Pages

Wednesday, May 30, 2012

Cabang Iman ke-35 : Melaksanakan Amanah


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. 

Rasulullah memberi gambaran dan ancaman tatkala manusia mencuaikan amanah. Sabda baginda S.A.W ;

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ بَيْنَمَا النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - فِى مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِىٌّ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يُحَدِّثُ ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ ، فَكَرِهَ مَا قَالَ ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ ، حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ « أَيْنَ - أُرَاهُ - السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ » . قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ « فَإِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ » . قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ « إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ »

Daripada Abu Hurairah R.A, sedang Nabi S.A.W menyampaikan pengajaran datang seorang badwi bertanyakan soalan : Bilakah berlakunya kiamat ?. Akan tetapi Rasulullah S.A.W meneruskan pengajaran. Ada sebahagian para sahabat mengatakan Rasulullah mendengari perkataannya dan tidak menyukainya. Bahkan sebahagian yang lain mengatakan Rasulullah tidak mendengarinya. Sehinggalah Rasulullah S.A.W menyelesaikan pengajarannya. Baginda lantas bersabda : Di mana dia orang yang bertannya tetang hari kiamat ?. lelaki itu lantas berkata : Akulah orangnya ya rasulullah. Baginda bersabda : Apabila amanah dicuaikan tunggulah kedatangan kiamat. Lantas lelaki itu bertanya lagi. Bagaimana amanah itu dicuaikan?. Rasulullah menjawab : Apabila sesuatu perkara disandarkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah ketibaan kiamat. 

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan.

Para ulamak berselisih pendapat berkaitan dengan tafsiran ayat ini.

i. Ada yang berpandangan bahawa Allah S.W.T menawarkan ketataan dan kefardhuan-kefardhuannya ke atas bumi, langit dan  gunung-ganang. Seandainya mereka berbuat kebaikan dan kebajikan akan diberikan ganjarannya kepada mereka. Seandainya mereka berbuat dosa dan maksiat, maka mereka akan diazab. Lantas mereka menolaknya. Lantas tugas tersebut diambil dan dipukul oleh manusia. Manusia itu zalim dan jahil akan hakikat sebenarnya.

ii. Ada pendapat yang menyebutkan setelah ditawarkan kepada bumi, langit dan gunung ganang mereka menolaknya maka ditawarkan kepada Nabi Adam. Lantas Nabi Adam menerimanya. Tidaklah Nabi Adam itu kekal di dalmnya melainkan di antara zuhur dan asar.

iii. Menurut Qatadah yang dimaksudkan adalah perihal agama, kefardhuan dan hudud.

iv. Sebahagian darinya mengatakan amanah yang dimaksudkan adalah amanah-amanah manusia.

Manakala berkaitan dengan ayat   إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولا:

i. Manusia itu zalim dengan dirinya dan tidak mengetahui apa yang dipikulnya di antara Allah dan dirinya. 

ii. Zalim terhadap amanah dan jahil tentang hak-haknya.

iii. Manusia itu lalai dari suruhan Allah. Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الإنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ (6) الَّذِي خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ (7) فِي أَيِّ صُورَةٍ مَا شَاءَ رَكَّبَكَ (8)

6. Wahai manusia! apakah Yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? -

7. Tuhan Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan Yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan Dengan kekuatannya;

8. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja Yang dikehendakiNya, ia menyusun kejadianmu. 
Sabda Baginda S.A.W di dalam hadith yang lain :

اضْمَنُوا لِى سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنُ لَكُمُ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ. أخرجه أحمد وابن حبان والحاكم عن عبادة بن الصامت رضي الله عنه

Berikan kepadaku jaminan tentang enam perkara, Aku member jaminan syurga terhadapmu. Bercakap benarlah ketika berkata-kata, tunaikan janji tatkala berjanji, laksanakan amanah, pelihara kemaluan, tundukan pandangan dan peliharalah tanganmu.

SALAH GUNA KUASA DAN KEADAAN RASUAH DI DALAM UNDANG-UNDANG.

Termasuk di dalam bab ini, segala yang memandu manusia dengan imannya di dalam bab ibadat, hukum-hukum, hak terhadap keluarga, amanah terhadap jawatan dan sebagainya. Sebagai seorang individu perlu menyempurnakan amanah dirinya, seorang peniaga perlu menjaga dan memberikan amanah kepada yang berhak, sebagai seorang pemimpin perlu menyampaikan amanah kepada yang dipimpinnya. Pecah amanah ialah melanggar amanah yang diberikan atau dipikul dan dengan sebab perlanggaran ini menyebabkan berlaku tindakan yang prejudis atau merugikan kepada pihak atau orang lain. Perbuatan rasuah dan pecah amanah adalah berkait antara satu sama lain dan lazimnya seseorang yang dituduh atas kesalahan rasuah turut juga dituduh melakukan pecah amanah. Ini adalah kerana rasuah melibatkan elemen pecah amanah. Selalunya seorang pengarah yang pecah amanah akan terlibat dalam amalan rasuah begitulah sebaliknya di mana pemberian atau penerimaan rasuah adalah disebabkan seseorang itu telah tidak memegang amanah yang diberikan kepadanya. 

Peruntukan undang-undang berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan amanah boleh didapati dalam Kanun Keseksaan dalam Seksyen 405 hinggalah 409. Selain daripada itu, ada peruntukan lain yang melibatkan penyalahgunaan harta syarikat, iaitu di bawah Seksyen 403. Mengikut statistik jenayah 2006, pecah amanah berada di tangga yang kedua dengan jumlah kes sebanyak 1,498 selepas kes tipu dengan jumlah kes yang tertinggi iaitu 3,694 .

Kita tengoklah laporan audit yang dikeluarkan baru-baru ini yang menyatakan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) telah membelanjakan lebih daripada RM5.66 juta untuk membeli 23 ekor kuda baka khas. Adalah difahamkan juga bahawa kuda-kuda berbaka yang dibeli oleh MSN itu kesemuanya telah dibayar melebihi harga pasaran. Sementara dalam laporan audit yang seterusnya turut mendedahkan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) yang membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810 peratus di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan kajian lautan yang langsungnya tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat.

Selain daripada itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dipertanggungjawabkan untuk membela nasib orang-orang Melayu dan kaum bumiputra yang lain telah membelanjakan lebih daripada RM54 juta untuk membeli pelbagai peralatan dan peralatan yang kebanyakannya langsung tidak mempunyai kaitan dengan usaha-unsaha jabatan tersebut untuk membantu masyarakat Melayu yang miskin dan daif. Dan jika kita meneliti laporan audit tersebut seterusnya, kita akan dapati lebih banyak jabatan-jabatan kerajaan yang asyik berbelanja besar ke atas pembelian dan perolehan barangan, peralatan dan bahan-bahan yang langsung tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat jelata.

Dalam pada itu, banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau lebih dikenali sebagai GLC turut mengalami kerugian yang berterusan dan ianya berlaku pada setiap tahun. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta). Hasil dari fakta-fakta di atas, wang rakyat dibazirkan dengan sewenang-wenangnya.


0 comments:

Post a Comment