Pages

Thursday, January 13, 2011

Beriman dengan hari perhimpunan dan penimbangan amalan ( الحشر و الميزان)

الحشر
.
Al-Hasr bermaksud manusia dihimpunkan selepas dibangkitkan dari kubur mereka di padang Mahsyar. Menurut Abu Hurairah : Seluruh makhluk dihimpunkan daripada binatang, burung-burung dan manusia.

Pada hari itu seluruh manusia dihimpunkan dan sehingga manusia tidak tahu di mana ingin meletakan kakinya kerana kesesakan manusia.Imam Al-Qurtubi mengatakan Al-Hasyr adalah perhimpunan. Ia berlaku empat kali. Dua perhimpunan di dunia dan dua perhimpunan di akhirat :

1. Perhimpunan di dunia.

i. Perhimpunan menghalau Bani Nadhir dari rumah-rumah mereka. Perhimpunan pertama ini berlaku di Syam. Firman Allah S.W.T :


هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِنْ دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِ
Dia lah Yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah.[1]

ii. Al-Hasyr yang menjadi syarat berlakunya kiamat. Seperti yang disebutkan di dalam hadith :

الْحَشْرُ الْمَذْكُور فِي أَشْرَاطِ السَّاعَةِ الَّذِي أَخْرَجَهُ مُسْلِم مِنْ حَدِيث حُذَيْفَة بْن أَسِيدٍ رَفَعَهُ " إِنَّ السَّاعَة لَنْ تَقُوم حَتَّى تَرَوْا قَبْلهَا عَشْر آيَات " فَذَكَرَهُ وَفِي حَدِيث اِبْن عُمَر عِنْد أَحْمَد وَأَبِي يَعْلَى مَرْفُوعًا " تَخْرُج نَار قَبْل يَوْم الْقِيَامَة مِنْ حَضْرَمَوْتَ فَتَسُوق النَّاس " الْحَدِيثَ وَفِيهِ " فَمَا تَأْمُرُنَا ؟ قَالَ : عَلَيْكُمْ بِالشَّامِ
Al-Hasyr di antara tanda-tanda kiamat seperti yang disebutkan oleh Imam Muslim daripada hadith yang diriwayatkan oleh Huzaifah Usaid ( hadith marfu’ ) ” Sesungguhnya kiamat tidak berlaku sehinggalah berlaku sepuluh perkara. Di sebutkan juga di dalam hadith Ibnu Umar disisi Ahmad dan Abu Ya’la ( hadith marfu’) Akan keluar api sebelum berlaku kiamat dari Hadramaut dan menghalau manusia “ di dalam hadith ada pertanyaan : Apakah yang kamu arakahkan kepada kami “. Maka kata Nabi : Pergilah ke Syam.

2. Perhimpunan di akhirat.

i. Perhimpunan yang menghimpunkan manusia sesudah dibangkitkan daripada kubur-kubur mereka . Manusia akan dihimpunkan di suatu tempat menanti timbangan amalannya. Nabi S.A.W menggambarkan manusia pada hari itu di dalam keadaan telanjang dan tidak berpakaian.

وَحَشَرْنَاهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا
dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka[2].

Apabila manusia telah dibangkitkan maka tibalah masanya amalan manusia dinilai Allah S.W.T. Segala kitab amalan manusia yang dicatit Kiramul Al-Katibun akan dikembalikan semula kepada manusia. Barangsiapa yang menerima kitab amalannya dari sebelah kanan maka berbahagialah ia. Barang siapa yang menerima sebaliknya maka dia tergolong di kalangan mereka yang dimurkai Allah S.W.T. Pengakhiran kehidupan mereka adalah kesengsaraan.

عن الْمِقْدَادُ بْنُ الأَسْوَدِ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَقُولُ: "تُدْنَى الشَّمْسُ، يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنَ الْخَلْقِ، حَتَّىَ تَكُونَ مِنْهُمْ كَمِقْدَارِ مِيلٍ". قَالَ سُلَيْمُ بْنُ عَامِرٍ: فَواللهِ مَا أَدْرِي مَا يَعْنِي بِالْمِيلِ؟ أَمَسَافَةَ الأَرْضِ، أَمِ الْمِيلَ الَّذِي تُكْتَحَلُ بِهِ الْعَيْنُ. قَالَ: "فَيَكُونُ النَّاسُ عَلَىَ قَدَرِ أَعْمَالِهِمْ فِي الْعَرَقِ، فَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَىَ كَعْبَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَىَ رُكْبَتَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يَكُونُ إِلَىَ حَقْوَيْهِ، وَمِنْهُمْ مَنْ يُلْجِمُهُ الْعَرَقُ إِلْجَاماً". قَالَ وَأَشَارَ رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- بِيَدِهِ إِلَىَ فِيهِ.

Daripada Miqdad ibnu Al-Aswad katanya : Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Matahari menghampiri manusia pada hari kiamat. Sehingga jarak di antara keduanya cumalah مِيلٍ . Salim bin Amir bertanya : Demi Allah aku tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan مِيلٍ ?. Adakah ia jarak ukuran bumi atau benda yang digunakan untuk bercelak. Maka Nabi S.A.W bersabda : Maka manusia (pada saat itu) dibanjiri peluh sesuai kadar amalan mereka. Di antara mereka ada yang peluhnya sampai kedua buku lalinya. Di antara mereka ada yang peluhnya sampai kedua lututnya. Di antara mereka ada yang peluhnya sampai pinggangnya. Dan di antara mereka ada yang benar-benar ditenggelamkan oleh peluhnya." Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam memberi isyarat ke mulutnya [3].

ii. Perhimpunan setelah amalan ditimbang. Mereka akan menuju ke syurga atau neraka.

الشفاعة

Di dalam keadaan getir Al-Hasyru dan Mizan tiada apa yang boleh menyelamatkan manusia melainkan dengan Syafaat Allah dan Rasulnya.

Syafaat menurut ulamat Usuluddin adalah permintaan Nabi S.A.W dari Allah S.W.T supaya menjangkaui keampunannya ke atas dosa-dosa yang manusia lakukan. Ia merupakan khususiyah yang dianugerahkan Allah kepada Nabi S.A.W.

Tingkatan Syafaat Nabi S.A.W :
i. Syafaat al-uzhma
ii. Syafaat bagi mereka yang sama timbangan amalan jahat dan baik.
iii. Syafaat bagi mereka yang diarahkan ke neraka.
iv. Syafaat masuk syurga tanpa hisab.
v. Syafaat keizinan masuk ke dalam syurga bagi ummat Muhammad.
vi. Syafaat meringankan azab bagi mereka yang berhak. Seperti syafaat kepada Abu Thalib.
vii. Syafaat meninggikan darjat.
viii. Syafaat untuk perlaku dosa besar di kalangan Ummat Muhammad S.A.W.

Selain dari mereka yang diberikan kelebihan oleh Allah S.W.T untuk mendapat syafaat yang tiada harga dan nilainya itu. Ada sekelompok manusia mendapat bantuan dan pertolongan serta naungan dari rahmat Allah. Mereka adalah seperti yang dinyatakan di dalam hadith Nabi S.A.W. :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ الإِمَامُ الْعَادِلُ ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِى عِبَادَةِ رَبِّهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِى الْمَسَاجِدِ ، وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِى اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّى أَخَافُ اللَّهَ . وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ[4]

Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi S.A.W bersabda : Tujuh golongan mendapat naungan Allah di hari tiada naungan melainkan naungannya :
i. Imam yang adil.
ii. Pemuda yang hidup di dalam lingkungan agama.
iii. Pemuda yang hatinya tergantung pada masjid.
iv. Dua lelaki yang saling menyayangi kerana Allah. Berjumpa dan berpisah kerana Allah.
v. Lelaki yang digoda perempuan berkedudukan dan cantik lantas dia berkata : Aku takutkan Allah.
vi. Lelaki yang mengeluarkan hartanya sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.
vii. Lelaki yang mengingati Allah ketika sunyi menitis air matanya.

الميزان

Mizan adalah timbangan yang mengukur dan membezakan amalan manusia. Keimanan kepada mizan thabit dengan Al-Quran dan As-Sunnah diantaranya :

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَإِنْ كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ

Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan Yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung[5].

Allah menyebutkan perkataan الميزان sebanyak 15 kali di dalam Al-Quran.

[1] Al-Hasyr : 2
[2] Al-Kahfi : 47
[3] Hadith riwayat Imam Muslim R.A
[4] Riwayat Bukhari.
[5] Al-Anbiyak : 47
.
.
Program live : Masjid Al-Ikhwaniyah 15 Januari 2011 ( lepas Subuh )

Wednesday, January 12, 2011

Usul 3 : Pendirian terhadap ilham, lintasan, kasyaf dan mimpi.


وللإيمان الصادق والعبادة الصحيحة والمجاهدة نور وحلاوة يقذفهما الله في قلب من يشاء من عباده ، ولكن الإلهام والخواطر والكشف والرؤى ليست من أدلة الأحكام الشرعية , ولا تعتبر إلا بشرط عدم اصطدامها بأحكام الدين ونصوصه.

Bagi iman yang benar, Ibadah yang sahih serta Mujahadah , terdapat cahaya dan kemanisan. Allah mencampakkannya kedalam hati yang dikehendakinya daripada hamba-hambanya. Walau bagaimanapun Ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah merupakan sumber-sumber hokum syara’. Kesemuanya tidak dii’tiraf melainkan dengan syarat tiada percanggahan dengan hokum-hukum agama dan nas-nasnya.

Iman yang benar :

Iman dari segi bahasa adalah percaya dan membenarkan. Imam Al-Laqqani menyebutkan di dalam Jauharah at-Tauhid :
.
وفُسِّرَ الإيمانُ بالتصدَّيقِ .
Ditafsirkan iman itu dengan tasdiq ( membenarkan )
.
Hal ini selari dengan firman Allah S.W.T :
.
وما أنت بمؤمن لنا ولو كنا صدقين
.
...dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata Kami ini, sekalipun Kami adalah orang-orang Yang benar".
.
Sementara itu iman dari segi istilah syara’ pula adalah percaya dan membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W tentang segala ajaran agama yang mudah diketahui, atau seumpamanya, dengan dalil-dalil yang meyakinkan.
.
Nabi S.A.W menafsirkan pengertian Iman di dalam sebuah hadith :
.
قال: فأخبرني عن الإيمان. قال: "أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر. وتؤمن بالقدر خيره وشره.
.
Yang bermaksud : Jibril berkata, “Beritahulah aku pengertian iman! Baginda menjawab bahawa kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari qiamat, dan qadha’ dan qadar sama ada baik atau buruk”.
.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ -عَنْ النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -قَالَ: " الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ."
.
Maksudnya :
.
Dari Abu Hurairah r.a daripada Nabi S.A.W, baginda bersabda : “Iman itu enam puluh lebih cabang, malu sebahagian daripada iman” .
.
Ilham [1]
.
Lintasan-lintasan dalam hati yang mendorong melakukan amalan yang baik dinamakan ilham. Sebarang lintasan-lintasan yang tidak baik adalah was-was. Sebarang lintasan yang mendatangkan kerisauan dan ketakutan itu namanya ihsas ( merasai dengan pacaindera ).
.
Kasyaf
.
Penjelasan perkara-perkara yang disembunyikan di dalam kefahaman. Dibukakan rahsia itu seperti melihatnya dengan keyakinan. Menurut Imam Nawawi :
.
مكاشفات العيون بالإبصار مكاشفات القلوب بالإتصال
Singkapan rahsia mata dengan melihat, singkapan rahsia hati dengan hubungan ( Hubungan Allah )
.
Mimpi ( الرؤيا )
.
Rukya atau mimpi adalah salah satu karamah yang berupa lintasan yang datang di dalam hati. Perumpamaan ibarat cahaya bulan dan cahaya matahari. Di waktu tidur yang melihat dan memandang adalah anggota yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Apa bila sedar yang melihat dan memandang adalah mata kasar. Orang yang tidur berpandu kepada bulan dan yang jaga berpandukan matahari. Apabila timbul matahari bulan tidak keluhatan.
.
Kesimpulan
.
Sumber-sumber yang boleh dipegang bagi melahirkan dan menerbitkan hukum hanyalah Al-Quran, hadith, ijma’ dan qias. Adapun lintasan, ilham, mimpi dan firasat tidaklah boleh dikira sebagai sumber hukum dan tidak menerbitkan hukum. Ada pun hukum percaya dan beramal dengan kesemua karamah itu adalah ke atas individu itu sahaja. Walau bagaimana pun ia bukanlah dalil yang boleh dijadikan hujjah untuk beramal dengannya.
.
.
Huraian Usul 20 di dalam kitab Risalah Ta'lim. Asas kepada pembentukan kefahaman anggota pendakwah.
.
.
[1] موسوعة مصطلحات التصوف الإسلامي , الدكتور رفيق العجم – مكتبة لبنان ناشرون

Monday, January 10, 2011

Percaya pada orang... ( bah. 1 )

Hari ni nak cerita pasal motivasi sikit. Apa pun, motivasi pun sebahagian dari ilmu Islam.
.
Seandainya anda ditunjukan dengan sekeping gambar. Gambar siapa yang akan perhatikan dulu ?.Ermm saya sangat yakin dan percaya kita akan cari gambar kita dulu kan. Kenapa ye. Haa sebab dalam diri kita cuma ada kita..kita kitaa dan kitaaa. Ini namanya sindrom kita-kita. Sindrom yang merosakan . Virus yang menjahanamkam. Sentiasa anggap kita sahaja yang sangat bagus. Idea kita aje yang sangat bernas. Dan kita seorang je yang mampu melakukannya.
.
Ada tak orang ni di sekeliling anda ?. Saya ?. Ermm rasa-rasa macam ada ;) Orang kita-kita ni, dia cuma fikir dia seorang jer yang mampu buat. Orang lain semuanya low class. Asyik kata, kita, kita dan kita.. Saya.. saya dan saya.. Aku, aku dan aku ajer. Itu jer yang dia tahu pun. Memang aku dan aku. Pernah suatu masa saya menyusun suatu program untuk saya uruskan. Saya pun panggillah orang-orang yang terlibat untuk bermeeting, ala gitu-gitulah. Tunggu punya tunggu.. ahli-ahli mesyuarat tak juga timbul-timbul. Jangan kata batang hidung, bulu kening pun tak nampak.
.
Bila siasat-siasat... rupanya mereka dah pun datang. Dah meeting pun. Ermm pelik jugak tu. Rupa-rupanya orang kita-kita ni dah ambil alih dia pengerusikan perjumpaan tu. Heheheh.. ni contoh jer. Contoh orang kita-kita. Tapi Alhamdulillah bila ada orang buat kerja kita, kita senang hatilah. Tapi virus kita-kita ni kena ubat jugak.
.
Sebab itu dalam Islam ajar kita sifat wara', tawadhuk, merendah diri dan lain-lain. Ingat.. kita bukan boleh buat sorang-sorang pun. Allah jadikan manusia bermasyarakat. Kalau anda hebat, maka anda perlukan bantuan untuk jadi hebat. Bagus kalau ada orang hebat.. Tapi kalau semua benda kita nak buat semua benda kita kata kita boleh semua benda kita jadi ketua, semua benda kita control.. ehem ehem itu apa namanya tu ;)
.
Nak tahu lanjutnya jangan terlepas untuk dengar refresh iman secara live di radio negeri fm. Sama ada melalui frekuansi 92.6 ataupun melalui live streaming..
.
Teringat saya kata-kata Ibnu 'Atho illah As-Sakandari. Dulu belajar hikam ni dengan Syeikh Dr Athiyah di Mssjid Syeikh Soleh Al-Ja'fari. Ingat lagi di antara hikmah-hikmah Ibnu 'Atho illah yang sangat berguna itu adalah :
.
ادْفِنْ وُجُودَكَ فِى أَرْضِ الْخُمُولِ، فَمَا نَبَتَ مِمَّا لَمْ يُدْفَنْ لاَ يَتِمُّ نِتَاجُهُ .
.
Tanamlah kewujudan mu itu di dalam bumi yang tersembunyi. Apa yang tumbuh dari benih yang tidak ditanam, tidak akan sempurna kewujudannya.
.
Mari kita tanamkan sifat tawadhuk dan rendah hati di dalam kehidupan ini. Pilihlah untuk tidak dikenali seandainya kita diberi pilihan itu ;) Sambung lagi cerita ni.. Macam biasa tengah sedap kena berhenti... hehehehehe

Wednesday, January 5, 2011

Genggamlah ia sekuatnya !.

والقرآن الكريم والسنة المطهرة مرجع كل مسلم في تعرف أحكام الإسلام ، ويفهم القرآن طبقا لقواعد اللغة العربية من غير تكلف ولا تعسف ، ويرجع في فهم السنة المطهرة إلى رجال الحديث الثقات .

Al-Quran dan As-Sunnah menjadi tempat rujukan bagi setiap Muslim memahami hokum-hukum Islam. Perlu memahami Al-Quran selari dengan kaedah-kaedah Bahasa Arab tanpa memberat-beratkan dan tidak menyeleweng. Memahami hadith bersandarkan kepada Rijal-rijal hadith yang diyakini.

Proses memahami dan beramal dengan Al-Quran.

i. Menguasai bacaan Al-Quran.
ii. Menjadikan sebagai wirid harian.
iii. Berusaha memahami makna-makna bacaan.
iv. Berusaha menghafal surah-surah yang ringkas.

Kebanyakan kita hanya berusaha menjaga fizikal Al-Qur’an. Kita tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai, di kerusi atau di tempat-tempat lain yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak ‘menjaga’ Al-Qur’an. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak, atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa jua bentuk sekalipun. Kita akan pastikan kemurnian Al-Qur’an terpelihara dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Seluruh umat Islam di Sabak bernam akan bangkit mempertahankan Al-Quran seandainya ia diperlakukan sedemikian. Segala usaha ini sangat baik dan memang menjadi tugas dan kewajiban yang harus kita tunaikan untuk memastikan keagungannya. Namun, kita sering hanya berhenti setakat ini sahaja.

Kita jarang berusaha untuk memahami isi kandungan Al-Quran, jauh sekali untuk mengaplikasikan di dalam kehidupan seharian . Suatu persoalan untuk kita renungkan bersama. Di antara kita siapa yang memiliki terjemahan Al-Quran dirumahnya ?. Menjadi keaiban yang sangat besar bila mana kita tidak memahami Al-Quran tetapi tidak memiliki terjemahannya ?. Siapa pula di antara kita yang memiliki terjemahannya di dalam bahasa Melayu pernah membaca terjamahan yang dibeli keseluruhannya, walaupun ia hanya berberapa helaian jika dibandingkan dengan timbunan majalah dan surat khabar yang kita beli saban hari
Kita akan marah apabila Al-Qur’an dihina, tetapi kita sendiri ‘menghina’ Al-Qur’an dengan tidak memperdulikanya . Kita sangat sakit hati apabila Al-Qur’an dikatakan telah ketinggalan zaman, tetapi kita sendiri telah berzaman meninggalkan Al-Qur’an, sehingga berhabuk dan sangat sepi dari disentuh.

Dengan kata lain, kita merelakan al-quran membatu sepi di almari kita, sepi tanpa pembacaan, gersang dari pengkajian. Kita sebenarnya sangat gagal untuk mengambil Al-Qur’an sebagai petunjuk. Sekali gus bermakna merelakan diri duduk dan tinggal di dalam kesesatan yang nyata . Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita,

.
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

.
“Aku telah meninggalkan pada kamu dua perkara; jika kamu berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya” [HR Muslim].

Beramal dengan hadith.

i. Mengetahui kedudukan hadith sama ada Sohih, Hasan, Dhoif ataupun Maudhu’.
Berusaha memahami hadith-hadith selari dengan dalil-dalil Bahasa, konteks hadith, sebab wurud dan asas-asas agama yang lain.
ii. Meyakini keselamatan hadith dari sudut ketulenan dan keasliannya. Serta meyakini tidak berlakunya pertentangan hadith-hadith yang sahih dan hasan denngan sumber yang lebih kuat darinya.
ii. Berusaha menghafal hadith-hadith yang ringkas.

Selain dari itu sebagai umat Islam dan pendokong perjuangan Islam seharusnya bekerja memelihara hadith-hadith Nabi dari 3 Ancaman utama :

i. Penyelewengan golongan pelampau.
ii. Ajaran orang yang sesat.
iii. Tafsiran orang yang jahil.

Sabda Nabi S.A.W :

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ، ينفون عنه تحريف الغالين ، وانتحال المبطلين ، وتأويل الجاهلين

Ilmu ( Hadith ) dibawa oleh setiap generasi terdahulu oleh golongan yang adil dikalangan mereka. Mereka dapat menepis penyelewengan golongan pelampau, ajaran orang-orang sesat dan tafsiran orang-orang jahil.