Sekali lagi kita bertemu dengan bulan Rabi’ Al-Awwal. Bulan yang sentiasa dikenang sebagai bulan sambutan kelahiran baginda S.A.W. Umat Islam di pelbagai peringkat di serata dunia meraikannya dengan pelbagai acara. Ada yang menyambutnya dengan mengadakan ceramah, forum, nasyid dan sebagainya. Majlis yang dihiasi dengan warna-warni, ceramah-ceramah yang bertenaga dan adakalanya diiringi nasyid-nasyid dan madih-madih yang meruntun jiwa. Jika diberikan kita kesempatan meneropong suasana ini dari udara , dari barat hingga ke timur, dari utara hinggalah ke selatan, kita melihat seakan-akan berada di dalam sebuah pesta keraian yang sangat besar. Kedatangan Nabi membawa satu gelombang besar perubahan manusia. Dari manusia yang jahil kepada berilmu. Dari penyembah berhala kepada penyembah Tuhan sekalian alam. Manusia yang hidup untuk berhibur kepada manusia yang penuh dengan daya dan semangat juang. Nyata kedatangan Nabi S.A.W. membawa perubahan besar terhadap dunia. Meraikan kehebatan sebegini sepatutnya membugarkan semangat kehebatan. Membungakan putik-putik cinta dan menghampirkan diri kepada pencipta.
Realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Kita semakin jauh dari Allah dan Rasulnya. Adakalanya semakin malu untuk terus meraikan hari gembira ini kerana realitinya tidak sedemikian. Sambutan yang diadakan seolah menggambarkan betapa kasih dan cinta kepada Nabi S.A.W.. Sambutan yang gilang gemilang seolah-olah mensyukuri kedatangan baginda S.A.W.. Akan tetapi tatkala menatap akhbar saban hari, berita-berita di kaca televisyen dan di corong-corong radio seolah-olah manusia semakin tidak mengenal Allah dan Rasulnya. Di mana peranan sambutan majlis-majlis sebegini ?. Apa yang bakal kita katakan kepada Baginda S.A.W. tatkala bertemu dengan baginda S.A.W. ?.
Baginda S.A.W. meninggalkan kepada kita pelbagai tanggungjawab untuk dilunaskan. Perintah. Larangan, suruhan dan pelbagai nasihat untuk kita laksanakan. Seandainya kita melaksanakan keseluruhannya dengan yakin dan pasti kita akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Tatkala itu kita akan bergembira bertemu Allah dan menatap wajah baginda S.A.W..
Apa yang sangat menyedihkan, setelah baginda S.A.W. berlalu pergi meninggalkan kita, berlalu generasi terbaik yang pertama, kedua dan ketiga, datang generasi yang seterusnya yang digambarkan dengan :
Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan Yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),
Seperti yang digambarkan Allah kita melupakan dengan kelupaan yang sengaja sebahagian besar pesan-pesan dan nasihat-nasihat Baginda S.A.W.. Bahkan ada yang dengan sengaja ingin melupakan segala ketentuan dan ketetapan ini. Bahkan kerana itu baginda S.A.W. itu diutuskan.
عَن أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَى الْمَقْبُرَةَ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ وَدِدْتُ أَنَّا قَدْ رَأَيْنَا إِخْوَانَنَا قَالُوا أَوَلَسْنَا إِخْوَانَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَنْتُمْ أَصْحَابِي وَإِخْوَانُنَا الَّذِينَ لَمْ يَأْتُوا بَعْدُ فَقَالُوا كَيْفَ تَعْرِفُ مَنْ لَمْ يَأْتِ بَعْدُ مِنْ أُمَّتِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ أَرَأَيْتَ لَوْ أَنَّ رَجُلًا لَهُ خَيْلٌ غُرٌّ مُحَجَّلَةٌ بَيْنَ ظَهْرَيْ خَيْلٍ دُهْمٍ بُهْمٍ أَلَا يَعْرِفُ خَيْلَهُ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَإِنَّهُمْ يَأْتُونَ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ الْوُضُوءِ وَأَنَا فَرَطُهُمْ عَلَى الْحَوْضِ أَلَا لَيُذَادَنَّ رِجَالٌ عَن حَوْضِي كَمَا يُذَادُ الْبَعِيرُ الضَّالُّ أُنَادِيهِمْ أَلَا هَلُمَّ فَيُقَالُ إِنَّهُمْ قَدْ بَدَّلُوا بَعْدَكَ فَأَقُولُ سُحْقًا سُحْقًا
Pada suatu ketika, Rasulullah S.A.W. berkunjung ke suatu perkuburan, lalu beliau mengucapkan salam, “Selamatlah kamu wahai penduduk kampung orang-orang mukmin. InsyAllah kami akan menyusul kamu sekalian.” Setelah itu baginda bersabda, “Aku ingin benar, kalau kita dapat melihat saudara-saudara (ikhwaanana) kita.” Berkatalah para sahabat, “Bukankah kami ini saudara-saudaramu, wahai Rasulullah?” Rasulullah S.A.W. menjawab, “Anda semua adalah para sahabatku. Saudara-saudara kita yang ku maksudkan ialah orang-orang yang belum datang, tetapi akan datang kelak di hari kiamat.” Mereka bertanya, “Bagaimana engkau dapat mengenali umatmu yang belum tetapi akan di hari kemudian wahai Rasulullah?” Rasulullah S.A.W. menjawab, “Bagaimana pendapat kamu, jika seseorang mempunyai kuda yang putih keningnya, putih kakinya dan putih tangannya. Kemudian kuda itu berada di tengah banyak kuda tetapi hitam kesemuanya. Dapatkah orang mengenali kudanya?” Mereka menjawab, “Tentu wahai Rasulullah!” Sabda Nabi S.A.W., “ Nah, mereka itu akan datang nanti dalam keadaan putih bercahaya muka, tangan dan kakinya kerana bekas wudhuk! Aku pula mengalu-alukan kehadiran mereka di (pinggir) telagaku (Haudh). Oleh itu janganlah ada sesiapa dari kamu yang dihalangi mendekati kolamku bagaikan unta liar di halau dari mendekati kolam minuman. (Waktu itu ) Aku menyeru mereka dengan berkata; marilah, segeralah, ayuh cepat (minum). Tapi (ada segolongan yang dihalang lalu aku katakan: mereka adalah umatku) Lalu di jawab: Mereka telah bertukar (agama) sepeninggalanmu. Aku pun berkata: Pergilah jauh-jauh!”
Bukankah hari ini kita melihat berapa banyak suruhan, larangan dan wasiata-wasiat Nabi S.A.W. yang diubah, ditukar dan ditinggalkan satu demi satu dan lantas diganti denngan hawa nafsu manusia.
Jika satu demi satu kita kupas dan huraikan pesanan-pesanan yang bernilai dan berharga itu, kita pasti akan tertunduk. Malu berhadapan dengan Nabi S.A.W.. Pada pandangan kita, kita adalah kekasih baginda. Kekasih yang mencurahkan segala rasa cinta. Hakikatnya kita hanyalah pendongeng dan penglipurlara yang menjaja cerita dongeng tanpa membawa sebarang makna. Bagaiaman kedudukan kita berhadapan dengan hadith Nabi S.A.W.. :
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مَرَّ بِالسُّوقِ دَاخِلاً مِنْ بَعْضِ الْعَالِيَةِ وَالنَّاسُ كَنَفَتَهُ فَمَرَّ بِجَدْىٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ فَتَنَاوَلَهُ فَأَخَذَ بِأُذُنِهِ ثُمَّ قَالَ « أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنَّ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ ». فَقَالُوا مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَىْءٍ وَمَا نَصْنَعُ بِهِ قَالَ « أَتُحِبُّونَ أَنَّهُ لَكُمْ ». قَالُوا وَاللَّهِ لَوْ كَانَ حَيًّا كَانَ عَيْبًا فِيهِ لأَنَّهُ أَسَكُّ فَكَيْفَ وَهُوَ مَيِّتٌ فَقَالَ « فَوَاللَّهِ لَلدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ هَذَا عَلَيْكُمْ »
Daripada Jabir bin Abdullah Rasulullah melalui sebuah pasar. Ada ramai bersama-sama Nabi S.A.W. tatkala itu. Nabi pun melalui bangkai seorang anak kambing yang cacat. Nabi S.A.W. memegang telinganya dan menngangkat ke atas lantas bersabda : “Siapa di antara kalian ingin memiliki bangkai anak kambing ini dengan membayar satu dirham?”“Kami tidak ingin memilikinya walau dengan membayar sedikit, kerana apa yang akan kami perbuat dengannya?” jawab mereka yang ditanya.Beliau kembali mengulangi pertanyaannya, “Apakah kalian ingin bangkai anak kambing ini jadi milik kalian?”“Demi Allah, seandainya pun haiwan ini masih hidup, ia cacat, telinganya kecil, apatah lagi ia sudah menjadi bangkai!” jawab mereka. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Maka demi Allah, sungguh dunia ini lebih hina bagi Allah daripada bangkai anak kambing ini bagi kalian.”
.
Berapa ramai manusia yang menjadikan dunia sebagai matlamat hidupnya ?. Siang, malam, pagi dan petang mengejar dunia, menghimpun dan mengumpul harta sebanyaknya. Memenuhkan seluruh hatinya dengan harta. Nabi S.A.W. menjelaskan hakikat ini dengan mengatakan :
عَنْ أَنَسٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ، قَالَ : لَوْ كَانَ لابْنِ آدَمَ وَادٍ مِنْ مَالٍ لابْتَغَى إِلَيْهِ ثَانِيًا ، وَلَوْ كَانَ لَهُ ثَانِيًا لابْتَغَى إِلَيْهِ ثَالِثًا ، وَلا يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلا التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
Daripada Anas , sesunguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda : Andaikata anak Adam memiliki satu lembah berisi harta pasti dia berharap untuk mendapatkan lembah yang kedua. Dan seandainya ia telah memiliki dua lembah berisi harta, pastilah dia berharap lembah yang ke tiga. Tidak ada yang dapat memenuhi keinginan perut anak Adam kecuali tanah (mati dikubur). Allah menerima taubat setiap orang yang bertaubat kepada-Nya”
Bagaimana pula di hadapan Hadith Nabi S.A.W. yang menyebutkan :
وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِى الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
Seandainya manusia mengetahui apa yang terdapat pada Solat Isyak dan Subuh pasti mereka akan mendatanginya walaupun denngan merangkak.
Bayangkan keadaan masjid, jalan-jalan dan suasana di zaman Nabi S.A.W.. Alangkah jauhnya berbeza dengan jalan yang sedang kita lalui. Dengan kemewahan, kenikmatan dan keselesaan yang kita sedang kecapi. Tiada siapa yang datang meranngkak apatah lagi dipapah untuk hadir ke masjid. Cukup dengan selsema sedikit, hujan yang renyai-renyai dan amacam-macam alasan remeh kita untuk tidak menghadirkan diri ke masjid. Bukankah semua ini sebagai contoh cinta. Cinta yang membuahkan iman dan amal. Bukan sekadar cinta yang dihamburkan bersama air liur yang memercik sahaja. Tetapi cinta yang menjalar di setiap pembuluh darah. Baginda S.A.W. menyebutkan :
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « فَوَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ
Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Nabi S.A.W. bersabda : Demi jiwaku ditangannya, tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah aku dikasihinya lebih dari bapanya dan anaknya.
Al-‘Allamah Syeikh Yusuf An-Nabhani menyebutkan di dalam kitabnya الأنوار المحمدية من المواهب اللدنية secara jelas tanda-tanda cinta kepada Nabi S.A.W.. Sebagai kesimpulannya antara tanda cinta kepada baginda S.A.W. itu adalah :
1. Seandainya seorang hamba diberikan pilihan samada memilih untuk hilang hartanya dan hilang peluang menatap wajah baginda S.A.W., pasti dia akan memilih kehilangan harta. Kerana menatap wajah baginda itu suatu kegilaan. Menatap wajahnya suatu keasyikan. Menatap wajahnya suatu kerinduan. Menurut Imam Qurtubi setiap orang yang beriman pasti akan wujud perasaan itu. Cuma yang membezakan di antara mereka adalah sejauh mana mereka tenggelam di dalam nafsu dan syahwatnya. Ada di anatara manusia yang obses untuk menatap makam Nabi, barang-barang peninggalannya dan segala yang berkaitannya. Ada yang hanya sekadar memendamnya di dalam hati nurani.
2. Berbangga menjadi pengikutnya, beramal dengan hadith-hadithnya, berjalan di atas jalannya, mengambil hidayahnya dan menginggalkan segala larangan syariatnya . Firman Allah :
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Katakan (wahai Muhammad ) seandainya kamu mencintai Allah, ikutlah aku nescaya kamu akan dicintai Allah. Dan dia menngampunkan dosa-dosa mu. Allah Maha pengampun lagi mengasihani.
3. Reda dengan segala ketentuan dan pilihan Rasulullah S.A.W.. Sehingga tidak menimbulkan kesukaran terhadap segala yang diperintahkan. Tidak menguranng, menambah dan menggantikan apa yang didatangkan Allah dan Rasulnya dengan sesuatu yang lain. Sebagai renungan mari kita melihat peristiwa penyerahan anak kunci masjid al-Aqsa yang berjaya di buka oleh tentera Islam pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab Ketika menuju ke Palestin Sayyidina Umar bergilir-gilir dengan khadamnya menaiki kuda tunggangan. Apabila sampai berhampiran masjid al-Aqsa tiba giliran Sayyidina Umar menarik kuda manakala khadamnya menunggangnya. Orang ramai yang melihat peristiwa tersebut meminta agar Sayyidina Umar menggantikan khadamnya untuk menunggang kuda demi menjaga kedudukan beliau sebagai khalifah di hadapan khalayak ramai. Lalu Sayyidina Umar dengan suaranya yang lantang mengeluarkan kata-katanya yang masyhur :
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
Maksudnya : Kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Selama mana kita mencari kemuliaan yang bukan apa yang memuliakan kita dengannya oleh Allah maka kita akan mendapat kehinaan daripada Allah..
4. Membantu agamanya dengan perkataan dan perbuatan. Beriltizam dengan syariatnya dan berakhlak dengan akhlak Nabi .
5. Redha dengan musibah yang datang menimpa. Kerana keasyikan cinta akan menyebabkan kesengsaraan tidak memberi sebarang makna.
KESIMPULAN
Banyak lagi tanda-tanda cinta kasih dan sayang kepada baginda S.A.W.. Bahkan seandainya ingin diungkapkan keseluruhannya tidak akan mampu untuk kita merungkainya dalam waktu dan kesempatan yang terbatas ini. Kerana kalimah cinta adalah kalimah yang tidak mampu diungkai dan difahami maksudnya melainkan yang mencintai dan dicintai. Sebagai tanda insaf dan faham mari kita melaksanakan :
1. Menanamkan kecintaan kepada baginda dalam erti kata yang sebenarnya.
2. Mula bekerja dan bertindak selari dengan tuntutan amal.
3. Abaikan yang remeh!. Utamakan yang utama.
* Petikan kuliyah sempena sambutan Maulidur Rasul 1432
13- Masjid Sepintas - Sabak Bernam Selangor.
15 - Surau Tapah Road, Tapah, Perak
15 - Surau Petaling Hulu, Bidor Perak.
20 - SurauTaman Seri Bidor, Bidor, Perak
24 - Masjid Kh Chenor, Jelebu, Negeri Sembilan
0 comments:
Post a Comment