Pages

Thursday, January 1, 2015

Hujan

Di dalam Al-Quran ada berberapa lafaz yang digunakan untuk menggambarkan hujan.
Antaranya : (مطر)   dan (الغيث)
Biasanya penggunaan (مطر)  merujuk kepada kebinasaan dan kehancuran seperti ayat :

·         dan Kami telah menghujani mereka Dengan hujan...( Al-A’raf : 84 )

·         maka hujanilah Kami Dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada Kami azab seksa Yang tidak terperi sakitnya". ( Al-Aanfal : 32  )

Manakala biasanya hujan dengan lafaz (الغيث) merupakan hujan yang mendatangkan kebaikan dan manfaat. Sebagai contohnya :
dan Dia lah Yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji. (Al-Syura : 28 )

PERBINCANGAN
1.Hujan merupakan rahmat Allah. Ia turun mengikut aturan dan ketetapan Allah. Firman Allah :  
Dan Dialah ( Allah ) Yang menurunkan hujan menurut sukatan yang tertentu, lalu Kami hidupkan Dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).  (Az-Zuhruf : 11)

Ketika ayat ini turun hampir 1500 tahun yang lalu. Maka ayat ini hampir mustahil difahami dengan pembuktian saintifik. Walau bagaimana pun melalui perkembangan sains dan teknologi yang semakin maju, kuantiti yang diukur dalam hujan telah ditemui. Berdasarkan suatu pengiraan yang hampir tepat, setiap satu saat, dianggarkan 16 juta tan air disejat dan mengewap dari permukaan bumi. Jumlah air yang disejat dan mengewap dalam setahun lebih kurang 513 juta tan. Angka ini bersamaan dengan jumlah hujan yang turun ke bumi dalam setahun. Memahami hakikat ini jiwa akan menjadi sayu lantas membeku maka tersungkurlah seorang hamba sujud membesarkan tuhannya ( As-Sajdah :15 )

2. Bukan sekadar kelemahan kita untuk menghitung bilangan titis-titis hujan yang turun. Kita juga gagal untuk memahami, mengapakah hujan hanya turun di tempat-tempat yang tertentu dan tidak pula turun di tempat yang lain. Seluruh negara ada kawasan-kawasan yang telah dilabelkan berada di tahap jingga, kuning bahkan ada kawasan yang menerima jumlah hujan paling kering sepanjang tahun. Allah merakamkan di dalam Al-Quran (Luqman : 34)

Secara ironinya, jika dengan setitis air hujan yang sekitar 2-4mm ukur lilit pun tidak mampu kita menepis dan menambahnya, bagaimana pula kekuatan yang kita ada untuk berhadapan dengan kemurkaan Allah yang berkeupayaan mencipta jutaan tan hujan sepanjang tahun. Jika hanya dengan setitis air yang turun dari langit pun tidak mampu kita menafsirkan hakikat dan sifatnya, kekuatan apa yang kita ada untuk mengharungi lautan peluh manusia di padang mahsyar yang dihamparkan segala dosa dan kemaksiatan kita kepada Allah.

3. Selain hujan itu turun sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah, hujan yang turun juga merupakan perantara untuk Allah berbicara dengan kita di Sabak Bernam ini. Adakah kita sudah terlupa bagaimana Allah melenyapkan seluruh Tamadun, keangkuhan, kesombongan dan kemungkaran yang kita lakukan dengan menurunkan hujan. Tidak bergetarkan hati kita tatkala membaca firman Allah ( Al-Hud : 42-44 ).
Makanya dengan perintah Allah, langit memuntahkan hujan selebat-lebatnya, bumi menhemburkan airnya. Berlakulah banjir besar yang meranapkan segala ketamadunan yang ada. Turut memusnahkan segala kekufuran, segala kemunafikan dan segala kemaksiatan kepada Allah. Manusia seluruhnya kembali kepada Allah. Alangkah indahnya hidup dilingkungi keimanan yang sedemikian.

Allah menarik perhatian kita untuk melihat di sana ada suatu kuasa lain yang menentukan peredaraan alam ini, bukan sekadar mentadbir negeri Perak yang luasnya sekitar 21,005km persegi ini, tetapi ia mentadbir seluas alam semesta yang didiami puluhan juta trilion planet-planet, bintang-bintang, yang keluasaaannya tidak mampu diukur dengan hektar mahupun km persegi. Dialah Allah tuhan yang sedang mengingatkan kita tentang kehebatannya melalui perantaraan hujan dan banjir.

Sebagai kesimpulannya. Hujan dan banjir merupakan suatu pesanan yang datang dari tuhan. Memberi peringatan buat insan, Sebagai tanda cinta kasih dari Tuhan yang sentiasa mengingatkan kita untuk kembali ke pangkuan, Sujud mengiktiraf keagungan. Marilah bersama kita mengambil kesempatan di musim banjir dan hujan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Kita rakamkan salam takziah kepada keluarga magsa yang terkorban di seluruh negara mudah-mudah mereka terus thabat dan dan bersabar dengan ujian Allah ini.

Kisah Nabi dan Hujan.
Anas bin malik mengisahkan, seorang lelaki masuk ke dalam Masjid pada hari jumaat melalui sebuah pintu berhadapan minbar, dia terus menuju ke arah Nabi yang sedang berkhutbah sambil berkata : “Ya Rasulullah binatang-binatang telah banyak yang terkorban, perjalanan tidak dapat diteruskan ( kerana unta-unta tidak mampu bergerak ), berdoalah kepada Allah supaya menurunkan kami hujan”. Maka baginda pun mengangkat tangan seraya berdoa:
اللَّهُمَّ اسْقِنَا اللَّهُمَّ اسْقِنَا اللَّهُمَّ اسْقِنَا
Ya Allah limpahi kami, limpahi kami, limpahi kami.
Berkata Anas : Demi Allah, Kami lihat langit terlalu cerah tanpa ada kelompok awan walau sedikit pun. Dan tidak ada juga yang menghalang pandangan kami dari melihat bukit Sal’i. Tiba-tiba kami melihat awan muncul dari belakang bukit itu, Ia datang dalam keadaan berpusar-pusar. ( ada yang menyatakan seakan-akan ia datang seperti seorang lelaki sedang terbang ) Apabila awan sudah sampai di tengah-tengah langit maka ia berserakan lalu turunlah hujan. Maka berkata Anas, Demi Allah kami tidak melihat matahari selama berhari-hari ( sehingga jumaat hadapannya ) Kemudian masuk seorang lalaki melalui pintu yang sama sebelum ini. Pada ketika itu juga Nabi sedang berkhutbah. Dia lalu menuju ke arah Nabi seraya berkata : “Ya Rasulullah, harta benda sudah binasa, jalan-jalan terputus, Berdoalah kepada Allah agar dia menahan hujan dari turun”. Lantas baginda mengangkat tangan  seraya berdoa :
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالْجِبَالِ وَالْآجَامِ وَالظِّرَابِ وَالْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Ya Allah turunkan hujan di sekitar kami dan bukannya di atas kami. Ya Allah di atas bukit-bukit, gunung-gunung, dataran-dataran, lembah-lembah dan hutan-hutan.

Tiba-tiba hujan berhenti dan kami keluar dari masjid dalam suasana diterangi matahari.

( Hadith riwayat Bukhari )

* Nota kuliyah sepanjang musim banjir.

0 comments:

Post a Comment