Pages

Saturday, August 22, 2015

Kuliyah Fiqh al-Awlawiyat siri-4

Hubungan Fiqh al-Awlawiyat dengan Fiqh al-Maqasid.

Selain mempunyai hubungan dengan Fiqh Muwazanat, Fiqh al-Awlawiyat turut mempunyai hubungan yang signifikan dengan Fiqh al-Maqasid. Asas kepada hubungan ini adalah setiap pensyariatan mempunyai maksud yang tertentu.
Perbahasan mengenai al-Maqasid al-Shari’ah bukanlah perbahasan yang baru. Bahkan Allah s.w.t banyak menjelaskan pelbagai perkara tentang matlamat atau tujuan sesuatu perintah atau larangan. Sebagai contohnya, Allah meletakkan perlindungan dari perbuatan keji dan mungkar sebagai satu manifestasi terhadap perintah solat. Firman Allah S.W.T :

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar;
Al-ankabut 29 : 45

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk);
Al-Taubah, 9:103

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara
Al-Hajj, 22:28

Para ulamak sebelum al-Shatibi bahkan al-Shatibi sendiri tidak membahaskan tentang pengertian maqasid. Hal ini kerana konsep maqasid telah diketahui dan tidak berhajat kepada pentakrifan[1]. Manakala Al-Qaradawi mendefinisikan maqasid dengan definisi :
الغايات التي تهدف إليها النصوص من الأوامر و النواهي والإباحات، و تسعى الأحكام الجزئية إلى تحقيقيها في حياة المكلفين، أفرادا و أسرا و جماعات [2].
Terjemahannya : Matlamat-matlamat yang menjadi tujuan nas-nas dari sudut suruhan, larangan dan perkara yang diharuskan, dan hukum-hukum juz’iyyah berjalan untuk merealisasikannya di dalam kehidupan mukallaf, secara individu atau masyarakat.

Daripada definisi ini, al-Qaradawi mendatangkan satu dimensi baru di dalam perbahasan al-maqasid. Ia menjawab persoalan, samada maqasid yang dimaksudkan adalah maqasid untuk perlaksanaan hukum-hukum fekah semata-mata atau maqasid untuk kelestarian Islam[3].

Keperluan memahami fiqh al-Maqasid supaya manusia berusaha untuk merealisasikan Maqasid atau maksud syariat daripada bersusah payah melakukan sesuatu yang tidak berhubung dengan tujuan pensyariatan. Justeru bukanlah menjadi suatu tuntutan untuk mengeluarkan makanan asasi penduduk setempat bagi memenuhi tuntutan zakat fitrah tetapi menjadikan mereka cukup dari meminta-minta itulah yang utamanya.

Walau bagaimana pun perbahasan Maqasid ini adalah suatu perbahasan yang luas dan pajang. Mereka yang berhajat untuk mndalaminya merupakan suatu kelebihan. Adapun orang awam tidak wajib memahaminya kerana ia adalah suatu seni memahami hukum khususnya fatwa bertujuan menghubungkan hukum dengan maksud sebenar pensyariatannya.



[1] ( 1 ) Raysuni, Nazariyat, 17 ( 2 ) Ahsan Lahasasanah, Al-fiqh al-maqasidi ‘inda al-imam al-shatibi wa atharuhu ‘ala mabahith usul al-tasyri’ al-islami, ( Kaherah : Dar al-salam, 2008 ) 12-13
[2] al-Qaradawi, Dirosah fi Fiqh maqasid, 20
[3] Buqalaulah, “Al-Imam Yusuf Al-Qaradawi faqih asy-syariah wa al-Hayah”, 3

0 comments:

Post a Comment