Pages

Sunday, April 17, 2016

Buku Baru

Ayyuhal Walad ( Wahai Anakku)

Dalam keghairahan manusia belari merebut dunia, lahirlah genarasi manusia yang kering dari segala nilai. Pelbagai tanda membayangkan kroniknya defisit nilai yang dihadapi. Ironinya mereka mampu menongkat langit dengan kemajuan yang dicapai tetapi dungu dalam memahami matlamat keberadaan. Kebuntuan memahami matlamat hidup adalah sebahagian simptom kedunguan yang dihidapi. Kesakitan yang semakin membarah ini mula menunjukkan tanda. Justeru, seringkali kita mendengar dan melihat kedurjanaan terpacul di mana-mana. Kekeringan nilai terjadi hasil pengabaian aspek kejiwaan. Kesibukan manusia mengejar dunia menjadikan mereka insan yang kaku dan mati tanpa jiwa. Nukilan tinta emas al-Imam al-Ghazali telah menghidupkan sekian banyak jiwa yang mati. Telah menitiskan sekian banyak air mata dari kelompak yang kontang. Berjaya menyentap tangan manusia yang lalai. Membangunkan iman yang tidur. Maka kami melihat karya ini perlu disuburkan kembali. Kami sedia maklumi telah banyak olahan dan terjemahan yang berada di pasaran tetapi kami mencuba untuk menyelit dicelah rimbunan subur. Semoga kami turut disenaraikan di kalangan mereka yang berjuang membangunkan ummah ini walaupun berbekalkan tinta kayu.


“Walau pun hanya dengan tinta kayu”

Mohd Khir Johari bin Abas
Bidor

Dapatkan naskhah anda.

Tuesday, April 5, 2016

FIQH KEUTAMAAN (AL-AWLAWIYAT) DI SISI AL-QARADHAWI-BAH 2

HUBUNGAN ANTARA FIQH AL-AWLAWIYAT DAN FIQH MUWAZANAT.

1. Fiqh al-Awlawiyat dan Fiqh Muwazanat.
- Muwazanah (pertimbangan) antara dua maslahah.
- Muwazanah antara maslahah dan mafsadah.
- Muwazanah antara dua mafsadah.

Muwazanah antara dua maslahah.
Asas kepada maslahah adalah menghimpunkan segala kemaslahatan sekiranya mampu atau melakukan sebanyak mungkin seandai termampu. Dalam keadaan tidak mampu untuk menghimpunkan keseluruhan maslahah maka keutamaan diberikan kepada :
- Maslahah yang diyakini berbanding yang zanni atau mauhumah.
- Maslahah yang besar berbanding maslahah kecil.
- Maslahah jamaah berbanding individu.
- Maslahah yang banyak berbanding maslahah sedikit.
- Maslahah berpanjangan berbanding maslahah temporari.
- Maslahah asas atau dasar berbanding replika semata-mata.
- Maslahah masa hadapan yang kuat berbanding maslahah sekarang yang lemah.

Muwazanah antara dua mafsadah :
Asas kepada mafsadah adalah menjauhkan mafsadah secara total atau sebahagian darinya seandainya mampu. Konsep interaksi dengan mafsadah adalah :
- Tidak boleh mendatangkan mudarat sama sekali.
- Menjauhkan mudarat sedaya upaya mungkin.
- Mudarat tidak boleh dihindar dengan mudarat sepertinya.
- Memilih darurat yang ringan berbanding mudarat yang lebih berat.
- Memilih darurat yang rendah berbanding darurat yang tinggi.
- menanggung darurat individu untuk mengelak darurat jemaah.

Muwazanah antara maslahah dan mafsadah.

Asas kepada kontradik antara maslahah dan mafsadah adalah mendatangkan maslahah dan menolak mafsadah sama sekali. Dalam keadaan mafsadah lebih besar dari manfaat yang kecil maka manfaat tersebut perlu ditolak sama sekali. Manakala dalam keadaan manfaat atau maslahah lebih besar berbanding mafsadah yang lebih kecil maka manfaat dan maslahah perlu diutamakan dengan mengenepikan mafsadah yang bakal terjadi.