Pages

Wednesday, March 24, 2010

SUMBER HUKUM ZAMAN PARA SAHABAT

Para sahabat R.A memikul bebanan yang sangat berat di dalam meneruskan perjalanan kesinambungan hukum-hakam selepas kewafatan baginda S.A.W. Mereka berperanan memastikan hukum-hukum yang termaktub dan perkara-perkara yang belum ada hukum tidak mencacatkan kesempurnaan Islam. Justeru mereka perlu membina suatu landasan yang jelas dan mudah di dalam menetapkan hukum agar tidak berlaku kecelaruan di dalam penetapannya.
Imam al-Baghawi menyebutkan di dalam مصابيح السنة , tatkala Saidina Abu Bakar berhadapan dengan sesuatu persoalan, maka beliau akan merujuk kepada Al-Quran, sekiranya ia terkandung di dalamnya maka dia akan berhukum dengan Al-Quran, Sekiranya tidak kedapatran maka dia akan merujuk kepada As-Sunnah. Seandainya ia terkandung di dalam As-Sunnah maka dia akan berhukum dengannya. Seandainya tidak kedapatan di dalam As-Sunnah maka beliau akan bertanya pandangan sahabat-sahabat yang lain, seandainya mereka pernah mendengar Nabi menghukumkan sesuatu kepada perkara tersebut. Seandainya tiada siapa pun yang mengetahui hukumnya, maka Saidina Abu Bakar akan memanggil Sahabat-sahabat yang utama untuk berbincanng bagi memutuskan hukumnya.
.
Keadaan ini juga berlaku pada zaman saidina Umar R.A, beliau akan merujuk kepada Al-Quran, As-Sunnah dan apa yang diputuskan Saidina Abu Bakar. Secara ringkasnya boleh disimpulkan, sumber hukum pada zaman sahabat terhad kepada :
.
i. Al-Quran
ii. As-Sunnah
iii. Al-Ijmak
iv. Ar-Ra’yu ( Pandangan peribadi sahabat tersebut )
.
PENDIRIAN PARA SAHABAT TERHADAP SUMBER-SUMBER HUKUM.
.
Al-Quran
.
Mereka merupakan generasi yang paling memahami Al-Quran selepas Rasulullah S.A.W. Menjadi rujukan utama kepada mereka di dalam masalah Aqidah, akhlak, social, pollitik, ekonomi dan sebagainya. Ketika zaman Nabi S.A.W pembukuan Al-Quran itu lengkap di dalam keadaan yang tersendiri. Setiap sahabat mengetahui bilangan ayat, surah, kedudukan dan turutannya menurut ketatapan Nabi S.A.W ( wahyu Allah ). Justify Full.
Tatkala berhadapan dengan hukum-hukum yang nyata di dalam Al-Quran, para sahabat tidak sedikit pun berpaling darinya. Melainkan di dalam berberapa ayat-ayat yang mengandungi makna-makna yang pelbagai ( al-Musytarak ). Sebagai contohnya :
.
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلاَثَةَ قُرُوَءٍ.

.
Perempuan-perempuan yang diceraikan suaminya perlu menahan diri ( eddah ) selama tiga quru’
.
Perkataan Quru’ membawa maksud suci dan haidh. Maka para sahabat tidak semua bersepakat di dalam menetapkan hukumnya.
.
As-Sunnah
.
Para sahabat meletak priority terhadap as-Sunnah sebagai rujukan seandainya sesuatu persoalan tidak terdapat di dalam Al-Quran. Berbeza dengan Al-Quran penerimaan mereka terhadap As-Sunnah tidaklah secara total. Ia berdasarkan berberapa factor. Asas utama kepada isu ini adalah kerana As-sunnah ketika itu tidak disusunkan dan dibukukan secara sistematik. Ditambah dengan berberapa perbezaan yang pernah kita bincangkan di dalam kuliyah yang lalu.
.
Al-Ijmak
.
Definasi : Persepakatan Para Mujtahid di kalangan Ummat Muhammad pada masa-masa tertentu ke atas hukum-hukum syarak.
.
Pada era ini Ijmak sangat mudah berlaku kerana semua sahabat-sahabat utama berada di Madinah. Selain itu rasa kebertanggung jawaban sahabat-sahabat yang sangat tinggi di dalam menjelaskan setiap persoalan dan hukum-hukum yang mendatang, menyebabkan Ijmak sangat mudah berlaku. Keadaan ini menyempitkan ruang perbezaan hukum yang dikeluarkan. Walau bagaimanapun adakalanya persepakatan sukar dicari menyebabkan berlaku perbezaan hukum, khususnya sahabat-sahabat utma memiliki pandangan yang berbeza di antara seorang dengan yang lain. Justeru walaupun Ijmak mudah berlaku tetapi ia tetap terbatas terhadap hal-hal dan perkara-perkara tertentu sahaja.
.
Al-Ra’I ( Al-Ra’I juga disebut sebagai ijtihad. )
.
Definasi : Menggunakan seluruh daya upaya ( جهد) menghasilkan hukum melalui penelitian dan pengkajian dalil-dalil yang terperinci sama ada daripada Al-Quran, Hadith, penelitian daripada qias, uruf dan keutamaan. Walaupun ruang terbuka luas ndi dalam mengeluarkan hukum melalui Ijtihad, para sahabat tidak pernah sekali-kali terus merujuk kepadanya melainkan ketiadaan hukum tersebut di dalam Al-Quran dan Hadith. Para khulafa’ Ar-Rasyidin juga sentiasa menjaga gabenor-gebenor yang dilantik agar tidak sewenang-wenangnya menggunkan ijtihaddi dalam setiap masalah. Bahkan mereka tidak teragak-agak untuk berpegang dengan pendapat yang nyata lebih benar dari pandangan mereka. Sebagai contoh kisah saidina Umar R.A yang menetapkan supaya jangan melampau-lampau di dalam menetapkan Mas Kahwin. Maka bangun seorang perempuan mengatakan, Allah memberikan kami kelebihan melalui firmannya , dan adakah Umar ingin menghalangnya. Menyedari kesilapan ijtihad yang dilakukannya, saidina Umar segera menarik pandnagan tersebut dengan mangatakan : Benarlah perempuan iti tersalahlah Umar .
.
Di antara sikap mereka terhadap Ar-Ra’i mereka akan menyandarkan setiap pandangan itu terhadap diri mereka sendiri, bukan kepada Allah atau Islam. Saidina Abu Bakar tatkala mengeluarkan pandangan beliau akan berkata :
.
هذا رأيي فإن يكن صوابا فمن الله و إن يكن خطأ فمني و أستغفرالله.

.
Ini adalah pandanganku, seandainya ia betul, maka ia dari Allah. Seandainya ia salah maka ia adalah pandanganku semata-mata. Aku memohon keampunan dari Allah.
.
Mereka tidak akan mengeluarkan hukum-hukum tertentu melainkan ketika ia terjadi dan menuntut kepada hukum.
.
.
.
Kelas secara live : Masjid Al-Mustaqimah, Cheras Indah ( Maghrib , Setiap sabtu minggu ketiga )

Tuesday, March 16, 2010

Mengenal Iman


Iman dari segi bahasa adalah percaya dan membenarkan. Imam Al-Laqqani menyebutkan di dalam Jauharah at-Tauhid :

وفُسِّرَ الإيمانُ بالتصدَّيقِ .

Ditafsirkan iman itu dengan tasdiq ( membenarkan )

.

Hal ini selari dengan firman Allah S.W.T :

وما أنت بمؤمن لنا ولو كنا صدقين

...dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata Kami ini, sekalipun Kami adalah orang-orang Yang benar".

.

Sementara itu iman dari segi istilah syara’ pula adalah percaya dan membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W tentang segala ajaran agama yang mudah diketahui, atau seumpamanya, dengan dalil-dalil yang meyakinkan.

.

Nabi S.A.W menafsirkan pengertian Iman di dalam sebuah hadith :

قال: فأخبرني عن الإيمان. قال: "أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر. وتؤمن بالقدر خيره وشره

.

Yang bermaksud : Jibril berkata, “Beritahulah aku pengertian iman! Baginda menjawab bahawa kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari qiamat, dan qadha’ dan qadar sama ada baik atau buruk”.

.

Hadith pertama :

.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ -عَنْ النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -قَالَ: " الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ."

.

Hadith Riwayat Imam Bukhari

.

Maksudnya :

.

Dari Abu Hurairah r.a daripada Nabi S.A.W, baginda bersabda : “Iman itu enam puluh lebih cabang, malu sebahagian daripada iman” .

.

Hadith kedua :

.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم-: "الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ".

.

Hadith Riwayat Imam Muslim

.

Maksudnya :

.

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi S.A.W, baginda bersabda : “Iman itu enam puluh lebih atau tujuh puluh lebih cabang. Setinggi-tingginya adalah kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه Serendah-rendahnya adalah membuang duri di jalanan . Malu itu sebahagian daripada iman.

.

.

Jom sertai kuliyah secara live, ringkasan kitab Al-Jami' Syu'abul al-Iman ( Cabang-cabang Iman ) karangan Imam al-Baihaqi

Tempat : Masjid Ikhwaniyah, Taman Cheras Perdana, Bandar Tun Husin Onn

Masa : Selepas Subuh.

Tarikh : Hari sabtu minggu ke-3 setiap bulan ( Bulan ini pada 20 Mac 2010 )

Wednesday, March 3, 2010

Lupa - Bahagian 3

Antara punca-punca lupa menurut pandangan Islam :

  1. Berumur –
.

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفاً وَشَيْبَةً يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ


Allah Yang menciptakan kamu bermula Dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu ia menjadikan kamu kuat. setelah itu ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. ia menciptakan apa Yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

.

  1. Jarang-jarang mengulangkaji. Khususnya Al-Quran :

عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَعَاهَدُوا الْقُرْآنَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ الْإِبِلِ فِي عُقُلِها

Daripada Abu Burdah daripada Abu Musa daripada Nabi SAW : Berjaga-jaga dengan Al-Quran, Demi diriku di dalam genggamannya, Al-Quran itu lebih mudah dilupai lebih dari unta lari dari ikatannya.

.

  1. Bercampur dengan kawan2 yang tidak baik.
.

وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلاَ تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Dan apabila Engkau melihat orang-orang Yang memperkatakan Dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal Yang lain; dan jika Engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu Engkau duduk bersama mereka), maka janganlah Engkau duduk lagi bersama-sama kaum Yang zalim itu, sesudah Engkau mengingati (akan larangan itu).

.

  1. Disebabkan makanan.
.
  1. Tidak menjaga hak-hak anggota badan, dengan bersenam dan sebagainya.
.

عن عَوْنِ بنِ أَبي جُحَيْفَةَ، عن أَبِيهِ قالَ: "آخى رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم بَيْنَ سَلْمَانَ وَأَبي الدّرْدَاءِ فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدّرْدَاءِ فَرَأَى أُمّ الدّرْدَاءِ مُتَبَذّلَةً. فقَالَ: مَا شَأْنُكِ مُتَبَذّلَةً قَالَتْ: إِنّ أَخَاكَ أَبَا الدّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدّنْيَا، لعله قالَ: فَلَمّا جَاءَ أَبُو الدّرْدَاءِ قَرّبَ إليه طَعَاماً فَقَالَ: كُلْ فَإِنّي صَائِمٌ. قالَ مَا أَنَا بآكلٍ حَتّى تَأْكُلَ، قالَ فَأَكَلَ. فَلَمّا كَانَ الّليْلُ ذَهَبَ أَبُو الدّرْدَاءِ لِيَقُومَ. فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ: نَمْ فَنَامَ. ثُمّ ذَهَبَ لِيَقُومَ لَهُ نَمْ فَنَامَ. فَلَمّا كَانَ عِنْدَ الصّبْحِ، قَالَ لَهُ سَلْمَانُ قُمْ الاَنَ، فَقَامَا فَصَلّيَا. فَقَالَ: إِنّ لِنَفسِكَ عَلَيْكَ حَقّا، وَلِرَبّكَ عَلَيْكَ حَقّاً، وَلضَيْفِكَ عَلَيْكَ حَقّاً وَإِنّ عَلَيْكَ حَقّاً فَأَعْطِ كُلّ ذِي حَقٍ حَقّهُ، فَأَتَيَا النبيّ صلى الله عليه وسلم، فَذَكَرَا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: "صَدَقَ سَلْمَانُ".

Daripada Aun dan Abu Juhaifah daripada bapanya , katanya : Rasulullah SAW mempersaudarakan Salman dengan Abu Darda’. Pada suatu hari Salman datang menziarahi Abu Darda’ dan terlihat olehnya keadaan ummu Darda’ dalam keadaan yang tidak terurus. Maka dia pun bertanya kepada Ummu Darda’. Maka dijawab oleh Ummu Darda’ : Sesungguhnya saudar kamu langsung tidak berhajat terhadap dunia. Apabila dihidangkan kepadanya makanan maka dia berkata : Makanlah aku berpuasa. Maka Salman berkata aku tidak akan makan sampai awak makan. Maka dia pun makan. Apabila tiba waktu malam Abu Darda’ pun bangun untuk bertahajjud. Maka Salman mengatakan kepadanya tidur!. Maka ia pun tidur. Apabila hampir-hampir masuk waktu Subuh Salman mengejutkannya. Maka mereka pun bangun dan menunaikan solat. Maka Salman berkata : Diri kamu ada haknya yang perlu kamu tunaikan, Tuhan Mu ada haknya untuk kamu tunaikan, Tetamu kamu ada hak yang perlu kamu tunaikan dan kamu ada hak yanng perlu kamu tunaikan. Maka tunaikanlah hak-hak mereka. Mereka berdua menemui Nabi SAW dan menceritakan keadaan tersebut. Nabi SAW bersabda : benarlah apa yang disebutkan Salman.