Pages

Monday, August 26, 2013

Berhamburan air liur...

OIC kata : Kami mengutuk serangan itu..
OIC kata : Kami mengutuk perbuatan itu..
OIC kata : Kami mengutuk pembunuhan itu..
OIC kata : Kami mengutuk penggunaan senjata kimia..
 
PBB kata : Kami mengutuk serangan itu..
PBB kata : Kami mengutuk perbuatan itu..
PBB kata : Kami mengutuk pembunuhan itu..
PBB kata : Kami mengutuk penggunaan senjata kimia..
 
Raja Arab saudi, Kuwait, Jordan dan negara2 Arab berkata :
 
Kami mengutuk serangan itu..
Kami mengutuk perbuatan itu..
Kami mengutuk pembunuhan itu..
Kami mengutuk penggunaan senjata kimia..
 
Kita pun kata :
 
Kami mengutuk serangan itu..
Kami mengutuk perbuatan itu..
Kami mengutuk pembunuhan itu..
Kami mengutuk penggunaan senjata kimia..
 
Jom kita tengok sapa paling kuat mengutuk dan air liur siapa yang paling banyak menyembur.
 
Saya nak kata, untuk diri saya dan KITA :
 
Kutuklah sebanyak mana yang kamu mahu… kerana realitinya bumi gaza akan terus bermandi darah.. basyar Al-asad terus dahagakan darah… Bumi Mesir akan terus dibasahi darah. Masyarakat Islam Rohingga akan terus merempat… musuh-musuh Islam akan terus-terusan melondeh dan membogelkan maruah Islam. Pemimpin pemimpin boneka dan sekutu Amerika ini akan terus-terusan memperbodohkan rakyat seolah-olah mereka telah melakukan sesuatu yang sangat besar untuk Islam. Mereka seolah-olah telah mengorbankan sesuatu yang sangat berharga dalam hidup untuk islam. Tetapi natijahnya hanyalah kami mengutuk tindakan itu…
 
Seandainya situasi ini berterusan. Kita tidak akan kemana-mana. Keadaannya seolah-olah kita telah selesa dinoda sedemikian rupa. Sekian lama pencabulan itu telah berlaku. Setelah sekian banyak maruah kita diabkan. Setelah lencun muka kita diludah.. nyata kita telah serasi, kita telah selesa. Sehingga kita tidak merasa apa-apa lagi. Kita sudah selesa kerana kita boleh makan dengan aman. Kita selesa kerana kita ada kereta untuk dipandu. Kita rasa selesa kerana masih ada baju untuk dipakai. Untuk apa kita melakukan itu dan ini.. Kerana kita telah selesa.. Islam akan terus-terusan diperkosa dengan rakusnya.
 
Kita hanya akan kata yang penting saya ada kerja, ada kereta, boleh tidur dengan nyenyak dan makan dengan kenyang.
 
Dan mereka juga akan terus-terusan untuk mengutuk.

Monday, August 5, 2013

Khutbah Hari Raya 1434H

Khutbah pertama

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر , ولله الحمد

الله أكبر كبيرا , و الحمد لله كثيرا , و سبحان الله بكرة و أصيلا

لآ ألـه ألا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين و لو كره الكافرون

لآ إلـه إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده و هزم الأحزاب وحده

لآ إلـه إلا الله و الله أكبر  الله أكبر ولله الحمد

وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَه إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله وصَفِيُّهُ وَخَلِيْلُهُ، خَيرُ نبيٍ أَرْسَلَهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ إِلَى العَالَمِ كُلِّهِ بَشِيْراً وَنَذِيْراً، اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيْدِناَ مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آل سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ صلاةً وسلاماً دائمين متلازمين إلى يوم الدين أَمَّا بَعْدُ ، وأوصيكم أيها المسلمون ونفسي المُذْنِبَةَ بِتَقْوَى الله تعالى و طَاعَتِهِ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

 
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

 Marilah kita bersama-sama bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan erti kata taqwa yang sebenarnya. Meletakkan Allah sebagai matlamat, menjadi Al-quran sebagai panduan dan Islam sebagai landasan kehidupan.

 

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah

Ketika laungan takbir memecah kesunyian di Kampung Bunan Tembawang Sambat di Pendalaman Sarawak, ia turut berkumandang di kota Metropolitan Kuala Lumpur. Bergerak perlahan ke New Delhi (India) dan Dacca, Bangladesh. Kemudian ke barat hingga sampai ke Timur Tengah, Afrika, Eropah, dan Amerika mengikut perjalanan matahari yang tidak pernah berhenti walau sesaat. Akhirnya seluruh alam ini dikumandangkan kalimah-kalimah membesarkan Allah.

Seluruh alam seakan membenarkan kebesaran dan keagunganNya. Setiap jiwa umat Islam seakan-akan tunduk  pada keagunganNya.

Sekiranya diberi kesempatan untuk meneropong dari angkasa, kita akan melihat seoalah-olah suatu gelombang manusia yang besar sedang berhimpun menyatakan kebesaran Allah dari utara hingga ke selatan, dari timur hingga ke barat.

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah
Mari kita merenung, dengan jumlah bilion umat Islam seluruh dunia mengaku kebesaran Allah tatkala sambutan ’idul fitri ini...
Masih wujudkah mereka yang ingkar kepada Allah ?.
Mencuaikan ketaatan kepada Allah ?.
Melakukan dosa dan maksiat kepada Allah ?.
Atau laungan takbir yang menerobos ke angkasa itu hanya syiar kosong yang tidak memberi apa-apa pengertian ?. Diibaratkan seperti kakak tua yang pandai berdendang tetapi tidak mengetahui apa-apa yang diungkapkannya.
Dengan laungan slogan :

ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون .

Kami tidak menyembah melainkan dia, dalam keadaan Ikhlas baginya Agama itu walaupun dalam keadaan dibenci oleh golongan kafir.
Masih ada keraguankah kepada keimanan kita ?. Atau ia hanya dongengan kita di pagi hari ini untuk memeriahkan suasana atau untuk mendatangkan ”mood” menjamah juadah hari raya sebanyaknya selepas ini ?. Bagaimana pula jeritan kita yang mengatakan :

و نصر عبده

membantu hamba-hambanya,

و أعز جنده

Memenagkan tentera-tenteranya

و هزم الأحزاب وحده

dan menewaskan tentera-tentera bersekutu dengan kekuasaanya.
 

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر ولله الحمد

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah
Realiti yang berlaku hari ini adalah.... di mana bumi umat Islam, kita boleh berbangga dengan kemenangan Islam ?.
Di Syiria lebih seratus ribu menjadi korban tentera Basyar Al-Asad. Kekejaman, kezaliman dan kejelekan tentera syiah bersekutu membunuh, menyembelih, menyiat-nyiat daging saudara kita seislam, seolah-olah kita hanya mampu kita menonton. Ke mana perginya laungan takbir yang memenuhi seluruh pelusuk alam sebentar tadi ? Ke mana hilangnya keberanian kita tatkala menyebut ” tiada tuhan yang kita sembah, melainkan Allah dengan penuh keikhlasan dan tidak memperdulikan orang-orang kafir ?”. Di mana letaknya kejantanan umat ini ketika mendengar ratusan cucu-cicit para sahabat Nabi dirogol dengan kejam di Syiria ?.

Air mata akan terus bercucuran tatkala mengenangkan darah juga tidak pernah berhenti mangalir di bumi Palestin. Kekejaman dan keangkuhan Rejim Zionis seakan tiada kesudahannya . Sudah lupakah kita peristiwa berdarah di Shabra Shatila . Pada tengahari Khamis 16hb September 1982, setelah shabra dan shatila dibedil bertalu-talu menggunakan kereta kebal, sepasukan sekitar 150 orang anggota  sekutu Israel, mula bergerak memasuki kem shabra shatila yang kononnya dipenuhi pengganas bersenjata walaupun pada hakikatnya mereka hanyalah sekumpulan pelarian terdiri dari wanita, ibu tua dan kanak2 yang lari menyelamatkan jiwa mereka. . Dengan disaksikan oleh dunia, untuk tempoh 40 jam berikutnya anggota-anggota tentera sekutu Israel telah merogol, membunuh dan mencederakan begitu ramai orang awam yang tidak bersenjata. Mangsa korban amukan gila ini dianggarkan sehingga 3500 orang. Bergelimpangan mayat ibu tua dan kanak2 dalam keadaan yang sangat menyedihkan dan mengaibkan menutup bumi shabra dan shatila. Umat Islam tidak sewajarnya melupakan titik hitam ini. Bahkan peristiwa ini hanyalah sebahagian kecil dari ratusan episod samarinda yang dipapar di mata dunia.

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah
Yang lebih menyayat hati. Luka yang parah ibarat dititiskan perahan limau tatkala melihat Pemimpin-pemimpin negara Islam hanya mengeluarkan empat patah perkataan,  iaitu ” kami mengutuk tindakan itu”. Tatkala langit gaza menghujakan peluru, bumi ghaza dibasahi darah, pemimpin negara Islam dan OIC hanya mengatakan kami mengutuk serangan itu. Tatkala rejim basyar Al-Asad terus menggila menghirup darah ratusan ribu rakyatnya.. Pemimpin negara ummat Islam dan OIC hanya kata : kita mengutuk serangan itu.. Tatkala masyarakat islam rohingya merayu dunia Islam membantu mereka dari terus-terusan dizalimi pemimpin negara islam hanya mengatakan ; kami mengutuk tindakan itu.. Apatah lagi.. tatkala satu demi satu penghinaan yang dilakukan kepada Islam dan Nabi S.A.W seluruh pemimpin dunia Islam hanya mengulang skrip yang sama : kami mengutuk tindakan itu.. Mimbar mengingatkan seluruh pemimpin dunia Islam termasuk negara ini Kutuklah sebanyak mana yang kamu mahu… kerana realitinya bumi gaza akan terus bermandi darah.. basyar Al-asad terus dahagakan darah… Masyarakat Islam Rohingga akan terus merempat… golongan kuffar akan terus-terusan melondeh dan membogelkan maruah Islam. Pemimpin pemimpin boneka dan sekutu Amerika ini akan terus-terusan memperbodohkan rakyat seolah-olah mereka telah melakukan sesuatu yang sangat besar untuk Islam. Mereka seolah-olah telah mengorbankan sesuatu yang sangat berharga dalam hidup mereka untuk islam. Tetapi natijahnya hanyalah: kami mengutuk tindakan itu…

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah
Tatkala musuh-musuh Islam terus-terusan menghirup darah ummat Islam, menghina Nabi S.A.W tanpa ada kesudahan, pemuda-pemuda di Negara ini sebahagian besarnya masih tenggelam di dalam dunia hiburan yang sangat memualkan. Orang muda kita masih layu di dalam pelukan facebook, twiter dan youtube semata-mata. Masih leka menghabiskan waktu muda hanya dengan membilang gajet-gajet baru yang keluar setiap bulan. Perbincangan hanya seputar topik artis, hiburan, sukan dan pasangan kekasih masing-masing. Fikir dan zikir hanya membilang gadis-gadis ayu di pandangan. Tatkala ditanya tentang filem innocence of muslim dia hanya tersengih menunjukan gigi yang kuning.  Tatkala ditanya tentang isu pembantaian yang berterusan di Syria dia hanya melopong. Tatkala ditanya tentang perlantikan presiden Iran yang baru, dia hanya mengangkatkan bahu. Apatah lagi sangat menyedihkan tatkala ditanya tentang isu-isu ketirisan, rasuah, penyelewengnan dan penipuan yang berlaku di dalam negara dia juga tidak mengetahuinya. Maka lahirlah golongan cerdik pandai yang tidak mengetahui apa-apa melainkan apa yang terkandung di dalam buku-bukunya. Dunianya hanyalah biliknya, bilik kuliyah, padang bola dan kafeteria. Manakala orang berkeja hidupnya hanyalah rumah dan tempatnya bekerja.

Seandainya situasi ini berterusan. Kita tidak akan kemana-mana. Keadaannya seolah-olah kita telah selesa dinoda sedemikian rupa. Sekian lama pencabulan itu telah berlaku. Setelah sekian banyak maruah kita diabkan. Setelah lencun muka kita diludah, nyata kita telah serasi, kita telah selesa. Sehingga kita tidak merasa apa-apa lagi. Kita sudah selesa kerana kita masih boleh menjamah  ketupat dan lemang dengan aman. Kita sudah selesa kerana kita ada kereta untuk dipandu pulang ke kampung . Kita sudah selesa kerana masih ada baju raya untuk dipakai. Untuk apa kita melakukan itu dan ini.. Kerana kita telah selesa.. Islam akan terus-terusan diperkosa dengan rakusnya, kita hanya akan kata yang penting saya boleh berhari raya, ada kereta, boleh tidur dengan nyenyak dan makan dengan kenyang. 

الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر ولله الحمد
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah

Allah s.w.t berfirman :

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآَخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ (60)

Dan sediakanlah segala jenis kekuatan untuk menentang mereka, dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka, yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

(Al-Anfal : 60 )

Mengambil roh dan semangat laungan takbir hari raya yang memenuhi ruang angkasa pagi ini, mimbar merasakan.. sudah tiba dan sampai masa ummat ini bangun dari lena yang panjang. Keluar dari kepompong kebodohan. Menerjah keluar dari kebingungan mencari jati diri. Bangunkan semangat Al-Imam Hasan Al-Banna. Pasakkan kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih. Melangkahlah Ibarat Solahuddin Al-Ayubi membelah badai. Menerkamlah segagah Sayyidina Hamzah. Majulah sekental saidina Khalid Al-Walid. Hadirkan kecintaan kepada Islam. Rasa cinta yang bukan hanya di bibir. Tetapi rasa cinta yang menjalar di setiap pembuluh darah yang paling sempit. Rasa cinta yang membenam ke dalam lubuk hati yang paling dalam. Rasa cinta yang memusatkan akal menunjangi perjuangan. Rasa cinta yang membangunkan keberanian. Bangun menjadi ummat yang menadahkan dada mempertahankan Islam. Melangkahlah ke hadapan.. Binalah saff perjuangan yang hidup matinya untuk Islam. Azamkanlah di dalam diri wahai bakal para pejuang. Sekali melangkah sekali-kali tidak akan menyerah. Pertahankanlah Islam. Sehingga titisan darah yang terakhir.  Mari kita bersama ikrar dan pastikan selepas ini tiada siapa yang berani menghina Islam dan Nabi S.A.W sesuka hati mereka. Cukup-cukuplah Islam menderita sekian lama kerana kelekaan ummatnya. Seandainya di dalam perjalanan untuk menuju matlamat itu. Tiada tuntutan yang diminta melainkan syahid. Maka letakkan syahid sebagai galang ganti. Dari hidup bercermin bangkai, baik mati berkalang tanah. Walau apapun… janji Allah itu benar. Islam suatu hari nanti akan tetap dijulang. Akan tiba zaman Islam berada di puncak. Merobohkan segala keboborakan yang sedang berlaku. Masa itu pasti akan tiba.


الله اكبر ,الله أكبر , الله أكبر ولله الحمد

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

 

 # Untuk khutbah kedua, sesuaikan dengan khutbah negeri masing-masing dan ingatkan tentang adab2 berhari raya.

 

Wassalam.

 

Bantulah kami untuk membantu orang lain.

Sumbangan untuk Pusat Pendidikan Al-Imam Al-Juwaini ;

Maybank : 155135092640