Pages

Wednesday, December 28, 2011

KHUTBAH UNTUK ORANG MUDA

الحمد لله ثم الحمد لله، الحمد لله حمداً يوافي نعمه ويكافئ مزيده، يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لِجَلالِ وَجْهِكَ وَلِعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ، سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ لاَ أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَه إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله وصَفِيُّهُ وَخَلِيْلُهُ، خَيرُ نبيٍ أَرْسَلَهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ إِلَى العَالمَِ كُلِّهِ بَشِيْراً وَنَذِيْراً، اللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيْدِناَ مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آل سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ صلاةً وسلاماً دائمين متلازمين إلى يوم الدين أَمَّا بَعْدُ ، وأوصيكم أيها المسلمون ونفسي المُذْنِبَةَ بِتَقْوَى الله تعالى و طَاعَتِهِ

ياأيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون

ياأيها الذين آمنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ماقدمت لغدٍ واتقوا الله إن الله خبير بما تعملون

Dalam sebulan kebelakangan ini nama saudara Adam Adli menjadi sebutan dan mendapat tempat melalui carian di laman-laman sosial di kalangan mahasiswa. Terlalu banyak pandangan dan komentar diberikan. Sama ada yang menyanjung tidak kurang juga yang mengutuk dan menghina. Ini bukanlah episode baru di dalam sejarah gerakan mahasiswa bahkan sebahagian kecil dari perjalanan kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Negara pernah digemparkan dengan kebangkitan mahasiswa seawal tahun 1960an yang membela nasib golongan miskin yang kebulur di kawasan-kawasan perkampuangn. sehingga mengundang kebangkitan Mahasiswa memperjuangkan hak rakyat miskin di Baling Kedah. Pada waktu tersebut, mahasiswa melalui Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU) serta beberapa pertubuhan mahasiswa yang agak vokal telah mengambil keputusan untuk menggerakkan rakyat di sana. Pada tanggal 19 November 1974, Mahasiswa telah berjaya menggerakkan lebih 1000 orang rakyat untuk berhimpun. Rapat umum tersebut berterusan sehingga 21 November 1974. Ketika itu, mahasiswa berjaya meniupkan kesedaran rakyat dikhabarkan lebih 13 ribu ummat membanjiri Pekan Baling.

Peranan golongan mahasiswa juga tidak dapat dinafikan di dalam meniup kesedaran rakyat terhadap isu-isu global seperti Isu Palestin, penjajahan Amerika ke atas Iraq dan sebagainya. Menyorot sejarah ketamadunan umat peranan dan sumbangan golongan muda ini tidak boleh dinafikan.

Firman Allah:

نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية آمنوا بربهم وزدناهم هدى (13)وربطنا على قلوبهم إذ قاموا فقالوا ربنا رب السماوات والأرض لن ندعو من دونه إلها لقد قلنا إذا شططا (14)

13. Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda Yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka Dengan hidayah petunjuk.

14. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran." ( Kahfi : 13-14 )

Sebagai seorang Mahsiswa perlu menguasai suasana dan perkembangan semasa. Jangan menjadi Mahasiswa yang hanya tergelam di dalam selimut keseronokan dan duduk dicelah ketiak gejet-gajet canggih bermain game dan melayari laman-laman sosial. Sehingga melumpuhkan kehebatan intelektual mahasiswa. Mahasiswa perlu mencabar diri untuk berlari bersama dengan kelajuan arus perdana. Kepekakan dan kebisuan Mahasiswa hari ini akan mengundang kepada masa depan yang kelam. Persoalannya adakah mahasiswa kita hari ini benar-benar sensitive terhadap setiap perkara yang berlaku. Adakah mahasiswa yang ada telah benar-benar bersedia untuk mewarisi negara ini dan terus memecut laju menuju sebuah negara yang disegani dunia. Atau mahasiswa kita terus diperbodohkan dengan menghidangkan kepada mereka program-program picisan yang langsung tidak menyumbang apa-apa terhadap pembinaan jati diri mereka. Program-program hiburan, pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang langsung tiada batasan, konsert-konsert, dan pelbagai lagi program yang mengundang kemurkaan Allah terus disusun dan diatur. Yang akhirnya membekukan minda mahasiswa dari terus berfikir.

Mimbar adakalanya tertanya-tanya apakah pandangan mahasiswa terhadap isu-isu besar di dalam negara atau langsung tidak pernah kisah dan peduli dengan apa yang sedang berlaku. Sebagai contoh, apa pendirian mahasiswa tehadap pendedahan sebuah badan pemikir bebas, Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) yang melahirkan kebimbangan negara akan mempunyai hutang sebanyak RM1 trillion menjelang 2020 sekiranya kerajaan tidak berhemah dalam perbelanjaannya.Ini adalah kerana defisit negara kini berada pada RM437 billion, dua kali ganda bajet defisit berbanding RM217 billion pada tahun 2004.Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, ramai boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.

Dimana keperihatinan mahasiswa bila berhadapan dengan isu laporan ketua audit Negara yang saban tahun menunjukan ketirisan wang milik rakyat di mana-mana. Sebagai contoh di dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 perhatian seluruh warga Negara tertumpu kepada projek pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding. Wang rakyat dibazirkan sebanyak RM 4 juta 428 ribu. Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan gesaan agar rakyat berhemah di dalam berbelanja dan ada yang masih teragak-agak untuk membeli baju, buku, dan kelengkapan sekolah untuk anak-anak, ada sesetengah pihak yang langsung tidak merasa apa-apa dengan pembaziran yang berjumlah puluhan juta ringait seperti yang dicatatkan oleh Jabatan Audit Negara sebuah Agensi kerajaan yang menjalankan tugas memeriksa perjalanan dan aliran kekayaan yang dimiliki oleh rakyat dan diuruskan oleh kerajaan. Begitu juga teguran Ketua Audit Negara terhadap Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan. Menghairankan apabila pembelian sebuah binokular pada harga RM56,350 atau 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940. Negara juga dikejutkan dengan isu kepincangan dan kegagalan projek lembu Feedlot di Gemas Negeri Sembilan, satu projek bernilai RM 73.64 juta tetapi tidak membuahkan apa-apa keuntungan kepada Negara. Mahasiswa harus melihat isu-isu ini sebagai agenda utama. Perjuangan Mahasiswa menuntut ilmu adalah untuk mewarisi Negara ini. Apakah yang bakal kita warisi seandainya apa yang sedang kita miliki hilang begitu sahaja.

Justeru golongan mahasiswa atau golongan pemuda seharusnya menggunakan masa dan kesempatan yang ada untuk membina diri selengkap mungkin. Memenuhi segala tuntutan untuk mengharungi dunia ini dengan kehebatan dan keunggulan.

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهَنِيِّ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " عَجِبَ رَبُّكَ مِنَ الشَّابِّ لَيْسَتْ لَهُ صَبْوَةٌ

“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadat kepada Allah).”

Setiap pemuda atau Mahasiswa seharusnya menanamkan di dalam diri mereka ciri-ciri pemuda seperti gambaran di dalam Al-Quran. Di antaranya.

1. Keyakinan dan keberanian yang mantap

Firman Allah, maksudnya :

Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahwa Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Fir’aun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. dan Sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.(Surah Yunus :83)

Pemuda seharusnya mempunyai keyakinan dan keberanian yang tinggi. Kendatipun mereka menyedari bahawa fir’aun akan menyiksa mereka, namun mereka tetap beriman dengan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. Dalam sejarah dunia secara umumnya , kita dapat memerhatikan bahawa sifat ini adalah fitrah golongan mudaa. Revolusi dan perubahan yang berlaku dalam kancah pemikiran dan konflik ketamadunan dunia baik barat mahupun timur seringkali dihiasi dengan pemuda dan merekalah yang menjadi tonggak dalam satu-satu perjuangan dan meruntuhkan firaun ummat sepanjang zaman.

2- Memiliki kesabaran dan ketaatan yang benar

Kisah Nabi Ismail a.s., seorang pemuda yang redha dan rela disembelih bapanya di atas arahan Allah mengajar kepada para pemuda agar bersabar dan taat pada kebenaran. Ia tidak langsung ragu pada perintah yang diterima oleh ayahnya, sekalipun isu yang dibawa terkait dengan nyawanya sendiri. Garis pemisah yang ditunjukkan dalam kisah Nabi Ismail ini adalah kesabaran dan ketaatan yang dicurahkan adalah demi perintahh Allah. Kesabaran dan ketaatan itu tidak diberikan kepada yang mengingkari hokum-hukum Alah.

3- Taqwa, berakhlaq mulia dan adil

Firman Allah, maksudnya :

Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: “Marilah ke sini.” Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku Telah memperlakukan Aku dengan baik.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan beruntung.( Surah Yusuf : 23)

Pemuda yang dimuliakan oleh Allah adalah yang bertaqwa dan mempunyai akhlaq yang mulia. Inilah sifat-sifat asasi pemuda yang bermakna kepada sejarah manusia. Tindakan mereka adalah untuk keredhaan Allah s.w.t.dan mereka berlaku adil dalam setiap perkara. Inilah juga merupakan manifestasi kepada keimanan dan keberanian yang tinggi. Jika dinilai dari godaan yang diuji ke atas Nabi Yusuf, a.s., pastinya amat sedikit dan barangkali tiada seorang pun yang akan tegar menolak godaan dan pujukan wanita tersebut. Namun begitulah Allah mahu mendidik generasi pemuda yang mendatang melalui contoh tauladan yang baik dari kisah pemuda terdahulu.

Kesimpulannya

Sudah sekian banyaknya kisah pemuda yang dari sisi gemilang dan malang yang disajikan Al-Quran untuk tatapan. Putuskan sekarang di mana dan apa pilihan anda. Wahai mahasiswa! Cukup-cukuplah bersuka ria dengan hiburan yang tidak berkesudahan. Bangkitlah untuk membersihkan segala lumpur yang terpalit pada polisi kehidupan manusia. Walau hanya berada di posisi mahasiswa yang masih muda perjalanan hidupnya, mengapa tidak dimanfaatkan keistimewaan kudrat yang masih gagah dan daya pemikiran yang masih segar untuk terus mencurah bakti. Jika tidak mampu berada di pentas besar masyarakat, cukuplah tidak menjadi dayus dengan membiarkan hak diri sendiri diperkotak katik oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kelemahan mahasiswa. Semarak kemaraan mahasiswa pasti menjadi lebih unggul andai seluruh tenaga muda ini menggabung tenaga membentuk gagasan yang lebih perkasa. Sesungguhnya, menjadi mahasiswa anda punya kuasa yang paling digeruni iaitu kuasa belajar! Belajar itu memerlukan segala yang mencabar minda dan kemampuan. Kuasa belajar itu membuatkan anda arif. Arif akan hak untuk membina diri malah hak untuk membina tamadun manusiawi. Belajarlah dari sejarah dahulu. Pedomannya terlalu tinggi untuk disia-siakan.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِىْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

0 comments:

Post a Comment