Pages

Wednesday, December 14, 2011

Cabang Iman Ke- 19 : Memuliakan Al-Quran

Penurunan Al-Quran

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,

Mengenang peristiwa nuzul Al-quran adalah bertujuan mengenang penurunan Al-Quran sebagai suatu titik sejarah di dalam kehidupan setiap umat Islam. Lantas menjadikannya sebagai garis permulaan menuju keunggulan dan kehebatan. Dengan menginsafi peranan dan tuntutan Al-quran di dalam kehidupan kita, akan menghasilkan suatu tindakan yang jelas.

Tuntutan Al-Quran

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya Engkau melihat Gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

Mari bersama kita merenung persoalan apakah kita selama ini telah mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari Al-Qur’an. Justeru telah mengabaikan sebahagian besar lagi dari Al-Qur’an. Ia hanyalah dijadikan sebagai penghias di dinding-dinding rumah, menjadi tangkal di premis-premis perniagaan atau hanya sekadar menjadi penghias di atas-atas dulang hantaran perkahwinan. Persoalannya hanya sekadar inikah peranan Al-Quran diturunkan ?. Bagaimana pula peranan Al-Qur’an sumber petunjuk, sumber hukum, pembimbing, garis sempadan , momentum perubahan dan tranformasi sekaligus sebagai penyelesai segala masalah kehidupan kita? .

Kebanyakan kita hanya berusaha menjaga fizikal Al-Qur’an. Kita tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai, di kerusi atau di tempat-tempat lain yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak ‘menjaga’ Al-Qur’an. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak, atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa jua bentuk sekalipun. Kita akan pastikan kemurnian Al-Qur’an terpelihara dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Segala usaha ini sangat baik dan memang menjadi tugas dan kewajiban yang harus kita tunaikan. Namun, kita sering hanya berhenti setakat ini sahaja. Kita jarang berusaha untuk memahami isi kandungannya jauh sekali untuk mengaplikasikan di dalam kehidupan seharian .

Kedudukan Gunung di dalam Islam.

Gunung merupakan makhluk Allah yang sentiasa memuji dan menyucikan Allah. Banyak ayat yang menyentuh perihal dan keadaan gunung di dalam Al-Quran dan hadith-hadith Nabi S.A.W . Bahkan gunung digambarkan sebagai makhluk Allah yang berperanan menstabilkan bumi dan sebagai pasak kepada bumi :

Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?. Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?.

Tatkala kita melihat gunung dengan kebesarannya dan keutuhannya kita akan merasa takjub. Sungguh benar gunung adalah makhluk Allah yang luar biasa. Pada gunung ada tumbuh-tumbuhan yang pelbagai, haiwan-haiwan yang liar dan jinak, galian yang berharga, adakalanya gunung diselaputi salji yang memutih. Semuanya menggamparkan kepelbagaian kehebatan alam yang ada pada gunung. Firman Allah :

Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak Yang menetapnya);. Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Allah melambangkan kekuatan gunung dengan mengumpamakan sifat tajalli-Nya tatkala Nabi Musa A.S memohon untuk melihatnya :

Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu Yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya Aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke Gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya Engkau akan dapat melihatKu", setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesarannya) kepada Gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan Gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha suci Engkau (Wahai Tuhanku), Aku bertaubat kepadaMu, dan Akulah orang Yang awal pertama beriman (pada zamanku).

Berikut adalah adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi yang saya dapat senaraikan kepada 22 perkara, iaitu:

1. Berniat ikhlas kerana Allah SWT.

2. Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.

3. Membaca dalam keadaan berwuduk.

4. Mengadap ke arah kiblat.

5. Memulakan dengan at-Ta’awwuz.

6. Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.

7. Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring.

8. Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.

9. Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30.

10. Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.

11. Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.

12. Beramal dengan ajaran al-Quran itu.

13. Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu.

14. Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.

15. Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.

16. Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.

17. Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.

18. Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.

19. Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.

20. Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.

21. Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.

22. Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran



[1] Al-Hasyr : 21

[2] An-Naba’ : 6 -7

[3] An-Nazi’at : 32 - 33

[4] Al-A’raf : 143

0 comments:

Post a Comment