Pages

Wednesday, May 30, 2012

Sebuah perjalanan...


Edisi ulang siar ( sempena Rejab )

Sekali-sekala duduk termenung dan memikir masa hadapan baik juga. Melihat kepada perjalanan yang sedang kita ada padanya. Ke mana jalan ini akan membawa kita ?. Apa yang akan ada di hujung perjalanan ini ?. Bagi yang pasti dengan jalan yang telah di pilih. Tahniah!!! bahkan jutaan tahniah. Bagi yang masih duduk termenung… Apa difikir apa direnung ?. Perjalanan ini singkat.

Dalam perjalanan yang telah dilalui ini pelbagai kenangan telah dinikmati. Pelbagai rasa dikecapi. Tetapi kalau hanya duduk memikirkan masa-masa indah itu kita tetap tidak kemana-mana. Jalan yang sedang kita berada di atasnya berjalan bersama peredaran bulan dan bintang. Kita masih disini sedangkan masa itu telah berlalu. Untuk memisahkan diri dari kenangan indah itu adalah sesuatu yang sangat memeritkan. Menyakitkan..

Ada yang asyik leka dengan kenangan indah detik pertama pertemuan. Tanpa disedari sebenarnya mereka hampir sampai di titik perpisahan. Ada yang terus dibuai mimpi tatkala impian menjadi nyata. Malam dan siang mengulang-ulang kemanisannya. Sedangkan tanpa disedari kenangan itu kini hanyalah sejarah!.

Bagi yang asyik diulit mimpi keindahan semalam. Bangunlah dari mimpi. Sebenarnya apa yang sedang kita kenang adalah racun yang sangat membinasakan. Kita akan gagal menerima kenyataan hari ini kerana kita masih berada pada hari semalam. Cuba lihat!. Waktu saya duduk di Mesir dahulu, masyarakat mesir sering mengulang-ulang kehebatan Firaun, Nabi Musa dan ketamadunan zaman silam mereka. Hello.. Itu dahulu… kini Mesir tidak seperti yang anda sedang bermimpi. Nasib baik ada yang bangun menyedarkan kita, sebenarnya mereka telah lama bermimpi.  Kini tidak ada apa pun yang boleh anda banggakan. Yang tinggal hanyalah kesan kenangan. Kesan itu bukan untuk dibanggakan tetapi agar kita menngambil pengajaran.

Berapa ramai bekas suami dan isteri yang gagal menerima penceraian mereka tatkala masih memikirkan.. kenangan berkejaran di taman bunga, duduk sebangku, minum secawan..sambil bergelak ketawa. Terimalah kenyataan hari ini dia bukan milik kita .. Ayuhlah.. Tidak pula menjadi kesalahan memikirkan kenangan indah itu untuk menjadi penguat.. Tetapi biarkan kenangan itu tetap kenangan. Jangan hadirkan kenangan itu pada waktu ini.. ( bacalah tajuk2 berkaitan lupa dalam siri2 sebelumnya )

Jalan yang sedang kita lalui ini ada penghujungnya. Maka alihkan perhatian dari jalan yang telah dilalui kepada yang bakal kita lalui. Guna kesempatan waktu berada di tempat henti sekarang untuk menikmati seadanya, berehat seadanya, mengumpul bekalan sebanyaknya.. kerana kita akan meneruskan perjalanan. Esok kita akan berjalan lagi, dengan pemandangan yang baru dan dengan matlamat yang baru, dengan teman yang baru, dengan semangat yang baru dan dengan maslah yang baru.  Bangunlah dari hanya menceritakan tentang hari semalam dan merancanglah yang terbaik untuk di hujung perjalanan.

Sempena sambutan bulan Rejab dan ketibaan Syaaban dan paling dirindui Ramadhan. Hayatilah perjalanan Kisah Isra’ dan Mikraj baginda S.A.W. kerana perjalanan itu adalah perjalanan semalam tetapi gambaran masa hadapan. Gambaran tentang apa yang ada dihujung perjalanan ini. Gambaran tentang tempat kediaman yang abadi.

Salam sayang untuk semua!!!

Cabang Iman ke 36 : Kerhormatan diri dan larangan berlaku jenayah ke atasnya.



Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadaNya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. 

Kehormatan jiwa ini termasuk di dalam perbahasan Maqasid Syariah. Walau pun pada asasnya kalimah مقاصد الشرعية  tidak disebutkan di dalam kitab-kitab Turath dan ulamak-ulamak mutaqaddimin tetapi maksud dan matlamat yang terkandung di dalam ilmu مقاصد الشرعية  . Antara contoh ulamak yang menjurus membahaskan ilmu Maqasid adalah :

1. Imam Al-Haramain, Abu Ma’ali Abdul Malek bin Abdullah Al-Juwaini.
2. Abu Isahk Asy-Syatibi.
3. Muhammad Ath-Thohir ibn ‘Asyur.

Ini adalah sebahagian dari mereka, bahkan sebelum dari mereka ramai juga yang membahaskan tentang ilmu Maqasid secara tidak langsung. Perbahasan asas مقاصد الشرعية  adalah :
- Daruriyat
- Hajiat
- Tahsiniat.
-
Manakala ulamak telah menyusun Darurat itu kepada 5 Asas :
- Agama
- Jiwa
- Keturunan
- Akal
- Harta
Asas ini adalah asas kulli semenjak zaman Imam Ghazali sehinggalah ke hari ini.  Imam Al-juwaini menyatakan 

فالشريعة متضمنها مأمور به، ومنهي عنه، ومباح.
فأما المأمور به : فمعظمه العبادات... وأما المنهيات فأثبت الشرع في الموبقات منها زواجر...وبالجملة: الدم معصوم بالقصاص...والفروج معصومة بالحدود...والأموال معصومة عن السراق بالقطع... 

Syariah terkandung di dalamnya benda yang di arahkan, benda yang dilarang dan benda yang harus. Maka, yang diarahkan : Sebahagian besarnya adalah Ibadat. Manakala yang dilarang ditegaskan oleh syara’ kepada benda-benda yang membinasakan..di antaranya larangan-larangan Sebagai kesimpulannya.. Jiwa terpelihara dengan Qisas, kehormatan terpelihara dengan hudud, harta terpelihara dengan hukumam potong tangan..
Menjaga agama dengan Ibadat
Menjaga jiwa dengan Qisas
Menjaga keturunan dengan hudud zina dan qazaf.
Menjaga harta dengan hudud potong tangan
Menjaga akal dengan hudud peminum arak

Memahami Maqasid Syariah akan melihat kerahmatan Allah di dalam Hukum. Sebagai contohnya :
Muamalat di haruskan di dalam Islam bagi tujuan memenuhi darurat keperluan manusia. Haram hukumnya untuk menyorokan barangan. Begitu juga haram menjalankan riba.

المصلحة العامة مقدمة على المصلحة الخاصة

Maslahah umum perlu diutamakn berbanding maslahah individu.
Setiap hukum mempunyai ’illah, maslahah, hikmah dan bertujuan untuk kesejahteraan kita. – Jumhur Ulamak Fiqh, Usul, Hadith, Tafsir dan lain-lain.

Wujudnya syariat Islam bertujuan untuk menjamin keselamatan nyawa dan anggota tubuh badan manusia. Oleh itu, setiap individu diwajibkan untuk menjaga keselamatan diri masing-masing daripada segala jenis ancaman. Islam melarang keras perbuatan-perbuatan yang boleh mengancam keselamatan nyawa diri sendiri mahupun orang lain. Islam memuliakan nyawa seseorang dan menganggap bahawa menghilangkan nyawa seseorang adalah kejahatan besar yang sama dengan menghilangkan seluruh nyawa manusia. Firman Allah:


32. Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) Yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa Yang membunuh seorang manusia Dengan tiada alasan Yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah Dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa Yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah Dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. dan Demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami Dengan membawa keterangan Yang cukup terang; Kemudian, Sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang Yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi. 

Seperti yang kita ketahui, Islam menjaga jiwa seseorang dengan memberikan ancaman hukuman qisas bagi seorang yang menghilangkan nyawa seseorang. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas. Firman Allah:


“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu (melaksanakan) qisas  berkenaan dengan orang yang dibunuh.  

Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melakukannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan atau dilukakan. Sebagai contohnya:

1)      Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa)

2)      Melukakan dibalas dengan melukakan

3)      Mencederakan dibalas dengan mencederakan

Selain itu, Islam juga melarang seseorang yang tidak menghargai nyawanya. Contohnya, perbuatan membunuh diri. Allah telah berfirman yang bermaksud:

janganlah kamu membunuh jiwa kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. 
Walau apapun alasan dan caranya, membunuh diri hukumnya haram dan perbuatan ini tergolong dalam perbuatan syirik. Orang yang melakukan syirik tidah akan diampuni dosanya oleh Allah, bahkan akan kekal di seksa dalam api neraka. 

Cabang Iman ke-35 : Melaksanakan Amanah


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. 

Rasulullah memberi gambaran dan ancaman tatkala manusia mencuaikan amanah. Sabda baginda S.A.W ;

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ بَيْنَمَا النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - فِى مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِىٌّ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يُحَدِّثُ ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ ، فَكَرِهَ مَا قَالَ ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ ، حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ « أَيْنَ - أُرَاهُ - السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ » . قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ « فَإِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ » . قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ « إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ »

Daripada Abu Hurairah R.A, sedang Nabi S.A.W menyampaikan pengajaran datang seorang badwi bertanyakan soalan : Bilakah berlakunya kiamat ?. Akan tetapi Rasulullah S.A.W meneruskan pengajaran. Ada sebahagian para sahabat mengatakan Rasulullah mendengari perkataannya dan tidak menyukainya. Bahkan sebahagian yang lain mengatakan Rasulullah tidak mendengarinya. Sehinggalah Rasulullah S.A.W menyelesaikan pengajarannya. Baginda lantas bersabda : Di mana dia orang yang bertannya tetang hari kiamat ?. lelaki itu lantas berkata : Akulah orangnya ya rasulullah. Baginda bersabda : Apabila amanah dicuaikan tunggulah kedatangan kiamat. Lantas lelaki itu bertanya lagi. Bagaimana amanah itu dicuaikan?. Rasulullah menjawab : Apabila sesuatu perkara disandarkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah ketibaan kiamat. 

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan.

Para ulamak berselisih pendapat berkaitan dengan tafsiran ayat ini.

i. Ada yang berpandangan bahawa Allah S.W.T menawarkan ketataan dan kefardhuan-kefardhuannya ke atas bumi, langit dan  gunung-ganang. Seandainya mereka berbuat kebaikan dan kebajikan akan diberikan ganjarannya kepada mereka. Seandainya mereka berbuat dosa dan maksiat, maka mereka akan diazab. Lantas mereka menolaknya. Lantas tugas tersebut diambil dan dipukul oleh manusia. Manusia itu zalim dan jahil akan hakikat sebenarnya.

ii. Ada pendapat yang menyebutkan setelah ditawarkan kepada bumi, langit dan gunung ganang mereka menolaknya maka ditawarkan kepada Nabi Adam. Lantas Nabi Adam menerimanya. Tidaklah Nabi Adam itu kekal di dalmnya melainkan di antara zuhur dan asar.

iii. Menurut Qatadah yang dimaksudkan adalah perihal agama, kefardhuan dan hudud.

iv. Sebahagian darinya mengatakan amanah yang dimaksudkan adalah amanah-amanah manusia.

Manakala berkaitan dengan ayat   إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولا:

i. Manusia itu zalim dengan dirinya dan tidak mengetahui apa yang dipikulnya di antara Allah dan dirinya. 

ii. Zalim terhadap amanah dan jahil tentang hak-haknya.

iii. Manusia itu lalai dari suruhan Allah. Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الإنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ (6) الَّذِي خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ (7) فِي أَيِّ صُورَةٍ مَا شَاءَ رَكَّبَكَ (8)

6. Wahai manusia! apakah Yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? -

7. Tuhan Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan Yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan Dengan kekuatannya;

8. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja Yang dikehendakiNya, ia menyusun kejadianmu. 
Sabda Baginda S.A.W di dalam hadith yang lain :

اضْمَنُوا لِى سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنُ لَكُمُ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ. أخرجه أحمد وابن حبان والحاكم عن عبادة بن الصامت رضي الله عنه

Berikan kepadaku jaminan tentang enam perkara, Aku member jaminan syurga terhadapmu. Bercakap benarlah ketika berkata-kata, tunaikan janji tatkala berjanji, laksanakan amanah, pelihara kemaluan, tundukan pandangan dan peliharalah tanganmu.

SALAH GUNA KUASA DAN KEADAAN RASUAH DI DALAM UNDANG-UNDANG.

Termasuk di dalam bab ini, segala yang memandu manusia dengan imannya di dalam bab ibadat, hukum-hukum, hak terhadap keluarga, amanah terhadap jawatan dan sebagainya. Sebagai seorang individu perlu menyempurnakan amanah dirinya, seorang peniaga perlu menjaga dan memberikan amanah kepada yang berhak, sebagai seorang pemimpin perlu menyampaikan amanah kepada yang dipimpinnya. Pecah amanah ialah melanggar amanah yang diberikan atau dipikul dan dengan sebab perlanggaran ini menyebabkan berlaku tindakan yang prejudis atau merugikan kepada pihak atau orang lain. Perbuatan rasuah dan pecah amanah adalah berkait antara satu sama lain dan lazimnya seseorang yang dituduh atas kesalahan rasuah turut juga dituduh melakukan pecah amanah. Ini adalah kerana rasuah melibatkan elemen pecah amanah. Selalunya seorang pengarah yang pecah amanah akan terlibat dalam amalan rasuah begitulah sebaliknya di mana pemberian atau penerimaan rasuah adalah disebabkan seseorang itu telah tidak memegang amanah yang diberikan kepadanya. 

Peruntukan undang-undang berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan amanah boleh didapati dalam Kanun Keseksaan dalam Seksyen 405 hinggalah 409. Selain daripada itu, ada peruntukan lain yang melibatkan penyalahgunaan harta syarikat, iaitu di bawah Seksyen 403. Mengikut statistik jenayah 2006, pecah amanah berada di tangga yang kedua dengan jumlah kes sebanyak 1,498 selepas kes tipu dengan jumlah kes yang tertinggi iaitu 3,694 .

Kita tengoklah laporan audit yang dikeluarkan baru-baru ini yang menyatakan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) telah membelanjakan lebih daripada RM5.66 juta untuk membeli 23 ekor kuda baka khas. Adalah difahamkan juga bahawa kuda-kuda berbaka yang dibeli oleh MSN itu kesemuanya telah dibayar melebihi harga pasaran. Sementara dalam laporan audit yang seterusnya turut mendedahkan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) yang membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810 peratus di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan kajian lautan yang langsungnya tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat.

Selain daripada itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dipertanggungjawabkan untuk membela nasib orang-orang Melayu dan kaum bumiputra yang lain telah membelanjakan lebih daripada RM54 juta untuk membeli pelbagai peralatan dan peralatan yang kebanyakannya langsung tidak mempunyai kaitan dengan usaha-unsaha jabatan tersebut untuk membantu masyarakat Melayu yang miskin dan daif. Dan jika kita meneliti laporan audit tersebut seterusnya, kita akan dapati lebih banyak jabatan-jabatan kerajaan yang asyik berbelanja besar ke atas pembelian dan perolehan barangan, peralatan dan bahan-bahan yang langsung tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat jelata.

Dalam pada itu, banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau lebih dikenali sebagai GLC turut mengalami kerugian yang berterusan dan ianya berlaku pada setiap tahun. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta). Hasil dari fakta-fakta di atas, wang rakyat dibazirkan dengan sewenang-wenangnya.


Cabang Iman ke-34 : Menjaga lidah dari perkara yang tidak sewajarnya.


Perkara yang utama di dalam bab ini adalah menyatakan perkara yang benar dan menjauhkan dari perkara yang dusta. Sama ada dusta dengan Allah, Nabinya, Ibu bapanya, masyarakatnya dan seluruhya. Penipuan dengan sumpah adalah lebih teruk dari penipuan yang tidak diiringi sumpah. Pada kuliyah yang lalu kita telah membahaskan tentang pujian Allah terhadap individu yang memenuhi janjinya. Antaranya firman Allah :

Di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada Yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Di dalam hadith baginda S.A.W, menyebutkan bagaimana kisah dan perangai golongan munafiq yang memberikan helah untuk tidak berjuang dengan Nabi S.A.W. Apabila Baginda S.A.W kembali dengan kemenangan mereka menemui Rasulullah dengan seribu alasa. Mereka suka dipuji-puji seolah-olah mereka turut serta dengan perjuangan itu.

Jangan sekali-kali Engkau menyangka (Wahai Muhammad, bahawa) orang-orang Yang bergembira Dengan apa Yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji Dengan apa Yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali Engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab Yang tidak terperi sakitnya. .

Disebutkan di dalam sebuah Hadith, Saidina Abu Bakar berkhutbah. Dengan tidak semena-mena beliau menangis. Katanya : “Rasulullah S.A.W bersabda :

قام النبي صلى الله عليه وسلم عام أول مقامي هذا ثم بكى أبو بكر ثم قال : عليكم بالصدق فإنه مع البر وهما في الجنة وإياكم والكذب فإنه مع الفجور وهما في النار وسلوا الله المعافاة فإنه لم يؤت بعد اليقين خير من المعافاة ولا تقاطعوا ولا تدابروا ولا تحاسدوا ولا تباغضوا وكونوا عباد الله إخوانا

Nabi berkata, ‘Berlaku jujurlah kalian! Karena sesungguhnya kejujuran akan diiringi oleh kebaikan dan keduanya akan membawa ke  syurga. Jauhilah dusta! Kerana dusta akan membawa kepada kemaksiatan dan keduanya membawa ke neraka. Mintalah kepada Allah perlindungan, kerana sesungguhnya tidak ada kurnia yang lebih baik, setelah keimanan daripada perlindungan dari Allah. Janganlah kalian saling memboikot, saling tidak memperdulikan dan janganlah kalian saling mendengki dan membenci. Jadilah kalian wahai hamba-hamba Allah orang-orang yang bersaudara.

Sabda Baginda S.A.W lagi :

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ” كفى بالمرء كذباً أن يتحدّث بكل ما سمع

Dari Abu Hurairah R.A,sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda: "Cukuplah seseorang itu dikatakan sebagai pendusta ketika dia menyampaikan setiap apa yang dia dengarkan."

Manusia yang paling baik berdasarkan Hadith Nabi S.A.W adalah :

كل مخموم القلب صدوق اللسان, قالوا: صدوق اللسان نعرفه: فما مخموم القلب؟ قال: التقي النقي الذي لا إثم فيه ولا بغى ولا غل ولا حسد.

Setiap hati yang bersih, jujur lidahnya, Mereka berkata: Kami mengetahui orang yang jujur lidahnya: apa yang disebut dengan hati yang bersih? Beliau menjawab: Hati yang bertaqwa, suci, yang tidak ada dosa di dalamnya, tidak ada aniaya, iri dan dengki




Wahai Anakku -ep 12


Wahai anakku yang tercinta

Aku akan menasihati engkau dengan 8 perkara, maka terimalah nasihatku ini supaya ilmu yang ada pada dirimu itu tidak akan menjadi hujjah untuk kemudharatan engkau pada hari kiamat nanti. Empat perkara engkau mesti tinggalkan dan empat perkara lagi mesti engkau laksanakan. Adapun empat  perkara yang mesti engkau tinggalkan iaitu;

Perkara Pertama

Berusahalah sedaya upaya mu supaya tidak bertengkar dengan seseorang pada apa jua masalah kerana pertengkaran itu mengandungi bermacam-macam penyakit. Dosanya jauh lebih besar daripada faedahya. Pertengkaran itu punca kepada segala perangai yang jahat seperti riak, hasad, takbur, dengki, permusuhan dan merasa bangga dengan kemampuan diri sendiri dan lain-lain lagi.

Perkara kedua

Perkara kedua yang seharusnya kamu tinggalkan adalah berhati-hati dan berwaspada di dalam menjadi penasihat dan pemberi ingatan. Hal ini kerana bencananya sangat besar, melainkan kamu melakukan apa yang kamu katakan terlebih dahulu. Kemudian nasihatilah manusia.

Perkara Ketiga:

Janganlah anda bergaul dengan pemimpin-pemimpin dan raja-raja yang zalim dan lalai. Janganlah memandang ke arah mereka. Hal ini kerana, mengkagumi kemegahan hidup mereka dan duduk dalam majlis bersama mereka merupakan penyakit yang amat kronik.Seandainya anda dipaksa atau terpaksa berada bersama mereka janganlah anda memuji dan menyanjung mereka. Allah sangat murka apabila orang yang zalim dan fasiq dipuji dan disanjung. Apabila seseorang itu mendoakan pemimpin-pemimpin dan raja-raja yang zalim itu panjang umur bermakna ia telah rela maksiat berleluasa di muka bumi Allah SWT.

Perkara Keempat:

Janganlah anda menerima sebarang pemberian para umara` yang zalim itu dan usaha sekali-kali menerima hadiah daripada mereka walaupun anda mengetahui bahawa hadiah dan pemberian itu dari sumber yang halal sekalipun. Lantaran sifat tamak dan ghairahmu untuk menerima hadiah dan habuan daripada mereka akan merosakkan agama dan akhlakmu dan akan lahir sifat berpura-pura dirimu kerana meraikan kedurjanaan mereka. Anda seolah-olah menyetujui kezaliman mereka. Ia merupakan antara perkara yang merosakkan agama. Apabila anda menerima pemberian mereka dan mengambil manfaat dari kedudukan mereka, bermakna anda telah mencintai mereka.

Justeru itu sesiapa yang menyukai seseorang yang zalim, bermakna dia akan mengharapkan supaya sianu itu panjang umur dan kekuasaannya terus kekal dan anda mendapat habuan daripadanya. Ini bermakna anda menghendaki kerosakan dan kezaliman terus berleluasa diatas bumi Allah ke atas makhluk-makhlukNya yang lemah. Inilah kerosakan yang tiada tandingannya lagi. Anak-anakku! Janganlah engkau terpedaya dengan godaan syaitan yang menyatakan ,” Bahawa yang lebih baik dan yang lebih utama bahawa anda ambil sahaja wang dinar dan dirham daripada mereka lalu anda bahagikan kepada fakir miskin. Kalau tidak nanti pemerintah yang zalim akan membelanjakannya wang itu untuk berbuat kefasikan dan kezaliman. Jadi lebih baik anda mengambil wang itu lalu disedekahkan atau bahagikan kepada orang-orang yang lemah.” Janganlah anda tertipu dengan perkataan seperti itu kerana sebenarnya syaitan telah banyak menjerumuskan orang dengan helah atau tipu muslihat seperti ini. Dan hal ini telah kami jelaskan dengan terperinci didalam kitab kami `Ihya` ‘Ulum al’Din.Wajarlah anda merujuk kedalamnya.(Persoalan ini dibahaskan dalam kitab al-Halal wa al-Haram Jilid ke2 kitab tersebut).

Wahai Anakku - ep 11


Wahai Anakku

Perkara kedua yang seharusnya kamu tinggalkan adalah berhati-hati dan berwaspada di dalam menjadi penasihat dan pemberi ingatan. Hal ini kerana bencananya sangat besar, melainkan kamu melakukan apa yang kamu katakan terlebih dahulu. Kemudian nasihatilah manusia. Fikirkanlah apa yang dikatakan kepada Nabi Isa A.S :
يا ابن مريم عظ نفسك. فإن اتعظت فعظالناس. وإلا فاستح من ربك

Wahai Anak Maryam nasihatilah dirimu, seandainya kamu mapu mengambil I’tibar darinya maka nasihatilah manusia. Jika tidak, malulah kepada Allah.

Seandainya kamu diuji dengan pekerjaan ini. Behati-hatilah daripada dua perkara :

1. Memberat-beratkan kata-kata dengan ibarat-ibarat, perumpamaan-perumpamaan, kita-kata yang sukar difahami, syair-syair dan seumpamanya. Hal ini kerana Allah benci terhadap orang yang membebankan. Mereka yang membebankan adalah mereka yang melampaui had Allah. Membawa kepada keruntuhan batin dan kelalaian hati. Maksud memberi peringatan adalah : Manusia mengingati azab akhirat. Mematahkan nafsunya daripada khidmat kepada makhluk. Dia sentiasa memikirkan masa lampaunya di mana dia habiskan dalam perkara yang langsung tidak bermanfaat. Dia juga memikirkan tentang akibat di kemudian hari apabila imannya tidak dapat diselamatkan. Bagaimana keadaan dirinya tatkala disentap malaikat maut. Adakah dia berupaya menjawab soalan mungkar dan nakir. Dia lebih mengutamkan keadaanya di kemudian hari dan kecelakaanya. Adakah dia akan mampu menyeberangi titian sirat dengan selamat atau tercampak ke dalam hawiyah ?.

Perkara ini akan terus terngiang-ngiang di dalam hatinya. Mengganggunya dari tempat selesanya. Berhadapan dengan segala musibah inilah disebut sebagai peringatan. Mengingatkan manusia dan menyedarkan mereka terhadap perkara-perkara ini. Mengingatkan mereka dari mencuaikannya dan tidak melampau-lampau dengannya. Mencerahkan mereka dengan keaiban diri mereka sehingga merasakan kepanasan api neraka yang membara. Menyentap mereka sehingga mereka berusaha untuk menampung hari-hari yang telah berlalu. Menyesali hari-hari yang kosong dari ketaatan kepada Allah. 

Kesemua ini dengan segala kaedahnya disebut sebagai nasihat. Seperti kamu melihat banjir besar akan meranapkan rumah seseorang. Dia dan seluruh ahli keluarganya berada di dalam rumah tersebut. Kamu akan katakan : Bahaya, bahaya.. larilah dari banjir yang sedang datang!!!. Atau kamu ketika itu masih ghairah untuk menceritakan pendongengan kamu dengan ibarat-ibarat, perumpamaan-perumpaan, perbahasan-perbahasan dan seumpamanya ?. Kamu sesekali tidak akan ghairah tentang itu. Maka itulah keadaan seorang penasihat dan pemberi peringatan yang seharusnya kamu tinggalkan. 

2. Bukan juga niat kamu di dalam memberi peringatan kepada manusia supaya mereka berlari datang ke majlismu dan menjadikan kemahsyuran. Sehingga dikatakan : Inilah majlis pengajian terbaik. Hal ini kerana semua itu cenderung kepada dunia. Ia lahir dari kelalaian. Bahkan jadikan majlis pengajianmu menyeru manusia menggalkan dunia menuju ke akhirat. Dari kamaksiatan kepada ketaatan. Dari ketamakan kepada kezuhudan. Dari bakhil kepada pemurah. Dari ghurur kepada taqwa. Kamu meletakkan kecintaan akhirat di dalam hati mereka. Kamu menanamkam kebencian dunia kepada mereka. Kamu mendidik mereka dengan ilmu ibadah dan zuhud. Kerana kebiasaan tabiat itu tergelincir dari jalan syariat. Berjalan di dalam ketidak redhaan Allah. Sibuk dengan akhlak yang buruk. Campakkan di dalam hati mereka perasaan gentar. Ingatkan mereka. Berilah kesedaran mereka terhadap kegerunan hari yang mendatang. Mudah-mudahan sifat hati mereka berubah. Interaksi zahir mereka juga bertukar. Mengambarkan mereka tamak dan haloba terhadap ibadah dan berpaling dari kemaksiatan. Inilah dia kaedah peringatan dan nasihat. 


Wahai Anakku ep-10


Wahai anakku yang tercinta,

Aku akan menasihati engkau dengan 8 perkara, maka terimalah nasihatku ini supaya ilmu yang ada pada dirimu itu tidak akan menjadi hujjah untuk kemudharatan engkau pada hari kiamat nanti. Empat perkara engkau mesti tinggalkan dan empat perkara lagi mesti engkau laksanakan. Adapun empat  perkara yang mesti engkau tinggalkan iaitu;

Perkara Pertama

Berusahalah sedaya upaya mu supaya tidak bertengkar dengan seseorang pada apa jua masalah kerana pertengkaran itu mengandungi bermacam-macam penyakit. Dosanya jauh lebih besar daripada faedahya. Pertengkaran itu punca kepada segala perangai yang jahat seperti riak, hasad, takbur, dengki, permusuhan dan merasa bangga dengan kemampuan diri sendiri dan lain-lain lagi.

Jikalau engkau terheret pada suatu hari dalam kancah pertengkaran antara engkau dengan orang lain, atau dengan sekumpulan orang dan adalah niat yang ada dihatimu untuk menzahirkan kebenaran, maka disana ada 2 tanda;

1) Bahawa engkau tidak membezakan samada kebenaran itu nanti tersingkap melalui lidahmu atau lidah orang lain daripadamu. Bahkan engkau lebih mengharapkan kebenaran itu tersingkap melalui lidah musuhmu, kerana itu lebih mudah untuk diterimanya.  Hal ini kerana menerima dari pandangannya sendiri lebih mudah daripada menerima pandanganmu.

2) Bahawa perbahasan itu lebih disukai seandainya dilaksanakan ditempat yang tertutup daripada tempat yang dihadiri oleh orang ramai. Hal ini kerana seandainya engkau mengetahui pada masalah itu kebenaran berada pada tanganmu maka sudah pasti akan memalukannya takala hujah-hujahnya dimatikan. Maka berhati-hatilah daripada mengemukakan hujahmu tinggalkanlah perbalahan itu kerana ia akan membawa kepada kerosakan. 

Dan dalam hal ini, ada satu faedah yang perlu aku mengingatkannya akan engkau, iaitu; Ketahuilah bahawasanya menimbulkan satu kemusykilan pada suatu masalah itu, sama halnya dengan menunjukkan penyakit hati pada seorang doktor. Dan jawapan yang akan diberikan kepada kemusykilan tersebut sama pula halnya dengan usaha yang dibuat untuk menyembuhkan penyakit hati itu.
Dan ketahuilah bahawasanya orang yang jahil itu ialah orang yang sakit hatinya dan para ulama adalah sebagi doktor yang pandai mengubati. Dan orang yang alim tetapi belum sempurna ilmunya atau doktor yang bukan pakar tidak layak melaksanakan perubatan. Bahkan seorang yang alim yang telah sempurna ilmunya belum tentu dia mahu mengubati semua orang yang sakit. Mereka hanya mengubati pesakit yang diharapkan boleh sembuh atau yang dapat diubati.

Jika seandainya penyakit itu sangat kritikal atau memang sudah tidak ada jalan untuk diubati, maka kepandaian seorang doktor itu bahawa ia berkata; "Orang ini sudah tidak dapat diubati". Maka doktor pun sudah tidak mahu membuang masa untuk mengubatinya, kerana mengubati pesakit seperti ini samalah halnya dengan membuang masa sahaja.

Kemudian ketauilah pula bahawasanya penyakit jahil itu terbahagi kepada empat perkara. Satu perkara sahaja yang boleh diubati dan tiga yang baki lagi sudah tidak boleh diubati.

i- Orang jahil yang bertanya dan menimbulkan masalah kerana di dorong oleh sifat hasad ataupun marah. Seandainya engkau menjawab persoalannya dengan sebarang jawapan yang terang dan jelas, tidak akan menambah apa-apa baginya melainkan perasaan hasad, permusuhan dan kebencian.Sewajarnya engkau meninggalkan dari menjawab persoalan-persoalannya.


Setiap permusuhan ada harapan menghindarinya

Melainkan permusuhan yang dilahirkan oleh perasaan hasad.

Cara berinteraksi dengannya adalah dengan meninggalkannya dengan penyakitnya dan berpaling daripadanya. Firman Allah :

Maka berpalinglah engkau daripada mereka yang telah memalingkan mukanya dari mengingati kami, dan dia sebenarnya tidak menghendaki kecuali kesenangan hidup dalam dunia ini.

Seandainya engkau berusaha untuk mengubatinya, maka ibaratnya engkau menyalakan lagi perasaan hasadnya. Api hasad ini akan memakan segala kebaikan yang ada. Seperti sabda Nabi S.A.W.
الحسد يأكل الحسنات كما تأكل النار الحطب
Sifat Hasad akan memakan kebaikan seperti apa membakar kayu api.

ii- Kejahilan itu berasal dari kebodohannya. Penyakit seperti ini pun tidak boleh dirawat. seperti sabda Nabi Isa a.s

: "Aku tidak lemah daripada menghidupkan orang yang telah mati, tapi aku tidak akan berjaya mengubati orang yang bodoh".

Mereka adalah golongan yang baru belajar sehari dua, dan membaca sehelai dua. Langsung tidak memahiri bidang ilmu logik mahupun syara'sebenarnya. Dalam keadaan itu mereka berdebat dengan para ulamak yang muktabar yang menghabiskan sebahagian umur mereka di dalam menuntut dan mendalami ilmu. Mereka tidak mengetahui perbuatan perbalahan di antara seorang penuntut kecil dengan seorang ulamak yang tinggi kedudukannya tidak akan berlaku melainkan kerana kejahilan si penuntut kecil tadi. Hal ini kerana kejahilannya untuk mengetahui kedudukannya dan kedudukan Tuan Guru yang alim tadi. Maka tinggalkanlah persoalan dari mereka dan berpalinglah dari mereka.

iii- Orang yang bertanya itu memang mengkehendaki petunjuk dan hidayah. Tetapi dia bukanlah golonngan yang berkeupayaan memahami perbahasan para ulamak muktabar kerana kelemahan kefahamannya. Tujuan pertanyaannya hanya sekadar untuk mengambil manfaat dari isu-isu dan persoalan-persoalan rumit yang langsung tidak mampu difahaminya kerana kedengkelan pemahamannya. Orang yang seperti ini masih jahil dan belum layak untuk memahami perkara-perkara yang dalam-dalam. Maka soalan-soalan yang seperti ini tidak perlu di jawab.

Rasulullah SAW bersabda;

نحن معاشر الأنبياء امرنا أن نكلم الناس على قدر عقولهم
"Kami para nabi disuruh berinteraksi kepada sekalian manusia mengikut kadar akal mereka"

iv- Dia merupakan seorang yang mencari kebenaran, cerdik, bijaksana dan berakal. Dia jauh dari kongkongan syahwat, kebencian, hasad dan cintakan harta dan jawatan. Bahkan sentiasa mencari jalan kebenaran. Penyakit ini boleh dirawat. Bahkan wajib merawatnya.

Wednesday, February 1, 2012

Jom Program





Saturday, January 14, 2012

Tafsir Ayat 159-160 surah Al-Baqarah

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاعِنُونَ159 إِلا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (160)

Sesungguhnya orang-orang Yang menyembunyikan apa Yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di Dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Kecuali orang-orang Yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (Apa Yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.[1]

Ayat ini diturunkan kepada golongan Ahli kitab tatkala mereka ditanya tentang perihal Nabi S.A.W di dalam Al-Quran . Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A, Muadz bertanya kepada golonganYahudi tentang peihal Nabi S.A.W seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran. Lantas mereka menyembunyikannya. Maka turunlah ayat ini.

· الكتمان menyembunyikan sesuatu yang ingin diketahui dalam keadaan ada permintaan untuk mengetahuinya.

Apa yang diturunkan Allah adalah bertujuan sebagai penjelasan dan petunjuk kepada manusia. Seandainya apa yang diturunkan Allah disembunyikan, maka matlamat penurunan tidak terhasil dan tidak tercapai. Allah member ancaman terhadap mereka yang menyembunyikan sesuatu yang penting, apatah lagi perkara-perkara yang berkepentingan.

Firman Allah S.W.T : ما أنزلنا من البينات و الهدى , bermaksud, segala yang diturunkan oleh Allah ke atas para Nabi samada kitab-kitab, wahyu dan petunjuk-petunjuk yang memimpin akal manusia ke jalan kebenaran. Ayat ini umum termasuk semua jenis perkara yang disembunyikan sama ada perkara keduniaan atau perkara berkaitan akhirat. Kerana ibarat dikira adalah berdasarkan keumuman lafaz bukanlah keranan khusus sebab sesuatu ayat diturunkan.

Firman Allah :

إِلا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (160)

Kecuali orang-orang Yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (Apa Yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.[2]

· Taubat adalah menifastasi kepada penyesalan terhadap perbuatan yang keji. Tiada matlamat lain selain dari penyesalan kerana melakukan kekejian.

· Islah (memperbaikan ) – Kata lawan kepada fasad, iaitu merosakkan.

Ayat ini jelas menunjukan perbuatan menyembunyikan kebenaran adalah suatu jenayah yang besar. Selayaknya bagi perlakunya menerika kutukan dan jauh dari ramat Allah.

Manakala sebuah hadith Nabi S.A.W menyebutkan :

من كتم علمه جاء يوم القيامة ملجما بلجام من نار

Barangsiapa yang menyembunyikan ilmunya, dia akan dating pada hari kiamat di dalam keadaan memakai topeng dari api neraka.



[1] Al-Baqarah : 159-160

[2] Al-Baqarah : 160

Friday, January 13, 2012

Young Muslim Adventure Camp


Sunday, January 1, 2012

Wahai Annakku ep-8

Seharusnya bagi seorang yang sedang berjalan menuju kepada Allah mempunyai seorang guru Mursyid yang Murabbi untuk mengeluarkan akhlak yang buruk dari dalam jiwanya dengan tarbiyahnya. Kemudian guru mursyid yang rabbani tadi memasukan sifat-sifat yang baik menggantikan sifat-sifat yang buruk. Maksud tarbiyah itu adalah seperti seorang peladang mencabut lalang dan tumbuh-tumbuhan lain di antara tumbuh-tumbuhan yang ditanam dan dipelihara. Proses ini bgi memastikan tumbuh-tumbuhan tersebut dapat hidup subur dan membesar.

Wajib bagi seorang salik memerlukan guru mengajarkannya adab dan membimbingnya ke jalan Allah. Allah mengutuskan bagi hambanya utusan untuk membimbing manusia ke jalannya. Apabila baginda S.A.W berlalu pergi maka tempat baginda digantikan oleh khulafa’ ar-rasyidin.

Syarat bagi guru yang membimbing dan memberikan tunjuk ajar, beliau mestilah menjadi pengganti kepada Rasulullah S.A.W . mempunyai keilmuan, tetapi bukanlah keilmuan itu syarat utama untuk menjadi khalifah. Aku menjelaskan sebahagian dari cirri-cirinya secara umum untuk mengelakan semua orang mendakwa dia adalah Mursyid.

1. Barang siapa yang menyampingkan cinta kepada dunia dan cinta kepada jawatan maka dia mengikut jalan Nabi S.A.W.

2. Sentiasa melatih dirinya dengan sedikit makan , cakap, tidur, memperbanyakan solat, sedekah dan puasa.

3. Menjadikan akhlak yang baik sebagai budaya kehidupan seperti sabar, syukur, tawakal, yakin, qona’ah, jiwa yang tenang, tawadu’, berilmu, benar, pemalu, menunaikan janji,menghormati orang dan sebagainya.

Seandainya menjumpai guru yang sedemikian maka ikutlah ia kerana dia adalah cahaya dari cahaya kenabian Muhammad S.A.W.. Tetapi guru yang sedemikian terlalu sedikit di dalam sedikit.

Perlulah bagi seorang salik menghormati gurunya luar dan dalam.

Menghormatinya secara zahir adalah dengan tidak berbalah dengannya, tidak menyibukan diri berhujah dengannya dalam setiap masalah walaupun mengetahui kesilapannya. Tidak membentangkan dihadapannya sejadah melainkan waktu solat, apabila selesai angkatlah ia. Tidak memperbanyakkan solat sunat dengan kehadirannya. Melaksanakan arahan gurunya dengan sepenuh usaha dan tenaga.

Adapun menghormatinya secara batin dengan tidak menyalahi di dalam perbuatan, perkataan, sehingga tidak digelar sebagai munafiq. Menjaga dirinya dari duduk di dalam majlis-majlis ahli-ahli suuk. Dia perlu mengurangkan kekuasan syaitan dari jin dan manusia. Dalam apa keadaan dia perlu memilih al-faqr daripada al-ghina.

Kemudian ketahuilah tasauf itu dua bahagian :

· الاستقامة مع الله تعالى.

· والسكون عن الخلق.

Barangsiapa yang istiqomah bersama Allah, diiringi akhlak yang baik dengan manusia, dan berinterkasi dengan mereka dengan al-hilm maka dialah sufi. Istiqomah itu adalah menyerahkan bahagian jiwanya untuk menunaikan suruhan Allah dan berinteraksi dengan baik kepada manusia. Tidak memaksa manusia di bawah kehendaknya tetapi memaksa dirinya mengikut kehendak manusia selagi tidak bercanggahan dengan syara’.

Kamu bertanya tentang ‘ubudiyah. ‘Ubudiyah itu 3 perkara :

  1. محافظة أمر الشرع.

  1. الرضاء بالقضاء والقدر وقسمة الله تعالى.

c. ترك رضاء نفسك في طلب رضاء الله تعالى

Wahai Anakku ep-7

5. “Ketika kupandangi makhluk yang ada di dunia ini, ternyata mereka suka saling mencela dan mengutuk satu sama lain. Penyebabnya adalah kedengkian terhadap harta, jawatan dan ilmu. Kemudian kuperhatikan firman Allah:

(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keugamaan Yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (Wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa Dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka Segala keperluan hidup mereka Dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya Yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya Yang lain. dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata Yang mereka kumpulkan. ( Az-Zukhruf )

Aku mengetahui sesungguhnya pembahagian itu adalah dari Allah semenjak azali. Maka aku tidak mendengki sesiapa. Aku meredhai dengan pembahagian Allah.

6. Ketika kupandangi makhluk yang ada di duna ini, ternyata mereka suka berbuat kedurhakaan dan berperang satu sama lain dengan sesuatu sebab atau alasan. Aku pun kembali kepada firman Allah:

6. Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka Jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

( Al-Fathir )

Oleh kerana itu aku melihat tiada sebab aku memusuhi orang lain. Kerana syaitan itulah satu-satunya musuh yang sebenar. Maka aku menjadikannya musuhku.

7. Ku melihat setiap manusia berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk memperolehi sesuap nasi dan tanggungan kehidupan. Sehingga menjerumus mereka kepada perkara yang syubhat dan haram. Mereka menghinakan diri mereka dan merendahkan kedudukan mereka. Aku memerhatikan firman Allah:


6. Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk Yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah Yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. semuanya itu tersurat di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yang nyata (kepada malaikat-malaikat Yang berkenaan). ( Hud )

Aku termasuk binatang melata yang rezekinya da pada Allah. Oleh itu aku menyibukkan diri dengan ibadah kerana ia menjadi hak aku kepada Allah dan kutinggalkan apa yang menjadi hak Allah pada diriku”

8. Aku melihat makhluk yang ada di dunia ini, aku melihat masing-masing menggantungkan diri pada makhluk lain. Yang satu pada benda yang dicintainya, yang lain pada perniagaannya, dan perusahaannya, atau pada kesihatan tubuhnya. Masing-masing bergantung pada benda. Lalu aku kembali pada firman Allah:


…dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),

3. Serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. ( Ath-Thalaq )

Kerana itu akupun bertawakkal kepada Allah, ternyata Allah mencukupi keperluanku”

Jawab gurunya Syaqiq: "Sesungguhnya aku lihat di dalam Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran. Dan inilah intipati kitab samawi yang empat ini. Siapa beramal dengan lapan masalah itu, nescaya dia beramal dengan keempat-empat kitab".