Pages

Friday, November 19, 2010

Kuliyah Kitab - Sejarah Perundangan Islam

Ahlu Hadith dan Ahlu Ra’yi

Seperti yang telah dinyatakan terdahulu, Ijtihad pada zaman sahabat hanya berlegar disekitar masalah yang berlaku. Bahkan ada di antara para sahabat terlalu cermat di dalam mengeluarkan pandangan tatkala berhadapan dengan masalah yang tidak disebutkan di dalam Al-Quran dan hadith. Dalam masa yang sama ada juga para sahabat menggunakan pandangan dalam konteks yang lebih terbuka selari dengan perkembangan Islam dan munculnya pelbagai masalah yang baru. Di sinilah timbulnya bibit-bibit perbezaan method pemikiran di dalam masalah fiqh.

Jalan atau method Ahlu Hadith di semenanjung Hijaz.

Golongan Ahlu Hadith adalah mereka yang terhenti pandangan mereka hanya kepada Nas-nas dan Athar mereka sekali-kali tidak akan menyerahkan sesuatu masalah itu kepada pandangan sendiri melainkan di dalam keadaan yang sangat darurat. Kebanyakan mereka yang cenderung dengan pegangan sebegini duduk di semenanjung Hijaz. Golongan ini diketuai oleh Sa,id bin Musayyib R.A. Beliau adalah orang yang paling ‘arif di dalam ilmu hadith. Beliau juga menghimpunkan fatwa-fatwa Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Zaid dan lain-lain para sahabat yang utama.

Pendirian golongan Ahlu Hadith atau Ulamak Hijaz terhadap Nas-nas adalah seperti berikut :

i. Mereka terkesan dengan pandangan guru-guru mereka seperti Abdullah bin Umar, yang sangat kuat berpegang dengan Nas semata-mata dan sangat wara’ di dalam meletakan pandangan sendiri. Ia sangat jelas disebutkan di dalam biodata Abdullah bin Umar sebelum ini.

ii. Persekitaran mereka banyak terdedah dengan amalan para sahabat terdahulu dan terlalu sedikit masalah-masalah baru yang diutarakan sehingga mengecilkan ruang untuk beralih kepada pandangan sendiri.

iii. Apabila mereka dilontarkan dengan masalah, mereka akan segera meniliti kandungan Al-Quran, kemudian hadith dan athar sahabat. Seandainya tiada jawapan terhadap persoalan itu maka ketika itulah mereka akan beralih kepada pandangan sendiri atau kebanyakan mereka mengambil langkah berhenti daripada menjawab. Sebagai contoh sebuah kisah yang diriwayatkan , seorang lelaki datang bertemu dengan Salim bin Abdullah bin Umar Al Qurasy Al-Adawi bertanyakan suatu permasalahan. Maka dijawab : Aku tidak pernah mendengar sesuatu pun dari apa yang engkau tanya. Kemudian ditanya lagi : Berikanlah pandangan mu di dalam masalah ini. Salim menjawab : Tidak. Dia ditanya lagi dan dikatakan : Aku redha dengan pandangan mu. Salim menjawab Mudah-mudahan aku dapat memberi pandanganku di dalam masalah ini, tetapi aku terlupa dan datang kepadaku pandangan yang baru yang tidak sesuai untuk soalanmu.Di sini jelas, menggambarkan bagaimana mereka tidak suka menduga perkara yang tidak berlaku. Hal ini kerana ia akan mendorong mereka menggunakan pandangan mereka, itulah perkara yang paling tidak disukai oleh mereka.

Jalan atau Method Ahlu Ra’yi di Iraq.

Golongan Ahlu Ra’yu meraikan pandangan dan ijtihad mereka di dalam mengeluarkan hukum. Mereka tidak membekukan sesuatu masalah yang diutarakan. Golongan ini diketuai oleh Ibrahin An-Nakha’ei. Mereka berpandangan setiap hukum-hukum syara’ معقولة المعنى , merangkumi kemaslahatan yang sesuai untuk hamba-hamba Allah. Ia terbina di atas asas-asas yang ditetapkan. Mengandungi sebab-sebab terterntu yang mengikat hukum . Maka mereka berusaha mengkaji sebab dan hikmah hukum-hukum yang disyariatkan . Dan memusatkan hukum-hukum yang bersangkutan dengan hukum asal samada wujud atau tidak. Adakalanya mereka meninggalkan sesetengah hadith kerana tidak selari dengan sebab-sebab sesuatu hukum apatah lagi hadith-hadith yang bercanggahan dengan sebab sesuatu hukum. Mereka sangat berbeza dengan golongan Ahlu Hadith yang mengkaji seumber hukum lebih utama dari sebab hukum.

Dasar pandangan golongan ini seperti berikut.

i. Mereka terkesan dengan kaedah guru mereka iaitu Abdullah bin Mas’ud. Beliau memilih cara Saidina Umar di dalam mengeluarkan hukum dengan meraikan pandangan. Abdullah bin Mas’ud pernah mengungkapkan : Seandainya ada golongan yang merintis jalan di lembah, dan Umar juga merintis jalan yang lain bersama golongannya di lembah yang berbeza, maka aku akan mengikut lembah Umar dan pengikut-pengikutnya.

ii. Mereka berpandangan Iraq adalah bumi bertuah yang dilimpahi para sahabat. Manakala Kuffah dan Basrah adalah tulang belakang kepada tentera Islam. Daripada Iraqlah terbukanya negara-negara Islam yang lain seperti Khurasan. Kuffah juga menjadi pusat pentadbiran Saidina Ali ketika memegang tampuk pemerintahan. Memadai dengan kewujudan mereka sebagai sumber rujukan utama. Dalam masa yang sama Iraq juga menjadi tempat tumbuhnya fahaman syiah, pusat pentadbiran golongan khawarij, selain dari menjadi bumi pergolakan dan fitnah, Iraq juga menjadi pusat munculnya hadith-hadith palsu dan pembohongan terhadap Nabi S.A.W, maka ulamak-ulamaknya menetapkan syarat yang sangat ketat di dalam penerimaan terhadap hadith.

iii. Masalah yang timbul di Iraq lebih banyak berbanding di Hijaz. Memandanngkan negara Iraq lebih pesat membangun dibandinngkan dengan Hijaz. Tatkala berhadapan dengan pelbagai isu dan persoalan yang adakalanya tidak disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadith, maka sangat mendesak mereka untuk beralih kepada pandangan.

Berlaku pertembungan di antara kedua-dua madrasah ini. Walaubagaimanapun ada juga di antara Ulamak Hijaz yang terkesan dengan metod Ahlu Ra’yi seperti Rabi’ah bin Abdul Rahman . Ada juga di antara ulamak Iraq yang terkesan dengan gerakan Ahlu Hadith sebagai cintohnya ‘Amir bin Syurahil . Beliau pernah berkata : Apa sahaja yang di datangkan kepadamu oleh sahabat-sahabat Nabi maka ambillah ia. Apa sahaja yanng di datangkan daripada pandangan mereka sendiri, campakkanlah ia ke dalam kebun kurma.

Walau bagaimanapun perlu diingatkan golongan Ahlu Ra’yi yang kita bincangkan bukanlah mereka yang mendahulukan akal daripada Nas, mereka adalah golongan yang berpindah kepada akal tatkala kebuntuan nas di dalam merungkai permasalahan.

Contoh perbezaan pandangan kedua-dua madrasah.

1. Imam Malik menyebutkan di dalam Kitab Muwatta’-nya :

عَنْ مَالِكٍ عَنْ رَبِيعَةَ بْنِ أَبِى عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ قَالَ سَأَلْتُ سَعِيدَ بْنَ الْمُسَيَّبِ كَمْ فِى إِصْبَعِ الْمَرْأَةِ فَقَالَ عَشْرٌ مِنَ الإِبِلِ. فَقُلْتُ كَمْ فِى إِصْبَعَيْنِ قَالَ عِشْرُونَ مِنَ الإِبِلِ. فَقُلْتُ كَمْ فِى ثَلاَثٍ فَقَالَ ثَلاَثُونَ مِنَ الإِبِلِ. فَقُلْتُ كَمْ فِى أَرْبَعٍ قَالَ عِشْرُونَ مِنَ الإِبِلِ. فَقُلْتُ حِينَ عَظُمَ جُرْحُهَا وَاشْتَدَّتْ مُصِيبَتُهَا نَقَصَ عَقْلُهَا فَقَالَ سَعِيدٌ أَعِرَاقِىٌّ أَنْتَ فَقُلْتُ بَلْ عَالِمٌ مُتَثَبِّتٌ أَوْ جَاهِلٌ مُتَعَلِّمٌ. فَقَالَ سَعِيدٌ هِىَ السُّنَّةُ يَا ابْنَ أَخِى

Daripada Rabi’ah bin Abi Abdul Rahman, dia berkata : Aku bertanya Sa’id bin Musaiyib : Barapakah yang dikenakan terhadap sebatang jari perempuan. Katanya : 10 ekor unta, Kemudian aku berkata lagi : Bagaimana kalau dua jari. Maka jawabnya : dua puluh. Aku bertanya lagi : Bagaimana dengan tiga jari. Jawabnya : 30 unta. Aku tanya lagi : Bagaimana dengan 4 jari. Jawabnya : 20 ekor. Aku bertanya tatkala lukanya semakin banyak dan kecacatan semakin ketara adakah pampasannya semakin berkurang ?. Maka said berkata : Adakah kamu orang Iraq ?. Jawab Rabi’ah : Bahkan seorang Alim yang inginkan penegasan dan seorang Jahil yang inginkan pengajaran. Maka Said berkata : Ia adalah Sunnah Nabi S.A.W.

Said mengeluarkan fatwa dengan zahir hadith yang diriwayatkan oleh Imam Nasa’i :

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقْلُ الْمَرْأَةِ مِثْلُ عَقْلِ الرَّجُلِ حَتَّى يَبْلُغَ الثُّلُثَ مِنْ دِيَتِهَا

Daripada Amru bin Syuiab daripada bapanya daripada datuknya katanya : Nabi S.A.W bersabda : Pampasan seorang perempuan sama seperti pampasan seorang lelaki sehinggalah jumlahnya 1/3 daripada diyatnya .

Bersandarkan hadith ini pampasan bagi 4 jari lebih dari 1/3 pampasan yang berhak baginya ( 100 ekor unta ) dan perlu di bahagiakan setengah, walaupun bercanggahan dengan logik akal. Hal ini kerana akal tiada ruang di dalam menetapkan hukum.

2. Imam Abu Hanifah bertemu dengan Imam Al-Awza’i di Mekah. Maka berkata Al-Awza’i kepada Imam Abu Hanifah : Kenapakah kamu tidak mengangkat tangan ketika rukuk dan ketika bangun darinya ?. Maka dijawab Imam Abu Hanifah : Kerana tidak ada suatu pun yang sahih daripada Nabi S.A.W menceritakan tentangnya. Maka jawab Al-Awza’i bagaimanakah boleh sedemikian bukankah Az-zuhri meriwayatkan :

عَنِ الزُّهْرِىِّ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِىَ مَنْكِبَيْهِ وَقَبْلَ أَنْ يَرْكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنَ الرُّكُوعِ وَلاَ يَرْفَعُهُمَا بَيْنَ السَّجْدَتَيْنِ.

Nabi S.a.w mengangkat kedua tangannya selari dengan bahunya ketika memulakan solat, ketika bertakbir untuk rukuk dan ketika mengangkat kepala daripada rukuk dan tidak mengangkatnya di antara dua sujud.

Maka dijawab oleh Imam Abu Hanifah : Diceritakan kepada kami oleh Hammad daripada Ibrahim daripada Alqamah, begitu juga dari Al-Aswad daripada Ibnu Mas’ud R.A :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي الصَّلَاةِ إلَّا فِي تَكْبِيرَةِ الِافْتِتَاحِ

Sesungguhnya Nabi S.A.W tidak mengangkat tangannya di dalam solat melainkan ketika takbir iftitah.

Lantas dijawab Imam Awza’i : Aku mendatangkan kepadamu hadith yang dibawakan oleh Az-Zuhri daripada Salim daripada bapanya, kamu pula mendatangkan hadith yang diriwayatkan oleh Hammad daripada Ibrahim ?. Dijawab Imam Abu Hanifah : Hammad adalah lebih faqeh daripada Zuhri, Ibrahim adalah lebih faqeh daripada Salim, dan Alqomah tidaklah lebih rendah daripada Ibnu Umar, Seandainya Ibnu Umar mempunyai keistimewaan bersahabat dengan Nabi S.A.W maka Al-Aswad mempunyai banyak lagi kelebihan. Dan Adbullah tetap Abdullah. Maka terdiamlah Al-Awza’i.

Kuliyah bertempat :

Masjid Al-Mustaqimah, Taman Cheras Indah.

Hari & Masa

Hari sabtu selepas Maghrib, Minggu ketiga .

Kitab - JOM REFRESH IMAN

Cabang iman kelima : Beriman dengan qada’ dan qadar .

Beriman kepada Qada’ dan Qadar termasuk di dalam asas iman. Barang siapa yang menafikan ketentuan Allah samada yang baik seperti mendapat limpahan nikmat atau ketentuan yang kurang baik seperti sakit, mati atau mengalami kerugiaan maka tidak sempurna keimanannya. Firman Allah S.W.T.

أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُواْ هَـذِهِ مِنْ عِندِ اللّهِ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُواْ هَـذِهِ مِنْ عِندِكَ قُلْ كُلًّ مِّنْ عِندِ اللّهِ فَمَا لِهَـؤُلاء الْقَوْمِ لاَ يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثاً
.
Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada Dalam benteng-benteng Yang tinggi lagi kukuh. dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" ini adalah dari (sesuatu nahas) Yang ada padamu". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". maka apakah Yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?
.
Manusia diperjalankan atau diberi pilihan ?
.
Isu ini sentiasa berlegar di dalam minda setiap manusia. Sama ada kita ini diaturkan atau diberi pilihan untuk mengaturkan. Untuk mengetahui manusia ini sama ada diaturkan atau diberikan pilihan maka kita perlu melihat hakikat sebenar isu tersebut. Apakah maksud manusia sebenarnya. Manusia adalah makhluk daripada makhluk-makhluk yang Allah telah ciptakan. Bukanlah manusia ini satu-satunya makhluk ciptaan Allah. Bahkan di dalam alam ini ada makhluk-makhluk lain selain manusia yang diciptakan Allah. Secara umumnya makhluk Allah itu termasuk di dalam kategori Insan atau Jamadat atau Hayawanat atau Nabatat. Menurut Syeikh Mutawalli Asy-Sya’rawi di dalam jiwa dan diri manusia dijadikan sifat-sifat makhluk yang lain. Manusia itu jatuh seperti jamadat , membesar seperti nabatat ( tumbuh-tumbuhan ) dan bergerak seperti hayawanat ( binatang ). . Yang membezakan manusia dengan yang lain-lain adalah akal. Maka disinilah datangnya ikhtiar.
.
Bagi manusia yang mengatakan segala yang berlaku ke atas manusia adalah ketentuan Allah semata-mata adalah salah. Begitu juga mereka yang mendakwa manusia diberikan ikhtiar di dalam memilih semata-mata juga adalah salah.Kerana ada perkara yang manusia mampu memilih dan bahkan ada perkara yang manusia tidak diberikan pilihan untuk memilih. Tatkala manusia tidak diberikan pilihan maka itulah hikmah Allah kepada manusia.
.
Dalam perkara yang manusia diberikan pilihan samada memilih yang baik atau buruk, Allah S.W.T mengutuskan Para Rasul untuk mengarahkan manusia untuk melakukan sesuatu atau jangan melakukan sesuatu. Di sinilah letaknya keadilan Allah S.W.T. Tatkala manusia tidak diberikan pilihan maka Allah S.W.T telah menyediakan yang terbaik untuk manusia. Apabila manusia diberikan pilihan Allah tidak membiarkan akal manusia memilih dalam keadaan Allah mengetahui kelemahan akal manusia untuk memilih.
.
.
Kuliyah bertempat :
Masjid Ikhwaniah, Taman Cheras Utama, Bandar Tun Husien Onn.
Tarikh dan Masa :
Hari Sabtu, Selepas Subuh, setiap minggu ketiga .