main SMS je.” Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca,sila teliti firman Allah tadi.Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber‘couple’ adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.

Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti"

Daripada hadis ini, jelas Rasulullah menenyenaraikan bahangian-bahagian zina. Apabila kita memandang Si Dia dengan sengaja,menatapi wajahnya, dan sebagainya, zina mata berlaku. Apabila lidah kita digunakan untuk mengeluarkan kata-kata manis serta puitis, untuk memenangi hati Si Dia, membuatkan Si Dia tertarik kepada kita, lidah berzina. Apabila kita mendengar serta menghayati kelunakkan suaranya, telinga berzina. Apabila berpegangan tangan, berjalan bersama ke arah menghampiri zina, tangan dan kaki berzina. Tetapi, yang paling bahaya ialah, apabila kita merindui Si Dia, memikirkan-mikirkan tentangnya, kecantinkannya, ketampanannya, sifat penyanyangnya, betapa kecintaannya kepada kita, zina tetap berlaku. Biarpun tidak bersua dari segi pancaindera, hati boleh berzina. Tidak mungkin sesuatu hubungan percintaan itu tidak melibatkan penglihatan, percakapan, pendengaran dan perasaan. Sudah terang lagikan bersuluh, percintaan sebelum berkahwin dan ber ‘couple’ adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.