Pages

Wednesday, May 30, 2012

Wahai Anakku -ep 12


Wahai anakku yang tercinta

Aku akan menasihati engkau dengan 8 perkara, maka terimalah nasihatku ini supaya ilmu yang ada pada dirimu itu tidak akan menjadi hujjah untuk kemudharatan engkau pada hari kiamat nanti. Empat perkara engkau mesti tinggalkan dan empat perkara lagi mesti engkau laksanakan. Adapun empat  perkara yang mesti engkau tinggalkan iaitu;

Perkara Pertama

Berusahalah sedaya upaya mu supaya tidak bertengkar dengan seseorang pada apa jua masalah kerana pertengkaran itu mengandungi bermacam-macam penyakit. Dosanya jauh lebih besar daripada faedahya. Pertengkaran itu punca kepada segala perangai yang jahat seperti riak, hasad, takbur, dengki, permusuhan dan merasa bangga dengan kemampuan diri sendiri dan lain-lain lagi.

Perkara kedua

Perkara kedua yang seharusnya kamu tinggalkan adalah berhati-hati dan berwaspada di dalam menjadi penasihat dan pemberi ingatan. Hal ini kerana bencananya sangat besar, melainkan kamu melakukan apa yang kamu katakan terlebih dahulu. Kemudian nasihatilah manusia.

Perkara Ketiga:

Janganlah anda bergaul dengan pemimpin-pemimpin dan raja-raja yang zalim dan lalai. Janganlah memandang ke arah mereka. Hal ini kerana, mengkagumi kemegahan hidup mereka dan duduk dalam majlis bersama mereka merupakan penyakit yang amat kronik.Seandainya anda dipaksa atau terpaksa berada bersama mereka janganlah anda memuji dan menyanjung mereka. Allah sangat murka apabila orang yang zalim dan fasiq dipuji dan disanjung. Apabila seseorang itu mendoakan pemimpin-pemimpin dan raja-raja yang zalim itu panjang umur bermakna ia telah rela maksiat berleluasa di muka bumi Allah SWT.

Perkara Keempat:

Janganlah anda menerima sebarang pemberian para umara` yang zalim itu dan usaha sekali-kali menerima hadiah daripada mereka walaupun anda mengetahui bahawa hadiah dan pemberian itu dari sumber yang halal sekalipun. Lantaran sifat tamak dan ghairahmu untuk menerima hadiah dan habuan daripada mereka akan merosakkan agama dan akhlakmu dan akan lahir sifat berpura-pura dirimu kerana meraikan kedurjanaan mereka. Anda seolah-olah menyetujui kezaliman mereka. Ia merupakan antara perkara yang merosakkan agama. Apabila anda menerima pemberian mereka dan mengambil manfaat dari kedudukan mereka, bermakna anda telah mencintai mereka.

Justeru itu sesiapa yang menyukai seseorang yang zalim, bermakna dia akan mengharapkan supaya sianu itu panjang umur dan kekuasaannya terus kekal dan anda mendapat habuan daripadanya. Ini bermakna anda menghendaki kerosakan dan kezaliman terus berleluasa diatas bumi Allah ke atas makhluk-makhlukNya yang lemah. Inilah kerosakan yang tiada tandingannya lagi. Anak-anakku! Janganlah engkau terpedaya dengan godaan syaitan yang menyatakan ,” Bahawa yang lebih baik dan yang lebih utama bahawa anda ambil sahaja wang dinar dan dirham daripada mereka lalu anda bahagikan kepada fakir miskin. Kalau tidak nanti pemerintah yang zalim akan membelanjakannya wang itu untuk berbuat kefasikan dan kezaliman. Jadi lebih baik anda mengambil wang itu lalu disedekahkan atau bahagikan kepada orang-orang yang lemah.” Janganlah anda tertipu dengan perkataan seperti itu kerana sebenarnya syaitan telah banyak menjerumuskan orang dengan helah atau tipu muslihat seperti ini. Dan hal ini telah kami jelaskan dengan terperinci didalam kitab kami `Ihya` ‘Ulum al’Din.Wajarlah anda merujuk kedalamnya.(Persoalan ini dibahaskan dalam kitab al-Halal wa al-Haram Jilid ke2 kitab tersebut).

0 comments:

Post a Comment