Pages

Sunday, January 1, 2012

Wahai Anakku ep-4

Kesimpulan kepada ilmu adalah engkau mengetahui apakah dia ketaatan dan ibadah . Ketahuilah bahawa ketaatan dan ibadah adalah menuruti Allah di dalam suruhan dan larangan dengan perkataan dan perbuatan. Dalam erti kata lain apa yang kamu katakan, kamu perbuat dan kamu tinggalkan hanya kerana menurutiNya. Sebagai analoginya ; Seandainya kamu berpuasa pada hari Raya dan hari-hari Tasyriq kamu mengingkarinya. Ataupun kamu bersolat dengan menggunakan pakaian yang dirampas dari hak orang lain, kamu tetap berdosa walaupun kesemua perbuatan tadi seakan ibadah.

Wahai Anakku

Jadikanlah perkataanmu dan perbuatanmu selari dengan syara’. Hal ini kerana ilmu dan amal yang tidak berjalan di atas landasan Syara’ adalah sesat. Jangan pula kamu terpedaya dengan gaya dan cara golongan sufi. Laluan bagi orang yang ingin menyucikan jiwa itu adalah dengan mujahadah, mematahkan nafsu dan menewaskan hawanya dengan pedang ibadah dan bukannya dan gaya dan penampilan.

Ketahuilah sesungguhnya lidah yang berkata-kata dan hati yang berdetak yang dipenuhi dengan perkara melalaikan dan syahawat adalah tanda kecelakaan. Seandainya kamu tidak membunuh nafsu dengan mujahadah yang sebenar hati kamu tidak akan hidup dengan cahaya ma’rifah.

Ketahuilah.. sebahagian persoalan yang engkau ajukan pada diriku tidak mampu dijawab dengan penulisan dan nukilan kata-kata. Engkau hanya akan mengetahui seandainya engkau berada pada tahap tersebut. Seandainya tidak, mengetahuinya adalah mustahil. Semua itu adalah Zauqiyah ( rasa). Semua hal yang dirasa tidak mampu disifatkan dengan kata-kata seperti manisnya manisan dan pahitnya hempedu. Manis dan pahit cuma boleh diungkap dengan rasa. Diriwayatkan dari seorang yang tidak berminat untuk berkahwin, ia menulis kepada sahabatnya : Ceritakan kepadaku kelazatan hubungan intim. Maka sahabatnya menulis di dalam jawapannya : Wahai Fulan, selama ini aku hanya mengetahui kamu tidak berminat untuk berkahwin, tetapi hari ini aku turut mengetahui kamu juga seorang yang bodoh. Hubungan intim itu adalah kenikmatan zauqiyah, seandainya engkau berada di tempatnya engkau akan merasainya. Seandainya tidak, mustahil untuk dinukilkan dengan kata-kata dan tulisan.

Wahai Anakku

Kebanyakan soalan mu, termasuk di dalam kumpulan ini. Adapun sebahagian yang mampu dijawab itu telah aku sematkan di dalam Ihya’ Ulumuddin dan kitab-kitab yang lain. Aku abadikan disini sebahagian darinya secara ringkas,.

Adalah menjadi kewajipan bagi setiap insan yang berjalan menuju kepada Allah 4 perkara :

1. I’tikad yang sahih, tidak wujud di dalamnya bid’ah.

2. Taubat yang bersungguh-sungguh dan tidak sekali-kali akan kembali kepada kehinaan.

3. Memohon keredhaan lawan, sehingga tiada siapa yang menuntut sesuatu dari kamu.

4. Menguasai ilmu Syariah pada kadar keperluan untuk menunaikan segala suruhan Allah.

Bersesuaianlah dengan kata-kata :

اعمل لدنياك بقدر بقائك فيها واعمل لآخرتك بقدر بقائك فيها فيها واعمل للنار بقدر صبرك عليها

Bekerjalah untuk duniaMu sekadar keperluanmu duduk di atasnya, beramallah untuk akhiratmu sebanyak kekalnya kamu di dalamnya dan beramallah untuk menjauhi neraka setakat kemampuan mu menaggungnya.

0 comments:

Post a Comment