Pages

Friday, June 18, 2010

KULIYAH SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM

KEISTIMEWAAN SYARIAH ( FIQH ) PADA ERA SAHABAT.

Keadaan Syariah atau Fiqh pada era sahabat mempunyai berberapa keistimewaan dibandingkan dengan era-era yang lain. Di antaranya :

.

1. Fiqh pada zaman ini berjalan selari dengan zamannya disamping membahaskan perkara-perkara yang benar-benar berlaku secara hakiki. Tidak wujud hukum-hukum andaian semasa era ini melainkan setiap hukum menjawab persoalan yang sedia ada dan isu-isu yang berlegar pada zaman itu. Ditambah lagi dengan kesibukan Khulafa’ Ar-Rasyidin dengan urusan pentadbiran dan perkembangan Islam turut menjadi kekangan terhadap memikirkan hukum-hukum andaian yang tidak berlaku pada zaman tersebut. Hal ini kerana pada perinngkat kedua ini, urusan penghakiman dan fatwa adalah urusan ketua Negara di samping tugas-tugas yang lain.

.

2. Pada zaman ini telah sempurna pembukuan Al-Quran dan dibentuk menjadi sebuah buku yang sempurna. Justeru dapat mengelakan masyarakat Islam berselisih pendapat tentang sumber utama rujukan Hukum iaitu Al-Quran. Berbeza pada era permulaan zaman sahabat, Al-Quran belum dibukukan secara sempurna.

.

3. Tidak banyak periwayatan-periwayatan hadith pada era ini melainkan ketika diperlukan., Walau bagaimanapun pada peringkat ini, Hadith-hadith masih boleh dijamin kesucian dan ketulenannya kerana belum wujud hadith-hadith dusta. Hal ini kerana jarak mereka dengan era kenabian masih dekat. Bahkan ramai para sahabat yang sentiasa mendampingi Nabi S.A.W masih hidup. Justeru memudahkan untuk dipastikan kedudukan sesuatu hadith itu sama ada benar atau palsu. Walau bagaimanapun pada akhir-akhir era ini bermullah era periwayatan dan pembukuan hadith kerana wilayah Negara Islam semakin luas.

.

4. Wujud pada era ini sumber hukum yang ketiga slepas Al-Quran dan Hadith iaitu Ijmak. Bahkan ia kerap berlaku. Ia didorong oleh jumlah sahabat yang berhimpun di Mekah dan Madinah sahaja. Justeru memudahkan untukmenghimpunkan mereka semua sekali.

.

5. Wujud juga pada era ini Ijtihad-ijtihad yang dibina atas dasar sebab “Illah” . Maka sesuatu hukum itu bergantung kepada penyebabnya sama ada penyebabnya wujud atau tidak. Sebagai contohnya, langkah yang di ambil oleh Saidina Abu Bakar menggugurkan hak “orang-orang yang ingin dijinakan hatinya” daripada asnaf zakat. Sedangkan Al-Quran dengan jelass menyebutkan hak mereka. Pendirian ini diambil melalui ijtihad atau pandangan saidina Umar yang melihat ia tidak ada keperluan dan meninggikan kedudukan Islam dan orang Islam. Begitu juga dengan Hukum talak tiga dengan satu lafaz menjadi tiga sedangkan pada zaman Nabi S.A.W tiga bersamaan satu, kerana telah berleluasa sumpahan talak sedemikian.

.

6. Pada era ini telah mula wujud dua kelompok aliran di dalam mengeluarkan hukum iaitu :

a. Aliran “Al-Ra’yi”- berdasarkan pemikiran Ijtihad. Mereka yang termasuk di dalam aliran ini adalah : Saidina Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Mas’ud.

b. Aliran yang takut menggeluarkan pandangan kerana takut hukum yang dikeluarjkan tidak selari dengan kehendak Allah. Di antara mereka yang termasuk di dalam aliran ini adalah : Abdullah bin Umar dan Zaid bin Thabit .

.

Kedua-dua aliran ini adalah bibit awal pembinaan dua aliran pmahaman fiqh iaitu : Ahlu Al-Hadith & Ahlu Ar-Ra’yi Kita akan huraikan kedua-dua aliran ini pada kuliyah yang akan datang.


.

Buku ini dibincangkan di dalam Kuliyah bulanan : Masjid Mustaqimah, taman Cheras Indah : Selepas Maghrib Minggu ke-3

Thursday, June 17, 2010

Refresh Iman - Malaikat

Beriman kepada malaikat meliputi berberapa tuntutan :

Pertama : Beriman dengan kewujudan mereka.

Kedua : Meyakini mereka adalah makhluk Allah sama seperti makhluk-makhluk yang lain. Melainkan mereka mempunyai kelebihan tertentu dengan anugerah dan izin Allah seperti mempunyai umur yang panjang.

Ketiga : Mengetahui bahawa ada di antara mereka menjadi utusan Allah. Membawa perkhabaran dari Allah kepada manusia. Manakala ada di antara mereka diberikan tanggung jawab yang lain seperti membawa arasy, mencatit kebaikan dan kejahatan dan menjaga syurga dan neraka.

عن أبي هريرة - رضي اللَّه عنه - أن رسول اللَّه صَلَّى اللَّه عليْهِ وسَلَّم قال :" يتعاقبون فيكم ، ملائكة بالليل وملائكة بالنهار ، ويجتمعون في صلاة الفجر وصلاة العصر ، ثم يعرج إليه الذين باتوا فيكم فيسألهم وهو أعلم : كيف تركتم عبادي ؟ فيقولون : تركناهم وهم يصلون ، وأتيناهم وهم يصلون

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi S.A.W sabdanya : ”Kamu sentiasa diawasi malaikat malam dan siang. Mereka berhimpun pada solat Subuh dan solat Asar. Kemudian mereka naik ke langit bertemu Allah. Allah bertanya sedangkan ia menngetahuinya : Bagaimanakah keadaan hambaku sewaktu kamu meninggalkan mereka. Maka mereka menjawaqb, kamu tinggalkan mereka ketika mereka dalam keadaan solat dan kami datangi mereka ketika mereka menunaikan solat .

Dalil keimanan kepada mereka :
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللّهِ وَمَلآئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لاَ نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ وَقَالُواْ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Maksudnya : Rasulullah telah beriman kepada apa Yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang Yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang Dengan Yang lain Rasul-rasulnya". mereka berkata lagi: Kami dengar dan Kami taat (Kami pohonkan) keampunanMu Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali" .

Hakikat penciptaan malaikat adalah berbeza dengan hakikat penciptaan manusia. Allah menciptakan manusia daripada tanah . Manakala Allah menciptakan malaikat daripada cahaya. Terdapat perbahasan di kalangan ulamak samada Iblis adalah sama jenis dengan malaikat atau sebalaiknya. Di dalam kesempatan yang singkat dan keterbatasan ini penulis tidak berhasrat untuk membincangkannya.

Hadith nabi S.A.W :

عن عائشة ، رضي الله عنها قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « خلقت الملائكة من نور ، وخلق الجان من مارج من نار ، وخلق آدم مما وصف لكم » رواه مسلم

Maksudnya : Daripada Aisyah R.A katanya, Nabi S.A.W bersabda : “ Diciptakan malaikat itu daripada cahaya, diciptakan Jin dari Api yang membara dan diciptakan Adam daripada apa yang telah disifatkan kepada mu”

Walaupun malaikat diciptakan dalam keadaan ketaatan kepada Allah dan tidak sekalipun melakukan maksiat kepada-Nya, kedudukan manusia adalah lebih tinggi di sisi Allah berbanding dengan malaikat walaupun mereka melakukan dosa dan maksiat kepada Allah dengan syarat mereka kembali dan bertaubat kepada Allah.

Kedatangan Malaikat ke dalam rumah kita membawa keberkatan. Sabda Nabi S.A.W :

إِنَّ البيت الذي فيه الصور ؛ لا تدخله الملائكة

Maksudnya : Rumah yang di dalamnya ada potret tidak dimasuki malaikat .

لا تدخل الملائكة بيتا فيه كلب ولا تصاوير

Maksudnya : Rumah yang ada padanya anjing dan potret tidak akan dimasuki malaikat .
.
.
Petikan buku, JOM REFRESH IMAN.

Thursday, June 10, 2010

Hidup beragama dan menghidupkan agama

Sambungan dari chit-chat kita yang lalu. Masih lagi cerita tentang hidup beragama dan menghidupkan agama. Respon yang sangat menarik dari pembaca. Apa ye kita nak definasikan Hidup bergama dan menghidupkan agama. Ada orang kata hidup beragama maksudnya kena masuk sekolah Agama. Iye ke kak ?. Boleh jadi ke macamtu. Ala samalah jugak macam anak-anak didik saya. Puas suruh hafal surah Adh-Dhuha. Tak hafal-hafal jugak. 15 minggu diberi ruang dan peluang untuk hafalkan. Tak jugak dia hafal2. Bila marah sikit dia jawab apa ?. Dia jawab : "Ustaz saya dulu tak sekolah Agama".
.
Saya pun terkesima. cehhh guna ayat canggih sikit. yelah . Ingat Al-Quran tu untuk budak sekolah agama je ker. Yang tak sekolah agama tak payah baca Al-Quran. Ermm pelik tu. sama-samalah kita renung2kan ye kak Timah ;)
.
Maka sebab tu kita nak fahamkan apa dia hidup beragama dan menghidupkan agama. Macam udara. Semua orang memerlukan udara. Sebab tak ada udara kita tak boleh bernafas. Jadi bila ada udara barulah boleh bernafas. Bila kurang udara jadi sesak nafas. Terlebih udara, haa itu yang jadi paru-paru penuh angin. Penyakit jugak tu. Bila semua dah memerlukan udara maka tak ada beza pun. Ustaz perlu menghirup udara, Jurutera pun kena menyedut udara, Perdana Menteri pun kena bernafas dengan udara. Sebab apa. Sebab udara tu penting. Tanpa udara kita tak boleh hidup.
.
Alaaaah semakin pening pulak jadinya. hehehehe, saya mudahkan ye. Kita perlukan agama macam kita perlukan udara. Sebab udara itu untuk kita hidup. Sama macam agama. Agama pun untuk kita hidup. Ermmm. Hidup tenang, aman dan damai dalam syurga ;).
.
Jadi nak hidup kita kenalah beragama. Sebab nak hidup dengan baik. Bila manusia ni pegang agama insya Allah dia jadi baik. Itu baru satu bab iaitu hidup beragama. Kita belum bincang lagi menghidupkan agama pulak.
.
Kita rehatlah dulu. nanti2 sambung lagi. Khas untuk Guru-guru SK Parit 6 yang sama2 berkampung di Pusat Kecemerlangan Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam, terima kasih daun keladi. Program yang sangat HEBAT!!!. Anak-anak murid cikgu2 juga LUAR BIASA HEBAT !. Jumpa lagi dalam program akan datang ;)

Thursday, June 3, 2010

Khutbah - Menngutuk tindakan Yahudi

الحمد لله ثم الحمد لله، الحمد لله حمداً يوافي نعمه ويكافئ مزيده، يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لِجَلالِ وَجْهِكَ وَلِعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ، سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ لاَ أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَه إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله وصَفِيُّهُ وَخَلِيْلُهُ، خَيرُ نبيٍ أَرْسَلَهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ إِلَى العَالمَِ كُلِّهِ بَشِيْراً وَنَذِيْراً، اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيْدِناَ مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آل سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ صلاةً وسلاماً دائمين متلازمين إلى يوم الدين أَمَّا بَعْدُ ، وأوصيكم أيها المسلمون ونفسي المُذْنِبَةَ بِتَقْوَى الله تعالى و طَاعَتِهِ.يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُون
.

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُواْ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ قَالُوَاْ إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ ِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَاناً وَأَنَّهُمْ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ

Demi Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia Yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang Yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. dan Demi Sesungguhnya Engkau akan dapati orang-orang Yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang Yang beriman ialah orang-orang Yang berkata: "Bahawa Kami ini ialah orang-orang Nasrani" Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan Ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Saudara-saudaraku yang dikasihi Allah

Seluruh dunia gempar dan marah terhadap keganasan komando Zionis Yahudi menggempur konvoi kapal bantuan kemanusiaan yang sedang menuju ke semenanjung Gaza sehingga mengorbankan banyak nyawa baru-baru ini . Kini, seluruh dunia sepakat mengutuk kekejaman yang meragut nyawa sukarelawan yang menyertai konvoi itu. Persoalannya Adakah sekadar kutukan yang mampu diluahkan oleh pemimpin dunia. Di mana peranan OIC yang sepatutnya membela Negara Islam ?. Di mana peranan PBB yang menjunjung keadilan dan kebebasan ?, ke manakah perginya pemimpin-pemimpin dunia Islam yang lain. Bolehkah kita meletakan harapan saudara Seislam kita pada tangan mereka ?. Adakah kemampuan mereka hanya pada kutukan. Kalau sekadar mampu melontarkan kutukan, seorang Pakcik tua di kampong Sungai Air Tawar yang duduk di kedai kopi lebih keras kutukannya terhadap Zionis Yahudi di atas kezaliman mereka. Kita sering tertanya-tanya, kenapa tidak dikerahkan gerombolan tentera menggempurkan dan memusnahkan Negara Haram Israel berkenaan. Berapa buah Negara yang berani memutuskan hubungan ekonomi dan diplomasi dengan Yahudi ?. Bahkan ada yang lebih biadap dan kurang ajar bila ada Negara menggunakan khidmat Zionis Yahudi untuk mempromosikan negara mereka serta menyerahkan system komunikasi keselamatan Negara ke dalam tangan yahudi LaknatuLllah.

Saudara-saudaraku sekalian,

Darah tidak pernah berhenti mangalir di bumi Palestin. Kekejaman dan keangkuhan Rejim Zionis seakan tiada kesudahannya . Sudah lupakah kita peristiwa berdarah di Shabra Shatila . Pada tengahari Khamis 16hb September 1982, setelah shabra dan shatila dibedil bertalu-talu menggunakan kereta kebal, sepasukan sekitar 150 orang anggota sekutu Israel, mula bergerak memasuki kem shabra shatila yang kononnya dipenuhi pengganas bersenjata walaupun pada hakikatnya mereka hanyalah sekumpulan pelarian terdiri dari wanita, ibu tua dan kanak2 yang lari menyelamatkan jiwa mereka. . Dengan disaksikan oleh dunia, untuk tempoh 40 jam berikutnya anggota-anggota tentera sekutu Israel telah merogol, membunuh dan mencederakan begitu ramai orang awam yang tidak bersenjata. Mangsa korban amukan gila ini dianggarkan sehingga 3500 orang. Bergelimpangan mayat ibu tua dan kanak2 dalam keadaan yang sangat menyedihkan dan mengaibkan menutup bumi shabra dan shatila. Umat Islam tidak sewajarnya melupakan titik hitam ini. Bahkan peristiwa ini hanyalah sebahagian kecil dari ratusan episode samarinda yang dipapar di mata dunia.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah .
Di manakah pendirian umat Islam di dalam isu ini? Dimana pendirian kita ? Pertautan aqidah yang dibina oleh Rasullullah s.a.w. itu nampaknya tidak memberi kesan kepada kita. Kenapakah perkara sebegini berlaku sedangkan di zaman Rasullullah s.a.w. dan para sahabat walaupun seorang Islam dizalimi, satu bala tentera akan dikerah membela nasib umat Islam.Ia berlaku kerana umat Islam telah menanggalkan pegangan aqidah mereka dan memakai pelbagai pakaian lain yang tidak selari dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Kepentingan diri pula mengatasi kepentingan umat dan kesatuan umat Islam tidak dapat direalisasikan.

Semua mengakui bahawa perbuatan terkutuk Rejim Zionis yang di dokongi oleh Amerika Syarikat ini melampaui batasan peri kemanusiaan. Malah sekiranya ia dilakukan terhadap binatang sekalipun umat Islam harus bangkit menentang kezaliman yang amat nyata ini. Umat Islam harus bangkit dan sedar dengan hakikat ini. Seandainya dibuka pintu dan ruang jihad untuk mempertahankan walau seinci Negara umat Islam marilah bersama-sama kita bangkit dan mempertahankan kesucian agama kita.

Saudara-saudara sekalian
Seandainya peluang kita untuk berjuang tidak kesampaian kita masih mampu untuk menunjukan kebencian kita terhadap kezaliman Yahudi ini dengan berberapa cara :

1. Menjalankan boikot ekonomi terhadap Negara haram Yahudi dan sekutunya Amerika. Syarikat-syarikat penyumbang utama ekonomi Yahudi seperti Colgate, KFC, Arbys, McDonalds, McBurger, Chilies, pepsi, Coca Cola dan termasuklah juga Apco dan Asia Soft seandai terbukti seluruh syarikat ini menyumbang terhadap kepentingan zionis Yahudi di dalamnya.Syeikh al-Azhar, Mufti Mesir, Mufti Pakistan, Mufti Arab Saudi, Persatuan Ulama Pakistan, Dr Yusof al-Qaradhawi, dan majoriti ulama’ dari seluruh dunia telah memfatwakan wajib bagi seluruh umat Islam memboikot barangan Israel, menjalinkan hubungan dagang dengan mereka, dan juga memberikan apa-apa bekalan kepada mereka. Fatwa ini dikeluarkan setelah mengambil kira kekejaman yang telah mereka lakukan terhadap umat Islam. Dr Yusuf al-Qaradhawi telah mengatakan, “Satu ringgit yang digunakan untuk membeli barangan Amerika adalah bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera-tentera Zionis untuk membunuh anak-anak kecil di Palestin.

2. Menguatkan Ikatan dengan Allah. Mari bersama kita kembali kepada Allah. Membangunkan diri dengan manual Allah. Menghidupkan budaya hidup Islam di kawasan dan tempat kita. Dengan hidup di atas nilai Islam sahaja kita mampu menjadi kuat. Mari bersama kita menentang unsur-unsur hiburan melampau, percampuran lelaki dan perempuan yang keterlaluan, program2 melalaikan dan sebagainya. Hal ini kerana program2 inilah yang melemahkan jiwa dan menyebabkan kita takut untuk mati dijalan Allah. Sabda nabi S.A.W :

سَتَدَاعَى عَلَيكُم الأُمَمُ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصعَتِهَا". فقال قائل: وَمِن قِلّةٍ نحن يومئذٍ؟. قال: "بل أنتم يومئذٍ كثيرٌ، ولَكِنَكُم غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَيلِ، وسَيَنزِعَنَّ اللهُ مِن صُدُورِ عَدُوِكُم المَهَابَةَ مِنكُم، وسَيَقذِفَنَّ اللهُ فِي قُلُوبِكُم الوَهنَ". فقال قائل: يا رسول اللّه، وما الوَهنُ؟. قال: "حُبُّ الدُنيَا وكَرَاهِيَةُ المَوتِ".

Nabi S.A.W. bersabda : Akan sampai masa kamu akan dikerumuni oleh musuh2. seperti mana orang mengerumuni makanan kerana kelaparan. Maka sahabat bertanya : adakah kerana jumlah kami terlalu sedikit waktu itu Ya Rasulullah ?. Kata Nabi S.A.W. : Bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi ibarat sampah-sampah sarap selepas banjir, Allah akan mencabut pada diri musuh-musuh kamu perasaan gentar dan meletakkan di dalam diri kamu perasaan al-wahnu. Sahabat bertanya : Apakah ia al-wahnu. Jawab baginda S.A.W. cintakan dunia dan takut mati..

3. Memperbanyakan doa dan munajat kepada Allah. Isnya Allah selesai solat jumaat ini kita akan adakan munajat kepada Allah memohon bantuan dan pertolongan Allah menghancurkan Zionis Yahudi dan sekutunya.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.