Pages

Friday, May 13, 2016

Terjemahan Ayyuhal Walad 2

Seorang daripada murid al-Ghazali telah bersama-samanya selama bertahun-tahun. Dia telah berguru, menemani dan berkhidmat kepada gurunya dalam tempoh yang sangat lama. Pelbagai ilmu secara mendalam dan pengalaman spiritual telah diperolehi. Pada suatu hari dia bermonolog dalam dirinya tentang keadaanya lantas terlintas dalam fikirannya dan berkata: Aku telah membaca pelbagai ilmu. Usiaku telah ku habiskan untuk belajar dan mengumpulkannya. Sehingga kini aku tidak mengetahui ilmu yang bermanfaat bagiku dan akan menemaniku di alam kubur kelak. Aku juga tidak mengetahui manakah ilmu yang tidak bermanfaat bagiku sehingga aku harus meninggalkannya.
          Rasulullah SAW pernah berdoa:
اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بكَ مِن عِلمٍ لا ينفَعُ[1]
 Maksudnya:Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat.
Dia terus berfikir sehinggalah akhirnya memutuskan untuk menulis surat kepada gurunya al-Ghazali mengadukan kegelisahan hatinya, meminta fatwa, meminta nasihat dan doa daripadanya. Katanya: Seandainya jawapan kepada persoalanku ini terkandung dalam kitab ihya’ dan pelbagai kitab tuan yang lainnya, ketahuilah bahawa khadammu ini tidak berupaya dan tidak berkemampuan meneliti keseluruhannya. Akan tetapi, maksudku di sini adalah agar syeikh menuliskan untukku nasihat dalam beberapa lembar kertas[2] yang boleh aku bawa sepanjang hidup dan aku amalkannya.
          Kemudian al-Imam al-Ghazali menulis jawapan surat muridnya sebagaimana berikut: Ketahuilah wahai anakku dan kekasih yang dimuliakan (semoga Allah mengekalkan dirimu dalam ketaatan kepadaNya dan meneguhkan kakimu di atas jalan para kekasihNya), sesungguhnya tebaran nasihat golongan terdahulu dan terkemudian terkandung dalam Hadith-Hadith Rasulullah SAW. Jika nasihat dari baginda telah sampai kepadamu maka apakah nasihat lain yang engkau perlukan dariku ?. Jika belum sampai kepadamu (nasihat-nasihat itu) maka katakan kepadaku apa yang telah engkau perolehi selama bertahun-tahun ini daripada ilmu yang telah engkau raih?. Sementara pada saat yang sama engkau habiskan waktumu mencari ilmu itu.



[1]Nabi SAW bersabda :
اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بكَ مِن عِلمٍ لا ينفَعُ وعمَلٍ لا يُرفَعُ وقلبٍ لا يخشَعُ وقولٍ لايُسمَعُ
Ya Allah aku berlindung denganMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, amalan yang tidak diterima, hati yang tidak khuyuk dan kata yang tidak didengari. (Hadith riwayat ibn Hibban)
[2] Nasihat yang diminta dalam bentuk ringkas, padat dan menyeluruh.

Monday, May 9, 2016

Terjemahan Ayyuhal walad


Dalam keghairahan manusia belari merebut dunia, lahirlah genarasi manusia yang kering dari segala nilai. Pelbagai tanda membayangkan kroniknya defisit nilai yang dihadapi. Ironinya mereka mampu menongkat langit dengan kemajuan yang dicapai tetapi dungu dalam memahami matlamat keberadaan. Kebuntuan memahami matlamat hidup adalah sebahagian simptom kedunguan yang dihidapi. Kesakitan yang semakin membarah ini mula menunjukkan tanda. Justeru, seringkali kita mendengar dan melihat kedurjanaan terpacul di mana-mana. Kekeringan nilai terjadi hasil pengabaian aspek kejiwaan. Kesibukan manusia mengejar dunia menjadikan mereka insan yang kaku dan mati tanpa jiwa. Nukilan tinta emas al-Imam al-Ghazali telah menghidupkan sekian banyak jiwa yang mati. Telah menitiskan sekian banyak air mata dari kelompak yang kontang. Berjaya menyentap tangan manusia yang lalai. Membangunkan iman yang tidur. Maka kami melihat karya ini perlu disuburkan kembali. Kami sedia maklumi telah banyak olahan dan terjemahan yang berada di pasaran tetapi kami mencuba untuk menyelit dicelah rimbunan subur. Semoga kami turut disenaraikan di kalangan mereka yang berjuang membangunkan ummah ini walaupun berbekalkan tinta kayu.


“Walau pun hanya dengan tinta kayu”

Sunday, May 8, 2016

Terjamahan Ayyuhal Walad


Ayyuha al-Walad antara karya al-Imam al-Ghazali yang tersimpan dalam khazanah ummat Islam. Setiap mutiara kata yang dititipkan menggambarkan maksud yang sangat mendalam. "Tinta emas" yang digunakan bukan sekadar menulis tetapi turut disertai dengan rasa.
____________________________________________________
Menggunakan bahasa yang paling mudah penterjemah:
i. Menyesuaikan maksud sebenar yang dikehendaki penulis melalui rujukan kepada beberapa naskhah (Bahasa Arab) yang berada di pasaran.
ii. Meletakkan rujukan ayat-ayat al-Quran dan menghuraikan ayat-ayat berdasarkan pandangan ulama.
iii. Menyebutkan sumber Hadith secara ringkas.
iv. Menyertakan biodata ringkas nama-nama tokoh.
v. Memberikan huraian pada frasa yang memerlukan huraian lanjut.
Sangat sesuai dibaca dimasjid2 dan di pejabat2. Kami turut membuka ruang untuk mendiskusikannya di tempat ANDA.
Whatsapp/SMS kami untuk maklumat lanjut:
01136031353
01136031353
01136031353

Sunday, April 17, 2016

Buku Baru

Ayyuhal Walad ( Wahai Anakku)

Dalam keghairahan manusia belari merebut dunia, lahirlah genarasi manusia yang kering dari segala nilai. Pelbagai tanda membayangkan kroniknya defisit nilai yang dihadapi. Ironinya mereka mampu menongkat langit dengan kemajuan yang dicapai tetapi dungu dalam memahami matlamat keberadaan. Kebuntuan memahami matlamat hidup adalah sebahagian simptom kedunguan yang dihidapi. Kesakitan yang semakin membarah ini mula menunjukkan tanda. Justeru, seringkali kita mendengar dan melihat kedurjanaan terpacul di mana-mana. Kekeringan nilai terjadi hasil pengabaian aspek kejiwaan. Kesibukan manusia mengejar dunia menjadikan mereka insan yang kaku dan mati tanpa jiwa. Nukilan tinta emas al-Imam al-Ghazali telah menghidupkan sekian banyak jiwa yang mati. Telah menitiskan sekian banyak air mata dari kelompak yang kontang. Berjaya menyentap tangan manusia yang lalai. Membangunkan iman yang tidur. Maka kami melihat karya ini perlu disuburkan kembali. Kami sedia maklumi telah banyak olahan dan terjemahan yang berada di pasaran tetapi kami mencuba untuk menyelit dicelah rimbunan subur. Semoga kami turut disenaraikan di kalangan mereka yang berjuang membangunkan ummah ini walaupun berbekalkan tinta kayu.


“Walau pun hanya dengan tinta kayu”

Mohd Khir Johari bin Abas
Bidor

Dapatkan naskhah anda.

Tuesday, April 5, 2016

FIQH KEUTAMAAN (AL-AWLAWIYAT) DI SISI AL-QARADHAWI-BAH 2

HUBUNGAN ANTARA FIQH AL-AWLAWIYAT DAN FIQH MUWAZANAT.

1. Fiqh al-Awlawiyat dan Fiqh Muwazanat.
- Muwazanah (pertimbangan) antara dua maslahah.
- Muwazanah antara maslahah dan mafsadah.
- Muwazanah antara dua mafsadah.

Muwazanah antara dua maslahah.
Asas kepada maslahah adalah menghimpunkan segala kemaslahatan sekiranya mampu atau melakukan sebanyak mungkin seandai termampu. Dalam keadaan tidak mampu untuk menghimpunkan keseluruhan maslahah maka keutamaan diberikan kepada :
- Maslahah yang diyakini berbanding yang zanni atau mauhumah.
- Maslahah yang besar berbanding maslahah kecil.
- Maslahah jamaah berbanding individu.
- Maslahah yang banyak berbanding maslahah sedikit.
- Maslahah berpanjangan berbanding maslahah temporari.
- Maslahah asas atau dasar berbanding replika semata-mata.
- Maslahah masa hadapan yang kuat berbanding maslahah sekarang yang lemah.

Muwazanah antara dua mafsadah :
Asas kepada mafsadah adalah menjauhkan mafsadah secara total atau sebahagian darinya seandainya mampu. Konsep interaksi dengan mafsadah adalah :
- Tidak boleh mendatangkan mudarat sama sekali.
- Menjauhkan mudarat sedaya upaya mungkin.
- Mudarat tidak boleh dihindar dengan mudarat sepertinya.
- Memilih darurat yang ringan berbanding mudarat yang lebih berat.
- Memilih darurat yang rendah berbanding darurat yang tinggi.
- menanggung darurat individu untuk mengelak darurat jemaah.

Muwazanah antara maslahah dan mafsadah.

Asas kepada kontradik antara maslahah dan mafsadah adalah mendatangkan maslahah dan menolak mafsadah sama sekali. Dalam keadaan mafsadah lebih besar dari manfaat yang kecil maka manfaat tersebut perlu ditolak sama sekali. Manakala dalam keadaan manfaat atau maslahah lebih besar berbanding mafsadah yang lebih kecil maka manfaat dan maslahah perlu diutamakan dengan mengenepikan mafsadah yang bakal terjadi.

Wednesday, March 30, 2016

FIQH KEUTAMAAN (AL-AWLAWIYAT) DI SISI AL-QARADHAWI: SATU RINGKASAN BAH-1

Pengabaian golongan agama berkaitan fiqh keutamaan.

1. Pengabaian terhadap keutamaan bukan hanya melanda masyarakat awam tetapi turut memberi tempias kepada golongan agama kerana kegagalan memahami inti agama yang sebenar. Mereka gagal membezakan dikotomi utama dan biasa, sah dan batal, diterima dan ditolak, yang disunatkan dan yang diada-adakan.

2. Sebagai contohnya mereka lebih berminat menyumbang membina masjid yang telah sedia ada dari membangun manusia, menambah perhiasaan yang sia-sia dari membangun manusia. al-Qaradawi mengibaratkan :
Mereka lebih beriman dengan membangunkan batu-batu dari membangunkan manusia.

3. Saban tahun kita melihat pelbagai NGO’s menganjurkan kutipan jihad bagi membantu sahabat-sahabat kita di Syiria, Palestin, Yaman dan sebagainya, dalam masa yang sama puluh ribu yang mungkin menunaikan haji buat kali kedua atau ketiga dan menunaikan umrah berkali-kali buat saban kalinya. Dan seandainya dihitung dari perbelanjaan mereka boleh mengalahkan kutipan yang dianjurkan saban masa itu.

4. Sebahagiannya pula sibuk dengan urusan “dakwah” sehingga meninggalkan pelajaran mereka di universiti dan kerjaya-kerjaya strategik dengan alasan dakwah adalah keutamaan dalam agama, sedangkan mereka bakal menjadi doktor, arkitek, jurutera dan teknokrat yang pelbagai. Sumbangan mereka sangat diharapkan oleh umat ini dalam membangunkan agama, bangsa dan negara.

5.Para ustaznya pula sibuk membahas isu-isu remeh saban hari. Sibuk membahaskan warna baju yang afdhal adakah berjubah putih atau berseluar. Manakah yang afdhal makan di lantai atau atas kerusi. Makan menggunakan tangan atau bergarfu dan sudu.
Apa yang berlaku hari ini adalah warisan yang telah kita warisi dari zaman kemunduran dan kita kekalkan sehingga hari ini. Antara warisan tersebut adalah :

i. Mereka tidak mengindahkan hal-hal berkait dengan fardhu kifayah seperti peningatan kualiti ilmu pengetahuan, perindustrian dan kepiawaian dalam perperangan. Begitu juga pengabaian ijtihad dalam masalah penyebaran Islam, membangunkan hukum, menentang kerajaan yang zalim, dan sebagainya.

ii. Mereka mengabaikan tuntutan fardhu ain atau melaksanakannya tetapi secara tidak sempurna. Tuntutan tersebut seperti menyuruh melakukan kebaikan dan menghalang kemungkaran.

iii. Memberi penumpuan berlebihan terhadap sebahagian rukun Islam dan mengabaikan sebahagian yang lain.

iv. Memberi perhatian terhadap masalah sunnah secara berlebihan tetapi mengabaikan kewajipan yang lebih dituntut. Seperti lebih selesa hanya berzikir dan bertasbih sahaja dari berperanan membasmi kezaliman, dan kemungkaran dalam bidang sosial mahupun politik.

v. Terlalu memberatkan ibadah-ibadah individual semata-mata tanpa melihat kepada ibadah-ibadah sosial seperti jihad, membaiki hubungan silatur rahim, bekerjasama dan sebagainya.

vi. Melampau-lampau memberi fokus terhadap perkara furu’ dan mengabaikan masalah asasnya.

vii. Kesibukan dalam memerangi masalah makruh dan syubhat lebih banyak berbanding memerangi masalah yang diharamkan. Kesibukan mereka memastikan halal dan haram sesuatu yang belum jelas halal atau haramnya dan tanpa melihat yang lebih jelas haramnya. Ramai juga yang berminat membahaskan masalah hukum menyanyi, mengambil gambar dan sebagainya seolah-olah mereka tidak melihat masalah yang lebih besar dari itu. Sedangkan mereka mengabaikan masalah yang lebih bermanfaat seperti penipuan ahli politik, kezaliman sistem kerajaan, perampasan hak rakyat dan kemewahan yang melampau-lampau.


Kesalahan besar inilah yang melanda umat Islam hari ini dalam persoalan yang berkaitan dengan ukuran keutamaan, sehingga mereka menganggap kecil hal-hal besar dan menganggap besar hal-hal yang remeh. Mereka sanggup berjuang bermati-matian untuk masalah khilafiyah tetapi tidak mengambil tindakan terhadap hal-hal yang sepatutnya.

KULIYAH BULANAN DI MASJID IKHWANIYAH, CHERAS UTAMA (SUBUH AHAD MINGGU PERTAMA DAN SUBUH SABTU MINGGU KETIGA)