Pages

Monday, December 20, 2010

Cabang iman ketujuh : Iman dengan hari kebangkitan ( يوم البعث و النشور)

Allah S.W.T menyebutkan banyak ayat-ayat berkaitan dengan kebangkitan semula selepas kehidupan di dalam Al-Quran. Di antaranya firman Allah S.W.T :

(di antara sebab-sebab kufur) orang-orang (ialah kerana mereka) mengatakan Bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (Sesudah mati). katakanlah: "Bahkan, Demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya .

Begitu juga firman Allah S.W.T :

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Allah yang menghidupkan kamu, kemudian ia akan mematikan kamu, setelah itu ia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat - (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (Ketetapan itu)" .

Bahkan banyak ayat-ayat lain yang membuktikan kewujudan kebangkitan semula selepas kematian justeru menolak pandangan golongan yang menyangka kehidupan dunia ini akan berakhir tatkala berakhirnya kehidupan di atas muka bumi ini.

Menurut Imam Al-Baihaqi beriman dengan hari kebangkitan bererti mengimani kekuasaan Allah menghimpunkan cebisan-cebisan jasad manusia, pecahan-pecahan yang terpecah di dalam laut, di dalam perut binatang buas, dan sebagainya menjadi jasad yang sempurna seperti awal penciptaan mereka. Mereka diberikan nyawa untuk hidup seperti kehidupan mereka sebelum ini.

Dan mereka berkata: "Adakah sesudah kita menjadi tulang dan benda yang reput, Adakah kita akan dibangkitkan semula Dengan kejadian Yang baharu?"

Menghidupkan sesuatu yang mati bukanlah mustahil disisi Allah. Bahkan ia turut dibuktikan dengan penilaian zahir dan dapat dilihat. Pernahkan kita melihat sebutir kacang hijau yang kering dan seakan tiada apa-apa. Kemudian darinya tumbuh benih, membesar dan mengeluarkan hasil. Bukankah pada asalnya butiran kacang tadi kaku, tidak bergerak dan ia mati !. Kemudian dengan kuasa Allah ia dihidupkan dan diberikan kehidupan. Ibaratnya sebutir kacang menghasilkan ribuan biji-biji kekacang yang lain. Bukankah Allah mampu menghidupkan selepas kematian ?.

Firman Allah S.W.T :

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Demikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda Yang kamu jadikan sekutuNya)? .

Begitu juga Allah S.W.T mengisahkan kehidupan dan kematian kepada Nabi Ibrahim A.S

Atau (tidakkah Engkau pelik memikirkan Wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? " lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkannya semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama Engkau tinggal (di sini)?" ia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:" (tidak benar), bahkan Engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan Engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, Bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya Dengan daging ". maka apabila telah jelas kepadanya (Apa Yang berlaku itu), berkatalah dia: sekarang Aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu ".


Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah Engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Begitu juga Allah S.W.T membuktikan kemampuan menghidupkan yang mati dengan menjadikan tongkat Nabi Musa ular yang bergerak dan mampu membaham ular-ular sihir yang lain dan bertukar menjadi tongkat semula.

Allah juga menjelaskan kemampuan dan keupayaanNya menghidupkan yang mati di dalam kisah Ashabul Kahfi yang ditidurkan selama 300 tahun kemudian dibangkitkan dari tidurnya. Kemudian mereka dimatikan Allah S.W.T . Kisah mereka menjadi tauladan dan pengajaran sepanjang hayat manusia. Inilah di antara paparan-paran bukti Allah menghidupkan yang mati dan bukanlah sesuatu yang mustahil dari sudut kemampuan Allah untuk menghimpunkan sesuatu yang diciptakan dari tiada. Kerana mencipta sesuatu yang tiada, kemudian menjadikannya ada adalah lagi sukar dari menghimpunkan yang sedia ada. Tetapi kedua-duanya terlalu mudah bagi Allah melakukannya.

Allah juga mencabar golongan yang mendustakan kehidupan semula selepas kematian dengan cabaran yang keras. Bukankah Allah menciptakan manusia juga dari benda yang mati iaitu mani. Ia tidak mempunyai sebarang nilai dan tidak mampu melakukan apa-apa. Persenyawaan mani dan ovum adalah dengan izin Allah. Kemudian menjadi darah, menjadi daging kemudian terbentuklah manusia. Bermuala dari tidak mempunyai apa-apa lalu memiliki segalanya. Hanya dari setitis air mani yang tidak berharga menjadi manusia yang bertenaga. Bukankah itu terlalu mudah bagi Allah ? .


Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?. Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?. Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis - lelaki dan perempuan. Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu - tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (tentulah berkuasa)!

Dengan segala bukti dan keterangan yang dijelaskan meyakinkan kita bahawa kehidupan selepas kematian itu suatu kepastian yang pasti.
.
.
.
Petikan kitab Jomrefreshiman : Cabang-cabang Iman.
Dibaca di Masjid Ikhwaniyah
Setiap hari sabtu minggu ketiga, selepas Subuh

0 comments:

Post a Comment