Pages

Wednesday, February 24, 2010

Kuliyah Sejarah Perundangan Islam

ERA PEMBINAAN DAN PENYEMPURNAAN HUKUM
.
Kita telah dijelaskan pada kuliyah yang lalu bagaimana peranan era permulaan dan pengasasan syariat di dalam membuka ruang terhadap perkembangan dan membuka ruang ijtihad kepada para sahabat. Pada era ini juga fiqh itu terbatas hanya kepada perkara-perkara asas dan dasar-dasar terhadap hukum-hukum tertentu. Justeru membuka ruang yang sangat luas di hadapan para Mujtahid untuk menghuraikannya selari dengan tuntutan dan garis panduan yang telah disediakan.
.
Maka, bolehlah kita simpulkan bahawa pada era kedua ini, iaitu era pembinaan dan penyempurnaan ini adalah era perkembangan ijtihad dan menghasilkan hukum-hukum tatkala wujudkannya persoalan-persoalan yang menuntut kepada hukum. Pada era ini wujudlah pandangan-pandangan dari para sahabat di dalam pelbagai hukum, samada pandangan itu datang dari segolongan sahabat atau pandangan persendirian mereka.
.
Secara umumnya era ini bermula pada tahun ke 11 Hijrah dan berlangsung sehinggalah pertengahan kurun ke 14 Hijrah. Dalam tempoh ini kita akan melihat perkembangan fiqh dalam 3 peringkat :
.
i. Era Khulafa’ ar-Rasyidin
ii. Era Umawiyah
iii. Era ‘Abbasiyah
.
ERA KHULAFA’ AR-RASYIDIN
.
Era ini dikira sebagai era permulaan di dalam tempoh pembinaan dan penyempurnaan hukum Fiqh. Bermulanya era ini selepas kewafatan Baginda S.A.W. pada tahun ke 11 Hijrah sehinggalah hujung pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin pada tahun 40 Hijrah. Selepas sempurnanya perletakan asas Syariat pada zaman Nabi S.A.W., maka para sahabatlah yang menjadi pendokong dan penerus perjuangan Nabi S.A.W di dalam memastikan syariat sentiasa terbela dan berterusan. Khususnya di dalam berhadapan dengan pelbagai persoalan-persolan baru yang sering wujud di dalam masyarakat.
.
Dengan keistimewaan yang dianugerahkan Allah kepada para sahabat R.A dan setelah meneliti dengan mendalam setiap perkara, mereka mampu untuk memikul tugas yang berat ini. Mereka adalah golongan yang paling berkemampuan, berupaya dan mempunyai kelayakan untuk menafsir dan memahami nusus-nusus syarak dengan baik. Kemampuan dan keupayaan mereka adakalanya tidak mampu dilaksanakan generasi selepas mereka.
.
DEFENISI SAHABAT.
.
Ulamak Fiqh dan Usul Fiqh menafsirkan sahabat adalah : Semua yang bertemu dengan Nabi S.A.W, beriman dengannya dan mati di dalam agama Islam.
Ulamak berselisih pendapat tentang tempoh persahabatan dengan nabi dan periwayatan mereka dari nabi S.A.W.
.
i. Ada yang berpandangan seseorang dikira sebagai sahabat seandaianya melazimi baginda S.A.W dalam masa setahun atau dua tahun, berperang bersama Nabi satu perperangan atau dua perperangan.
.
ii. Ada juga yang berpandangan, tidak disyaratkan melazimi dan berperang dengan Nabi S.A.W. . Siapa sahaja yang bertemu dengan Nabi S.A.W samada pertemuan itu panjang atau tidak, meriwayatkan daripada Nabi atau tidak, berperang atau tidak, dan siapa sahaja yang pernah melihatnya walaupun tidak pernah melazimi ataupun siapa sahaja yang tidak melihatnya kerana sebab-sebab tertentu seperti buta.
.
iii. Ada juga yang mensyarat melihat itu pada usia mumaiyiz.
.
iv. Pendapat yang tidak membataskan dengan syarat-syarat tertentu menganggarkan jumlah para sahabat terlalu ramai berbanding dengan yang mensyaratkan dengan syarat-syarat tertentu. Diriwayatkan dari Abu Zur’ah tatkala Nabi S.A.W wafat, sahabat berjumlah 114 000.
.
KEISTIMEWAAN PARA SAHABAT DI DALAM MEMAHAMI SYARIAT
.
Sahabat diberikan kelebihan memahami Islam dan pensyariatan hukum-hukumnya berbanding generasi lain. Kelebihan-kelebihan ini bolehlah kita nyatakan seperti berikut :
.
i. Hampirnya mereka dengan Nabi S.A.W dan kerapnya mereka melazimi nabi S.A.W. memberikan mereka kelebihan di dalam mengetahui sebab-sebab penurunan sesuatu ayat Al-Quran dan punca Nabi S.A.W mengutarakan sesuatu hadith. Mereka juga melihat sendiri baginda S.A.W menafsirkan ayat-ayat Al-Quran, mengeluarkan hukum, menguasai sebab-sebab penghasilan hukum dan hikmah-hikmah yang terkandung di dalam setiap hukum.
.
ii. Keupayaan mereka memahami bahasa Arab. Al-quran juga diturunkan di dalam Bahasa Arab.
.
iii. Kekuatan hafalan mereka di dalam menghafal Al-quran dan hadith-hadtih menjadikan mereka generasi yang unggul di dalam melaksanakan dan memelihara segala hukum di dalamnya.
.
PERBEZAAN PARA SAHABAT DI DALAM MEMAHAMI NAS-NAS SYARAK.
.
Dengan keupayaan dan kelebihan yang dianugerahkan kepada mereka, tidak bererti keseluruhan mereka mempunyai keupayaan dan kelebihan yang sama. Hakikat ini tidak dapat dinafikan kerana dalam apa keadaan mereka masih manusia yang mempunyai kelebihan dan kekurangan tertentu.
.
Asas perbezaan para sahabat di dalam memahami nas-nas Syarak :
.
i. Perbezaan di dalam memahami Bahasa Arab : Ada dikalangan mereka yang menguasai bahasa pada tahap yang sederhana, ada di antara mereka yang menguasainya pada tahap yang tinggi. Diriwayatkan pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab berkhutbah dan membaca ayat أو يأخذهم على تخوف kemudian ada di antara mereka bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan التخوف . Saidina Umar menjawab : Apakah yang kamu katakan tentang nya maka itulah maksudnya. Maka berdiri seorang lelaki dari kaum Huzail lantas berkata : Itu adalah dari bahasa kami. Maksudnya adalah التنفس .
.
ii. Perbezaan di dalam melazimi Nabi S.A.W . Perbezaan melazimi Nabi S.A.W melahirkan para sahabat yang berbeza di dalam memahami nas-nas syarak, hadith-hadith dan hukum-hukum yang berkaitan. Ada di antara para sahabat yang mendengar sedikit hadith, ada yang mendengar keseluruhan hadith dan sebagainya.
.
iii. Perbezaan mereka dalam bentuk kadar dan kemampuan sebagai manusia. Perbezaan secara fitrah kemanusian turut mempengaruhi tahap pemahaman mereka terhadap sesuatu hadith dan ayat-ayat Al-Quran. Ada di anatara mereka yang mampu menghafal sehingga ribuan hadith . Manakala ada yang hanya mampu menghafal berberapa hadith sahaja. Kadar kecerdikkan dan tahap pemahaman mereka terhadap sesuatu nas juga berbeza. Sebagai contoh ayat ketiga dari surah Al-Maidah, tatkala turunnya ayat ini sebahagian sahabat bergembira dengan turunnya ayat ini kerana pada pemahaman mereka ia merupakan khabar gembira tentang penyempurnaan agama Islam. Berbeza dengan saiyidina Umar. Ketika mendengar penurunan ayat ini, beliau menangis teresak-esak. Lantas berkata tidak ada kesempurnaan melainkan selepas ini berlaku kekurangan. Nabi S.A.W hanya hidup 81 hari selepas ayat ini duturunkan.

.
Kuliyah sejarah perundangan Islam secara live :
.
1. Selepas Maghrib minggu ke-3 (Sabtu ) : Masjid Al-Mustaqimah, Taman Cheras Indah. WP Kuala Lumpur
.
2. Selepas Maghrib minggu ke - 4 ( Ahad ) : Surau Taman Senangin , Seremban. Negeri Sembilan.

0 comments:

Post a Comment