Pages

Wednesday, May 30, 2012

Wahai Anakku ep-10


Wahai anakku yang tercinta,

Aku akan menasihati engkau dengan 8 perkara, maka terimalah nasihatku ini supaya ilmu yang ada pada dirimu itu tidak akan menjadi hujjah untuk kemudharatan engkau pada hari kiamat nanti. Empat perkara engkau mesti tinggalkan dan empat perkara lagi mesti engkau laksanakan. Adapun empat  perkara yang mesti engkau tinggalkan iaitu;

Perkara Pertama

Berusahalah sedaya upaya mu supaya tidak bertengkar dengan seseorang pada apa jua masalah kerana pertengkaran itu mengandungi bermacam-macam penyakit. Dosanya jauh lebih besar daripada faedahya. Pertengkaran itu punca kepada segala perangai yang jahat seperti riak, hasad, takbur, dengki, permusuhan dan merasa bangga dengan kemampuan diri sendiri dan lain-lain lagi.

Jikalau engkau terheret pada suatu hari dalam kancah pertengkaran antara engkau dengan orang lain, atau dengan sekumpulan orang dan adalah niat yang ada dihatimu untuk menzahirkan kebenaran, maka disana ada 2 tanda;

1) Bahawa engkau tidak membezakan samada kebenaran itu nanti tersingkap melalui lidahmu atau lidah orang lain daripadamu. Bahkan engkau lebih mengharapkan kebenaran itu tersingkap melalui lidah musuhmu, kerana itu lebih mudah untuk diterimanya.  Hal ini kerana menerima dari pandangannya sendiri lebih mudah daripada menerima pandanganmu.

2) Bahawa perbahasan itu lebih disukai seandainya dilaksanakan ditempat yang tertutup daripada tempat yang dihadiri oleh orang ramai. Hal ini kerana seandainya engkau mengetahui pada masalah itu kebenaran berada pada tanganmu maka sudah pasti akan memalukannya takala hujah-hujahnya dimatikan. Maka berhati-hatilah daripada mengemukakan hujahmu tinggalkanlah perbalahan itu kerana ia akan membawa kepada kerosakan. 

Dan dalam hal ini, ada satu faedah yang perlu aku mengingatkannya akan engkau, iaitu; Ketahuilah bahawasanya menimbulkan satu kemusykilan pada suatu masalah itu, sama halnya dengan menunjukkan penyakit hati pada seorang doktor. Dan jawapan yang akan diberikan kepada kemusykilan tersebut sama pula halnya dengan usaha yang dibuat untuk menyembuhkan penyakit hati itu.
Dan ketahuilah bahawasanya orang yang jahil itu ialah orang yang sakit hatinya dan para ulama adalah sebagi doktor yang pandai mengubati. Dan orang yang alim tetapi belum sempurna ilmunya atau doktor yang bukan pakar tidak layak melaksanakan perubatan. Bahkan seorang yang alim yang telah sempurna ilmunya belum tentu dia mahu mengubati semua orang yang sakit. Mereka hanya mengubati pesakit yang diharapkan boleh sembuh atau yang dapat diubati.

Jika seandainya penyakit itu sangat kritikal atau memang sudah tidak ada jalan untuk diubati, maka kepandaian seorang doktor itu bahawa ia berkata; "Orang ini sudah tidak dapat diubati". Maka doktor pun sudah tidak mahu membuang masa untuk mengubatinya, kerana mengubati pesakit seperti ini samalah halnya dengan membuang masa sahaja.

Kemudian ketauilah pula bahawasanya penyakit jahil itu terbahagi kepada empat perkara. Satu perkara sahaja yang boleh diubati dan tiga yang baki lagi sudah tidak boleh diubati.

i- Orang jahil yang bertanya dan menimbulkan masalah kerana di dorong oleh sifat hasad ataupun marah. Seandainya engkau menjawab persoalannya dengan sebarang jawapan yang terang dan jelas, tidak akan menambah apa-apa baginya melainkan perasaan hasad, permusuhan dan kebencian.Sewajarnya engkau meninggalkan dari menjawab persoalan-persoalannya.


Setiap permusuhan ada harapan menghindarinya

Melainkan permusuhan yang dilahirkan oleh perasaan hasad.

Cara berinteraksi dengannya adalah dengan meninggalkannya dengan penyakitnya dan berpaling daripadanya. Firman Allah :

Maka berpalinglah engkau daripada mereka yang telah memalingkan mukanya dari mengingati kami, dan dia sebenarnya tidak menghendaki kecuali kesenangan hidup dalam dunia ini.

Seandainya engkau berusaha untuk mengubatinya, maka ibaratnya engkau menyalakan lagi perasaan hasadnya. Api hasad ini akan memakan segala kebaikan yang ada. Seperti sabda Nabi S.A.W.
الحسد يأكل الحسنات كما تأكل النار الحطب
Sifat Hasad akan memakan kebaikan seperti apa membakar kayu api.

ii- Kejahilan itu berasal dari kebodohannya. Penyakit seperti ini pun tidak boleh dirawat. seperti sabda Nabi Isa a.s

: "Aku tidak lemah daripada menghidupkan orang yang telah mati, tapi aku tidak akan berjaya mengubati orang yang bodoh".

Mereka adalah golongan yang baru belajar sehari dua, dan membaca sehelai dua. Langsung tidak memahiri bidang ilmu logik mahupun syara'sebenarnya. Dalam keadaan itu mereka berdebat dengan para ulamak yang muktabar yang menghabiskan sebahagian umur mereka di dalam menuntut dan mendalami ilmu. Mereka tidak mengetahui perbuatan perbalahan di antara seorang penuntut kecil dengan seorang ulamak yang tinggi kedudukannya tidak akan berlaku melainkan kerana kejahilan si penuntut kecil tadi. Hal ini kerana kejahilannya untuk mengetahui kedudukannya dan kedudukan Tuan Guru yang alim tadi. Maka tinggalkanlah persoalan dari mereka dan berpalinglah dari mereka.

iii- Orang yang bertanya itu memang mengkehendaki petunjuk dan hidayah. Tetapi dia bukanlah golonngan yang berkeupayaan memahami perbahasan para ulamak muktabar kerana kelemahan kefahamannya. Tujuan pertanyaannya hanya sekadar untuk mengambil manfaat dari isu-isu dan persoalan-persoalan rumit yang langsung tidak mampu difahaminya kerana kedengkelan pemahamannya. Orang yang seperti ini masih jahil dan belum layak untuk memahami perkara-perkara yang dalam-dalam. Maka soalan-soalan yang seperti ini tidak perlu di jawab.

Rasulullah SAW bersabda;

نحن معاشر الأنبياء امرنا أن نكلم الناس على قدر عقولهم
"Kami para nabi disuruh berinteraksi kepada sekalian manusia mengikut kadar akal mereka"

iv- Dia merupakan seorang yang mencari kebenaran, cerdik, bijaksana dan berakal. Dia jauh dari kongkongan syahwat, kebencian, hasad dan cintakan harta dan jawatan. Bahkan sentiasa mencari jalan kebenaran. Penyakit ini boleh dirawat. Bahkan wajib merawatnya.

0 comments:

Post a Comment