Pages

Friday, May 13, 2016

Terjemahan Ayyuhal Walad 2

Seorang daripada murid al-Ghazali telah bersama-samanya selama bertahun-tahun. Dia telah berguru, menemani dan berkhidmat kepada gurunya dalam tempoh yang sangat lama. Pelbagai ilmu secara mendalam dan pengalaman spiritual telah diperolehi. Pada suatu hari dia bermonolog dalam dirinya tentang keadaanya lantas terlintas dalam fikirannya dan berkata: Aku telah membaca pelbagai ilmu. Usiaku telah ku habiskan untuk belajar dan mengumpulkannya. Sehingga kini aku tidak mengetahui ilmu yang bermanfaat bagiku dan akan menemaniku di alam kubur kelak. Aku juga tidak mengetahui manakah ilmu yang tidak bermanfaat bagiku sehingga aku harus meninggalkannya.
          Rasulullah SAW pernah berdoa:
اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بكَ مِن عِلمٍ لا ينفَعُ[1]
 Maksudnya:Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat.
Dia terus berfikir sehinggalah akhirnya memutuskan untuk menulis surat kepada gurunya al-Ghazali mengadukan kegelisahan hatinya, meminta fatwa, meminta nasihat dan doa daripadanya. Katanya: Seandainya jawapan kepada persoalanku ini terkandung dalam kitab ihya’ dan pelbagai kitab tuan yang lainnya, ketahuilah bahawa khadammu ini tidak berupaya dan tidak berkemampuan meneliti keseluruhannya. Akan tetapi, maksudku di sini adalah agar syeikh menuliskan untukku nasihat dalam beberapa lembar kertas[2] yang boleh aku bawa sepanjang hidup dan aku amalkannya.
          Kemudian al-Imam al-Ghazali menulis jawapan surat muridnya sebagaimana berikut: Ketahuilah wahai anakku dan kekasih yang dimuliakan (semoga Allah mengekalkan dirimu dalam ketaatan kepadaNya dan meneguhkan kakimu di atas jalan para kekasihNya), sesungguhnya tebaran nasihat golongan terdahulu dan terkemudian terkandung dalam Hadith-Hadith Rasulullah SAW. Jika nasihat dari baginda telah sampai kepadamu maka apakah nasihat lain yang engkau perlukan dariku ?. Jika belum sampai kepadamu (nasihat-nasihat itu) maka katakan kepadaku apa yang telah engkau perolehi selama bertahun-tahun ini daripada ilmu yang telah engkau raih?. Sementara pada saat yang sama engkau habiskan waktumu mencari ilmu itu.



[1]Nabi SAW bersabda :
اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بكَ مِن عِلمٍ لا ينفَعُ وعمَلٍ لا يُرفَعُ وقلبٍ لا يخشَعُ وقولٍ لايُسمَعُ
Ya Allah aku berlindung denganMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, amalan yang tidak diterima, hati yang tidak khuyuk dan kata yang tidak didengari. (Hadith riwayat ibn Hibban)
[2] Nasihat yang diminta dalam bentuk ringkas, padat dan menyeluruh.

0 comments:

Post a Comment