Pages

Wednesday, December 14, 2011

Cabang Iman ke-13

CABANG IMAN YANG KETIGA BELAS : TAWAKAL KEPADA ALLAH DAN MENYERAHKAN SEGALA URUSAN KEPADANYA.

Mohd Khir Johari bin Abas

Firman Allah S.W.T :

t (yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya manusia[1]telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung".[2]

Firman Allah lagi :


Jika Allah menolong kamu,maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (Tidak memberi pertolongan), Maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal.[3]

Sabda baginda S.A.W :

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا تُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

Daripada Saidina Umar ibnu Khattab katanya : Rasulullah S.A.W bersabda : Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal kepada Allah, kamu akan dianugerahkan rezeki oleh Allah seperti rezeki seekor burung, keluar berpagi-pagi di dalam keadaan lapar dan pulang petang di dalam keadaan kekenyangan.[4]

Berkata Imam Ahmad Rahimahullah Ta’ala : “ Di dalam hadith ini menunjukan bukanlah seseorang itu hanya duduk menanti rezekinya, tetapi dia harus beruasaha untuk memperolehinya. Hal ini kerana burung keluar berpagi-pagi untuk mencari rezekinya. Seandainya seseorang keluar dengan segala penyerahan kepada Allah, kemudian segala urusannya disandarkan kepada Allah dan kembalinya dia dengan keadaan tawakal kepada Allah nescaya dia akan memperolehi anugerah dan nikmat pemberian Allah”.

Berkata Abu Sa’id Al-Kharraz Rahimahullah, Tawakal adalah membenarkan Allah S.W.T, bersandar kepadanya, Sukun kepadanya, Thoma’ninah kepadanya pada setiap perkara yang dijaminkan Allah S.W.T. Mengeluarkan gelojoh terhadap dunia dan rezeki daripada hati dan segala urusan dikembalikan kepada Allah.

Al-Imam Ibu ‘Atho’illah As-Sakandari menyebutkan di dalam hikamnya :

أرح نفسك من التدبير فما قام به غيرك عنك لا تقم به لنفسك

Rehatkan dirimu dari التدبير [5] segala perkara yang telah dilakukan oleh orang lain maka tidak perlu anda memikirkannya.

التدبير yang dimaksudkan oleh Ibnu ‘Athoillah ialah menafikan pengibadatan. Sebagai contohnya seseorang mengatakan : “Seandainya aku tidak melakukan itu nescaya tidak akan jadi begini, atau mengatakan seandainya aku lakukan begini pasti akan jadi begini”. Sesungguhnya Allah telah menguruskan semua perkara sebelum dari pengetahuan kita. Tatkala Allah telah melakukannya bagi kita maka kenapa perlu kita memikirkan tentang natijahnya.

Tawakal adalah natijah daripada iman dan dan buah dari ma’rifah. Bergantung kepada kadar ma’rifah seseorang menentukan tahap tawakalnya kepada Allah. Dengan wujudnya sifat tawakal di dalam hati melahirkan ketenangan dan kerehatan.

Berkata Bisyr Al-Hafi Rahimahullah : “ Seseorang mengatakan : Aku bertawakal kepada Allah, dan dia mendustakannya. Seandainya dia benar-benar bertawakal kepada Allah, nescaya dia akan redha dengan apa sahaja yang diperbuat Allah dengannya”.

Imam Ghazali dan Imam Ibnu ‘Ajibah membahagikan tingkatan tawakal manusia kepada 3 peringkat :

i. Peringkat rendah - Seperti hubungan wakil dan yang mewakilkan.

ii. Peringkat pertengahan – Seperti seorang bayi dengahn ibunya.

iii. Peringkat tertinggi – Seperti pesakit dengan doktornya.

Perbezaan di antara ketiga-tiga maqam ini adalah :

i. Peringkat pertama - Wujud di dalam hatinya ketidak yakinan dan ketidak percayaannya.

ii. Peringkat kedua tidak wujud ketidak percayaan kerana ia adalah tempat bergantung tatkala berhajat dan ketika bermasalah.

iii. Peringkat ketiga, adalah peringkat fana’. Dimana seluruhnya diserahkan kepada yang memperbuat ke atas dirinya.

KESIMPULAN

Tawakal adalah buah dan hasil dari kesempurnaan iman. Ia merupakan asas kebahagiaan dan ketenangan. Perlu difahamkan bahawa tawakal tidak menafikan usaha dan sebab. Tetapi tawakal adalah tidak menggantungkan sesuatu kepada sebab.

Beginilah sifat Ulamak-ulamak Sufi. Hati mereka tenang dengan Allah, bersandar kepadanya, yakin dengannya, menuju kepadanya dan sentiasa bergantung kepadanya kerana tiada yang mampu membuat melainkan dia. Manakala jasad mereka sentiasa mengambil asbab sebagai ketaatan, berpegang dengan syariat dan menurut ketentuan Rasulnya dan sahabat.

AMALAN

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ». قَالَ « يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِىَ وَكُفِىَ وَوُقِىَ ».

Daripada Anas ibnu Malik R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila seseorang dari kamu keluar dari rumahnya dan membaca :

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Dengan nama Allah aku bertawakal kepadanya, tiada daya dan upaya melaiankan dengan izinnya.

Dikatakan padanya waktu itu : “ kamu diberikan hidayah, dicukupi keperluanmu dan di pelihara dirimu. Berkatalah di anatar syaitan : Bagaimana kamu ingin menggoda seoranng lelaki yang telah diberikan hidayah, dilengkapi dan dipelihara ?.



[1] Orang-orang Quraisy

[2] Ali Imran : 173

[3] Ali Imran : 160

[4] Riwayat At-Tarmizi.

[5] Bermaksud sentiasa memikirkan di dalam pelbagai perkara dan natijahnya.

0 comments:

Post a Comment