Pages

Wednesday, December 14, 2011

Cabang Iman ke enam belas : Sayangkan agama sehingga sanggup dicampakkan ke dalam api.

Sabda Nabi S.A.W :

عَنْ أَنَسٍ عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ

Daripada Anas R.A, Daripada Nabi S.A.W bersabda : Tiga perkara yang barang siapa ada di dalam jiwanya, maka dia merasa kemanisan iman.

i. Mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada selain dari keduanya.

ii. Mencintai seseorang hanya kerana Allah.

iii. Benci untuk kembali kepada kekufuran seperti bencinya mereka untuk dicampakkan ke dalam neraka.

Di dalam Al-Quran, Allah menggambarkan bagaimana perjalanan para pejuang agama Allah mempertahankan agama.

i. Allah S.W.T berfirman menceritakan kisah Nabi Yusuf A.S :

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa Yang perempuan-perempuan itu ajak Aku kepadaNya. dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin Aku akan cenderung kepada mereka, dan Aku menjadi dari orang-orang Yang tidak mengamalkan ilmunya".[1]

ii. Kisah Ashabul ukhdud.

4. Celakalah kaum Yang menggali parit,

5. (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran,

6. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya,

7. Sambil mereka melihat apa Yang mereka lakukan kepada orang-orang Yang beriman.

8. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji![2]

iii. Kisah Masyitah

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ، قَالَ : مَرَرْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي بِرَائِحَةٍ طَيِّبَةٍ ، فَقُلْتُ : مَا هَذِهِ الرَّائِحَةُ يَا جِبْرِيلُ ؟ قَالَ : هَذِهِ مَاشِطَةُ بِنْتِ فِرْعَوْنَ ، كَانَتْ تُمَشِّطُهَا فَوَقَعَ الْمُشْطُ مِنْ يَدِهَا ، فَقَالَتْ : بِسْمِ اللَّهِ قَالَتِ ابْنَةُ فِرْعَوْنَ : أَبِي ؟ قَالَتْ : رَبِّي ، وَرَبُّ أَبِيكِ قَالَتْ : أَقُولُ لَهُ إِذًا قَالَتْ : قُولِي لَهُ قَالَ لَهَا : أَوَلَكِ رَبٌّ غَيْرِي ؟ قَالَتْ : رَبِّي ، وَرَبُّكَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ قَالَ : فَأُحْمِيَ لَهَا بَقَرَةٌ مِنْ نُحَاسٍ ، فَقَالَتْ : إِنَّ لِي إِلَيْكَ حَاجَةً قَالَ : وَمَا حَاجَتُكِ ؟ قَالَتْ : أَنْ تَجْمَعَ عِظَامِي وَعِظَامَ وَلَدِي قَالَ : ذَلِكَ لَكِ عَلَيْنَا لِمَا لَكِ عَلَيْنَا مِنَ الْحَقِّ ، فَأَلْقَى وَلَدَهَا فِي الْبَقَرَةِ وَاحِدًا وَاحِدًا ، فَكَانَ آخِرَهُمْ صَبِيٌّ ، فَقَالَ لَهَا : يَا أُمَّهِ ، اصْبِرِي فَإِنَّكِ عَلَى الْحَقِّ

iv. Kisah Abdullah bin Huzafah

Disebabkan imej Islam yang dibina oleh Rasulullah dan khalifah sebelumnya, terkenal di kalangan musuh-musuh Islam akan kehebatan dan keunikan generasi Islam di zaman itu khususnya para sahabat baginda Nabi s.a.w. Apabila dimaklumkan kepda raja Rom, bahawa salah seorang dari tentera Islam yang berjaya ditawan adalah dari kalangan sahabat Rasulullah. Raja Rom kegembiraan. Dia gembira kerana berpeluang untuk melihat sendiri susuk tubuh salah seorang dari sahabat nabi yang sering tersebar akan kehebatan dan keluarbiasaan mereka di waktu itu.

Raja Rom dicatatkan mengarahkan sahabat tersebut dibawa ke hadapannya. Raja meminta : "Adakah engkau sudi untuk keluar dari Islam (menjadi Nasrani)? Jika engkau lakukan itu, aku akan menganugerahkanmu sebahagian dari pemilikan harta yang dimiliku"

Abdullah menjawab :

لو أعطيتني جميع ما تملك وجميع ما تملك وجميع ملك العرب ما رجعت عن دين محمد طرفة عين

Ertinya : "Sekiranya engkau memberiku seluruh yang kamu miliki, bahkan jika seluruh yang dimiliki pemimpin arab, tidak sekali-kali akan aku keluar dari agama yang dibawa Nabi Muhammad ini walau untuk jangka waktu sekelip mata"

Akibat dari penolakan itu, Raja Rom telah mengarahkan agar dibawa sebuah tempat azab yang dipenuhi minyak panas mendidih lalu dicampakkan seorang tawanan Muslim ke dalam, hingga kecut, terkeluar tulangnya dan masak dagingnya.Kemudian, diarahkan agar Abdullah pula dicampakkan ke dalamnya. Tatkala itu, pegawai raja melihat Abdullah menangis, lalu mereka dengan segera memaklumkan kepada raja akan hal tersebut.

Raja Rom dan pegawai mereka gembira kerana menjangka taktik mereka berjaya untuk mengoncang iman dan pendirian Abdullah yang sebelum ini menolak permintaan Raja.

Namun apabila ditanya semula permintaan yang sama (untuk murtad), jawapan yang sama tetap diberikan oleh Abdullah. Raja Rom merasa pelik dan bertanya sebab tangisannya.

Abdullah menjawab :

Ertinya : "Ia kerana jiwa ( nyawaku) yang hanya satu ini, sebentar lagi ia akan pergi maka aku menangis kerana mengenangkan betapa aku menginginkan sekiranya aku punyai banyak nyawa sebanyak rambutku ini maka bolehlah engkau lemparkan aku berkali-kali ke dalam api itu, aku ingin gunakan semuanya pada jalan Allah."

Bermakna, Abdullah sebenarnnya menangis bukan kerana takut, tetapi merasa terkilan hanya mempunyai satu nyawa di ketika itu, padahal dia sangat ingin untuk mempunyai lebih banyak nyawa dan tidak bimbang sama sekali mengharungi kematian asalkan ianya untuk Islam, biarpun kematian itu berkali-kali. Yang penting semua kematiannya syahid dan demi memperjuangkan Islam.


[1] Surah Yusuf : 33

[2] Al-Buruj : 4-8

0 comments:

Post a Comment